PRN bukan ukuran PRU

PRN bukan ukuran PRU

IR. HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KELMARIN petang Ahad ketika kami dari Utusan Malaysia bertemu DATUK SERI IR. HASNI MOHAMMAD di Saujana, kediaman rasmi Menteri Besar di Johor Bahru, raut wajah beliau tampak lega.

“Akhirnya…kita (BN) bersyukur,” kata Hasni, merujuk kemenangan lebih dua pertiga Barisan Nasional memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac 2022.

Berpegang pada prinsip perjuangan pemimpin antiaparteid dari Afrika Selatan “Nelson Mandela once said, I never lose. I either win or I learn”, Hasni tetap merendah diri dengan kemenangan tersebut.

Kepada wartawan ZULKIFLI JALIL, MUHAMAD AIMY AHMAD dan ASLINDA NASIR dalam pertemuan lebih sejam itu, bakal Menteri Besar Johor ke-19 itu mengingatkan bahawa situasi PRN tidak sama dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

PASCA PRN JOHOR

UTUSAN: Sehingga pukul 6 petang, Sabtu lalu selepas pengundian tamat, apa perasaan Datuk Seri?

IR. HASNI: Saya dari awal 34 ke 35 kerusi sebagai satu jangkaan kemenangan yang boleh kita capai. Awal ada juga menyatakan kita boleh sama dengan Melaka. Tapi saya kata jangan jadikan Melaka sebagai rujukan kerana Melaka berbeza dengan Johor.

Saya tidak dapat ukur sejauh mana pengundi hilang keyakinan kepada parti-parti yang bertanding selain BN sehingga tahap mereka tidak keluar mengundi. Melainkan bila keputusan keluar, jadi jelaslah contohnya macam Larkin, Kota Iskandar pengundi dah hilang keyakinan kepada mereka.

Kalau tengok dari segi jumlah pengundi PRU14 dengan PRN, sokongan kepada kita tak jauh beza, jumlah menyokong BN sama juga. Maknanya, pengundi baharu tak keluar mengundi pun termasuk orang muda yang tak ramai terlibat.

Orang yang dahulu tak daftar pun masih tak ambil kisah lagi. Sebab kita dikatakan peratusan keluar mengundi rendah 54.92 peratus itu berdasarkan 2.6 juta pengundi. Tapi kalau kita gunakan jumlah pengundi 1.8 juta yang lepas, jumlahnya lebih kurang.

Itu menandakan tidak ada isu besar yang bersabit soal kredibiliti pemimpin di Johor. Bila perkara itu dimainkan pemimpin sebelah sana dalam pilihan raya, tak dapat tarikan kepada pengundi.

Kenapa pengundi muda tak keluar agaknya?

Itu saya kata tadi sebab jumlah sokongan kita dapat sama apa yang diterima dalam PRU14. Waktu itu belum lagi pengundi muda dan automatik ini dibenarkan mengundi.

Jadi, kalau mereka keluar mengundi dan sokong kita tentu ada kenaikan. Kita BN tak ada peningkatan pun dari segi jumlah pengundi.

Bagaimana sokongan mereka sebenarnya?

Ini daripada pemerhatian keseluruhan, saya ingat kali ini BN banyak dapat kekal sokongan bila orang muda masih lagi sokong BN. Tak beralih walaupun ada pilihan lain termasuk parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tetapi mereka kekal dalam BN. Misalnya BNYV (Sukarelawan Belia BN), Siswa Johor yang buat pelbagai program seperti flashmob, speaker corner masih lagi pupuk semangat orang muda.

Saya pun harap kalau PRU nanti UMNO akan ketengahkan lebih ramai muka baharu dan orang muda. Bagi saya Johor harus mulakan selaras dengan salah satu Ikhtiar BN Johor iaitu satu tempat daripada orang muda patut bermula dengan PRU. Saya akan ketengahkan.

Isu ‘kluster mahkamah’ beri kesan terhadap kempen?

Orang tak tertarik lagi sama ada modal kluster mahkamah atau kes sedang berjalan ke. Isunya, kebimbangan kalau kita menang mungkin orang dalam kluster mahkamah ini dapat pembelaan. Kebimbangan diuar-uarkan begitu.

Mereka masih cakap perkara sama, walaupun Melaka menang besar, tak ubah pun keputusan Datuk Seri Najib Razak atau keputusan sesiapa, sama sahaja masih kena pergi ke mahkamah termasuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Rumusan PRN?

Walaupun kita berdepan dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP), jumlah pengundi ramai tetapi saya tetap nak sentuh bahawa jentera parti bekerja dengan ikhlas kerana kesedaran di bawah pengalaman berada di bawah Pakatan Harapan (PH) itu supaya dielakkan berulang keadaan 22 bulan. Tempoh yang perit bagi BN juga.

IR. Hasni Mohammad bersama Zulkifli Jalil (kanan), Muhamad Aimy Ahmad dan Aslinda Nasir di depan Saujana, kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Hassan Al-Attas, Johor Bahru, kelmarin.

Terjemahan di Perhimpunan Agung UMNO?

PRN Johor satu kejutan dan lonjakan, adakah PAU (16-19 Mac ini) akan gesa PRU disegerakan?

Sebelum bercerita pasal PAU, keputusan PRN ini patut kita terjemahkan sama ada 40 kerusi yang kita menang itu sebagai tanda bahawa BN sudah kembali diterima rakyat. Sedangkan kita patut dapat sokongan daripada mereka yang di luar ahli parti.

