CUKUP terkejut dengan beberapa pandangan pemimpin negara yang mahukan pemimpin yang mengumumkan persaraannya daripada politik diberi penghormatan peringkat nasional setelah lebih setengah abad mengabdi diri dalam arena politik tanah air. Tambah mengejutkan bila ada tokoh bergelar Tan Sri yang mencadangkan pemimpin itu diberi anugerah tertinggi negara, Tun, yang hanya dikhususkan kepada pemimpin dan pegawai tertinggi yang benar-benar berjasa seperti bekas Perdana Menteri, bekas Ketua Hakim Negara atau bekas Ketua Polis Negara.
Atas dasar apa pengiktirafan itu mahu diberikan? Asas pengiktirafan itu apa? Jika kerjanya pembangkang yang begitu lama berjuang, itu bukan asas. Ramai orang berjuang tetapi perjuangan untuk apa?
Pemimpin parti itu sejak dahulu lagi, awal penubuhannya, begitu tegar dengan Malaysian Malaysia, sama rata, sama rasa, terang-terang bercanggah dengan perlembagaan. Justeru, mengiktiraf beliau bererti mengiktiraf Malaysian Malaysia yang ternyata bercanggah dengan aspirasi hidup bernegara. Sudah tentu jika diberikan pengiktirafan ini, pasti akan mengguris hati-hati rakyat.
Sama seperti pengiktirafan komunis yang pernah diperkatakan suatu masa dahulu. Mengiktiraf perjuangan Chin Peng bererti mengiktiraf perjuangan komunis. Apakah kita masih gagal memahami erti Malaysian Malaysia? Perlukah saya terangkan sekali lagi kepada mereka yang mahukan ini diiktiraf?
Jika yang mengeluarkan kenyataan itu adalah dalam kalangan pemimpin mereka, itu biasa. Tetapi ini keluar daripada pemimpin yang tegar perjuangan Melayu dan Islamnya. Saya makin keliru dan bercelaru.
Saya tidak nafikan peranan pembangkang dalam arus pembangunan negara, dalam sebuah negara demokrasi berparlimen. Tetapi perlu selektif. Yang saya tekankan begini, politik pembangkang mesti selaras dengan dasar dan perlembagaan negara.
Sukar untuk saya menerima pendapat mengatakan selama ini kita kurang menyedari pentingnya pembangkang yang sudah lama berkecimpung dalam arena politik tidak pernah diberikan penghargaan. Sebaliknya hanya politikus dari parti pemerintah yang diangkat.
Pendapat ini tidak tepat. Peranan pembangkang memang patut dihargai. Saya tidak ada masalah langsung jika kita mengiktiraf dan menghargai pembangkang seperti Tan Sri Lee Lam Thye dan Dr. Tan Seng Giaw. Mereka ini layak diberikan pengiktirafan kerana kecenderungannya dalam pembinaan negara bangsa.
Soal semakin ramai orang Melayu mahu menyertai parti mereka bukan isu kerana orang Melayu memahami erti sebenar, tidak akan menyertai parti yang memperjuangkan Malaysian Malaysia. Saya tidak faham apakah ada nas dalam perjuangan yang diketuai olehnya mungkin boleh dijadikan sains politik baharu kepada beberapa pihak yang mengkaji politik tanah air? Saya tidak nampak soal itu.
ISA
Saya perturunkan kenapa beliau tidak layak diberikan pengiktirafan. Pertama, perjuangan Malaysian Malaysia yang dibawa tidak melayakkannya diiktiraf. Begitu juga sekiranya pemimpin ini ada dalam MCA, Gerakan, MIC dan sebagainya.
Mereka yang membawa agenda sama rata, sama rasa, jatuh dalam kategori menderhaka kepada perlembagaan negara. Adil itu bukan sama rata, sama rasa tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perlu bezakan antara equality dengan equity.
Kedua, Perdana Menteri selaku Naib Presiden UMNO, suatu ketika dahulu pernah berkata, pemimpin ini tidak layak untuk bercakap tentang perpaduan kerana parti itu sendiri mengamalkan perkauman walaupun selama ini menekankan aspek kepelbagaian dalam piagam mereka.
Tun Dr. Mahathir Mohamad begitu jelas melabelkan pemimpin ini sebagai rasis. Selama ini parti inilah yang memainkan isu perkauman. Isu kecil seperti tulisan Jawi pun mereka mainkan dan jadikan isu perkauman. Begitu juga dengan MCA dan Gerakan.
Ketiga, pernahkah kita terfikir, kenapa pemimpin ini ditahan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pada suatu ketika dahulu? Apa sebab musababnya? Saya tidak nafikan ada ketikanya ISA itu pernah disalahgunakan. Tetapi dalam konteks pemimpin ini, ISA memang patut dikenakan kerana membangkitkan perkara sensitif. Perlukah diberikan penghargaan?
Keempat, pemimpin ini pernah mengeluarkan kenyataan mengenai penyatuan umat Islam melalui Muafakat Nasional (MN). Kerjasama ini katanya akan memburukkan lagi politik toksik kaum dan agama. Beliau menakut-nakutkan bukan Melayu bahawa MN adalah satu ancaman kepada kaum dan agama lain. Apakah kita sudah lupa semua itu? Jika Melayu mudah lupa, mari mualaf ini ingatkan!
Kelima, apakah kita dengan mudah melupakan penghinaannya terhadap Islam? Pemimpin ini mempersenda serta meremehkan ‘keimanan’ umat Islam saat beliau menulis: If ‘Allah’s government’ is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be ‘Allah’s government’? Ini adalah bukti betapa biadabnya pemimpin ini yang dicadangkan untuk diberikan pengiktirafan.
Keenam, apakah kita sudah lupa laporan Mageran (Majlis Gerakan Negara) mengenai peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang membawa kepada pengisytiharan darurat kerana kebebasan diberikan di luar kawalan?
Ketujuh, lupakah kita dengan kata-kata ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memberi amaran kepada polis jika mereka memerintah, seolah-olah mengimbau kata-kata 13 Mei 1969?
Kelapan, kalau mahu ditulis mengenai pemimpin dan parti ini, terlalu banyak. Cuma sekadar ingatan sahaja kepada pemimpin Melayu yang mahukan pemimpin ini diiktiraf. Sepanjang memerintah Pulau Pinang, cuba lihat, penghargaan kepada siapakah mereka berikan? Apakah bentuk nama-nama jalan yang diberikan? Pernahkah penghargaan diberikan kepada ketua pembangkang Melayu Pulau Pinang? Apakah selepas ini akan ada nama bangunan dan nama jalan yang diberikan atas nama pemimpin ini di Pulau Pinang seperti mana mereka berikan pimpinan mereka yang lain terdahulu?
Janganlah kerana mahukan diri kita sebagai hebat dan terbuka sehingga kita lupa siapakah pemimpin ini sebenarnya. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).










