‘Rumah UMNO sudah siap’

‘Rumah UMNO sudah siap’

umno
PARTI teras harus mendepani cabaran dari dalam dan perlu ada kepimpinan yang terus bersatu dan naik melalui hierarki. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENJA kelmarin 19 Mac selepas pulang semua perwakilan parti Perhimpunan Agung UMNO 2021, saya melepak di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sempat bersembang dengan seorang otai perang saraf politik. Berdialog kami. Menarik hujahnya. Sempat saya titipkan di kepala antara diluahkan:

“Rumah UMNO sudah siap. Berbumbung lantai ada tile, siap perabot yang lengkap. Kalau hujan, orang Melayu boleh berteduh.

“Rumah Pas dahulunya pun siap. Tapi sekarang berlubang bumbung. Sebab Pas ada sikit pecah belah dalaman. Malah Cina takut pada Pas.”

Sambungnya lagi: “Rumah Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tak siap. Buktinya tak ada akar umbi.

“Rumah Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) dan Putra (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia)? Mana rumahnya? Tak ada langsung kerusi yang menang dalam PRN Johor.

“Sebaiknya dalam politik sekarang, biarkan rumah UMNO jadi tempat orang Melayu berteduh. Sebab kalau UMNO masuk PN (Perikatan Nasional), kena ingat, orang Cina, India takut pada Pas.

“Penyertaan Pas (dalam Barisan Nasional) akan sukarkan MCA dan MIC buat kerja. Sama juga dengan Bersatu, ia tidak mesra dengan kedua-keduanya.”

Jadi, tanya saya apa rumusannya? Jawabnya: “Jadi sekarang, kalau dalam politik kita nak Melayu berkuasa, biarkan PN jadi kuasa semak imbang supaya UMNO tak terlalu bermegah.

“Biarkan sahaja PN dengan tugasnya itu, nanti kalau dia setara (kekuatan) UMNO, tak seimbang pula kuasa politik teras Melayu. Bila tak seimbang, susah nak ada kesepakatan soal dasar dan polisi kerajaan untuk kebajikan rakyat.”

Saya diam sejenak. Cuba selami. Dari pandang sisi, sebahagian saya iyakan hujahnya.

MENANG PRU15

Dari pandangan saya orang dari luar UMNO dan non-partisan, perlu ada suara keazaman baharu berpaksikan perpaduan dan pembelaan pada mana-mana parti yang mahu menjadi parti teras Melayu.

Maksudnya – perpaduan untuk rakyat di dalam dan di luar parti teras itu; pembelaan demi kebenaran dan keadilan, membasmi rasuah, salah laku dan membela kepayahan hidup.

Untuk itu, parti teras harus mempunyai strategi, keupayaan, perwajahan dan kaedah baharu untuk dijadikan piagam dan pelaksanaan kemenangan dalam azam memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ada tiga kelompok isu besar yang parti teras kena perjuangkan menjelang PRU15. Kelompok pertama ialah isu-isu kepayahan ekonomi periuk nasi terutama dalam soal himpitan harga barang yang melambung tinggi.

Kelompok kedua berkaitan urus tadbir kerajaan yang melingkari isu-isu penyelewengan dan ketiga, himpunan isu perpaduan bangsa berikutan beberapa orang bekas pemimpin kemuncak UMNO yang kini punya parti sendiri.

Demikian juga imej parti mewah, tanggapan amalan rasuah dan sifat boros yang masih melekat pada kulit parti.

Para pimpinan peringkat tertinggi dan akar umbi mesti dibalut dengan keupayaan untuk dibersihkan secara yang menegapkan semula keyakinan ahli di serata pelosok tanah air. Perlihatkan transformasi jelas dan nyata.

Parti teras Melayu itu harus mencari inti pengaruh dan keberhasilannya kembali di tengah-tengah kecaman para pengkritik parti.

Masih ada pandangan mereka dan pandangan para veteran terhadap parti itu yang wajar pertimbangkan. Perlu diangkat strategi menambat hati rakyat melalui perjuangan cawangan, kampung dan bandar yang membawa semula kepada asas kental.

Kelas menengah Melayu yang kini kian membesar, mementingkan kewibawaan pimpinan. Mereka tidak cenderung kepada retorik seronok sendiri. Ingat! Pembangunan kemudahan asas juga tidak lagi berfungsi sebagai tarikan khas seperti dahulu.

UKUR BAJU

Pemikiran satu dua parti yang turut disertai orang Melayu dengan sering membenci parti teras mesti diadili oleh suara bangsa dan suara agama. Perjuangan melandaskan hidup enau dalam belukar perlu diketepikan.

Parti teras harus mendepani cabaran dari dalam. Harus ada kepimpinan yang terus bersatu dan naik melalui hierarki. Bukan melalui cah keting. Apa gunanya menjadi pemimpin dalam parti teras tetapi kalah dalam pilihan raya umum.

Kalau hendak menjadi pemimpin masa depan, ukurlah baju di badan sendiri. Sebagai pemimpin berwibawa dan berjiwa besar, jangan terlalu terikut cakap-cakap di kedai kopi. Dan kehendak pengikut ramai yang hanya mahu mengadu domba sesama pemimpin.

Jangan lagi kembali kepada amalan berpuak-puak dan mewujudkan kem-kem. Di situ dan waktu itu ada team dan pasukan tertentu diwujudkan sehingga gejala politik wang cukup berleluasa tanpa kawalan.

Dalam keadaan ‘pilih duit’ dan habis duit, pemimpin yang disakukan itu akan terlentang dan ranaplah nilai dan perjuangan untuk bangsa, agama dan negara.

Lantaran prosesnya memilih duit dan bukannya pemimpin, maka mana-mana parti teras Melayu akan turut lemah dan ranap. Jadilah perumpamaan ‘burung terbang dari genggaman, tahinya tinggal di tangan’.

Dengan kehadiran parti orang muda, politik perkauman di negara ini mungkin akan melalui proses perubahan seperti mana didorongkan oleh pengaruh global.

Seseorang pemimpin bukan sahaja perlu pandai membuat percaturan politik atau percaturan siasah tetapi harus mencari dan dapatkan formula kepimpinan yang bersifat elok dan bijak.

Baju Melayu berbutang lima,
Ada juga berbutang tiga;
Orang Melayu dan pemimpin politik jangan lupa,
Hilang kuasa hilanglah semua.

“Rumah UMNO sudah siap. Kalau hujan, orang Melayu boleh berteduh.” Saya simpan dulu komen saya. Tunggu dan lihat sebulan dua mendatang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×