Bukan hanya penyokong ahli parti sahaja.Tetapi rakyat secara keseluruhan. Itu yang kita tidak boleh berhenti berusaha untuk mendapatkan sokongan rakyat walaupun sudah menang 40 kerusi.

Adakah itu tanda UMNO-BN belum boleh puas hati dan kena kaji betul-betul?

Tak semestinya PRN boleh menang, kita boleh dapat sama dalam PRU. Itu yang saya rasa PRN bukan menjamin kemenangan kepada PRU. Saya tak nak orang rasa yakin, tetapi memang itu realitinya agar jangan disamakan PRN dengan PRU dan sebab itu ‘tak makan’ isu-isu Persekutuan di Johor.

BN selamatkah untuk PRU kalau lihat keputusan PRN Johor?

PRU tak sama macam PRN. Tak boleh bersandarkan kepada keputusan PRN. Tetapi kalau ditanya dalam konteks jumlah kerusi Parlimen (menang) di Johor, ya boleh bertambah, tetapi bergantung kepada keadaan dan juga isu masa PRU nanti.

Memang ada momentum sikit tapi jangan ingat kita dapat 40 kerusi masa PRN dan PRU nanti, kita boleh menang sampai 20 kerusi. Sebab kita bergantung banyak perkara tetapi peluang lebih baik untuk tambah kemenangan.

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama barisan kepimpinan BN mengangkat tangan pada sidang akhbar selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN memperoleh majoriti, Sabtu lalu.

Johor bukan kubu Bersatu

Strategis DAP, Liew Chin Tong kata do or die Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor, komen Datuk Seri?

Dua kerusi sahaja (Bukit Kepong dan Endau) mereka (Bersatu) menang daripada tiga kerusi Perikatan Nasional (PN). Itu jelas tunjukkan Bersatu mungkin kena tengok semula dari segi keputusan PRN Johor. Maknanya, Bersatu ini kira tak berjaya jadikan Johor sebagai kubu mereka.

Adakah Bersatu perlu kembali kepada UMNO?

Saya tak bercakap sebagai parti. Saya cakap kepada ahli parti dan penyokong parti bahawa UMNO bersedia menerima ahli-ahli parti Bersatu untuk bersama BN. Walaupun orang UMNO tidak suka tetapi sesiapa sahaja Izhar (Datuk Mohd. Izhar Ahmad), Mazlan (Bujang) dan Rosleli (Jahari) boleh sertai tanpa habuan.

Pelawaan termasuk kepada tiga ADUN PN?

Pada saya yang menang, anda patut kekal (dalam parti sedia ada). Ada yang tanya, “Datuk rasa nak gabung dengan siapa kalau setakat dapat 29 hingga 30 kerusi”. Tapi saya fikir kalau jumlah itu cukup dah bentuk kerajaan negeri buat apa nak gabung. Lagi pula kita nak perkenalkan enakmen antilompat parti.

Lompat parti punca tak stabil?

Sebelum tak stabil itu, macam kita tidak menterjemahkan dengan betul maksud demokrasi yang sebaliknya. Sebab orang kata itu kebebasan lah nak lompat sana sini sebab ini negara demokrasi. Tetapi tindakan itu tidak menghormati demokrasi.Kalau tidak berjaya (jadi kerajaan), jadilah apa juga misalnya pembangkang yang baik umpamanya. Dia nak perjuang apa-apa isu teruskan.

Nasib pembangkang

Bagaimana jika dalam PRU15 nanti, ada gabungan PN dan pembangkang sepakat menentang BN?

Untuk survival, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa letak tepi ego. Tetapi saya ingat beliau tak relevan dah. Bila dah gabung dalam itu kalau tengok Datuk Seri Anwar Ibrahim pun, PKR hanya tinggal satu kerusi sahaja.

Itu pun dengan majoriti amat tipis. Kalau mereka bergabung dan orang sama memimpin seperti Muhyiddin, Anwar dan Tun Dr. Mahathir Mohamad agaknya dari satu sudut bagus juga kepada BN.

Kalau satu lawan satu BN dan pembangkang?

Apa yang sebabkan mereka gabung itu boleh menguatkan? Sedangkan dah terbukti gabungan mereka bukan resipi kejayaan. Gabungan mereka sepatutnya membolehkan PKR, PH bertambah kuat dengan adanya parti Muda. Tapi PH pun hilang, DAP pula daripada 14 kerusi hanya menang lapan kerusi.

DAP yang jadi parti induk kepada PH pula akan menentukan nasib Parti Amanah Negara (Amanah). Malah, PN pun kehilangan kerusi Bukit Pasir dan kita sebenarnya kalah sikit sahaja di Bukit Kepong. Itu semua gambaran bahawa Johor bukan negeri untuk mereka.

Bolehkah PKR bersama dengan UMNO?

UMNO susah nak buat perubahan. Contoh, tengok dari segi orang muda 21 tahun ke bawah, sampai perlu nak tubuh Putra sedangkan kita sudah ada Pemuda UMNO. Dalam kategori itu pun, orang kata kalau duduk dalam itu tak boleh nak terima, tiada ruang, tak ada tempat. UMNO beri gambaran begitu.

Begitu juga orang profesional nak masuk UMNO dia kata susah sangat, tak ada tempat. Jadi kalau bergabung, PKR punya dinamik dengan kita berbeza, tapi bila kita duduk bersama, kita boleh berkongsi resources.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN