HARI ini seramai 2,539,606 orang pengundi biasa daripada 2,597,742 orang pengundi berdaftar layak mengundi bagi menentukan gabungan parti politik manakah yang akan memerintah Johor untuk tempoh selama lima tahun akan datang.
Satu persoalan yang bermain di fikiran parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah seramai manakah bilangan pengundi yang akan menunaikan hak mereka untuk keluar mengundi berbanding mereka yang tidak keluar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seperti jangkaannya dalam PRN Sabah, PRN Melaka dan PRN Sarawak pada 2020 dan 2021 lalu, membuat jangkaan bilangan pengundi yang akan keluar mengundi dalam PRN Johor adalah sekitar 70 peratus.
Begitupun, sasaran SPR dalam tiga PRN sebelum ini jelas tidak tercapai. PRN Sabah Ke-16 pada 26 September 2020 menyaksikan hanya 66.61 peratus yang keluar mengundi.
PRN Melaka Ke-15 pada 20 November 2021 pula menyaksikan hanya 65.85 peratus yang keluar mengundi.
Lebih mutakhir, dalam PRN Sarawak pada 18 Disember 2021, bilangan yang keluar mengundi menurun menjadi 60.67 peratus sahaja.
Sebagai bandingannya, jumlah peratusan pemilih yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 adalah 82.32 peratus.
Kebanyakan analisis yang dibuat menjelaskan bahawa penurunan peratusan pemilih yang keluar mengundi pada PRN Sabah, PRN Melaka dan PRN Sarawak adalah berpunca daripada kebimbangan pengundi kerana penularan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, tidak kurang pentingnya adalah analisis yang menyebut bahawa ia adalah berpunca daripada kemuakan pemilih kepada politiking berpanjangan oleh ahli-ahli politik atau kerana mereka beranggapan bahawa PRN tidak sepenting PRU.
PRN Johor bagaimanapun berbeza dalam beberapa aspek berbanding tiga PRN sebelumnya dalam mana ia menyaksikan keberanian Datuk Ir. Hasni Mohammad selaku Menteri Besar Johor dari BN membubarkan secara sukarela Dewan Undangan Negeri (DUN).
PRN Johor juga berbeza kerana ia menyaksikan begitu ramai calon bertanding, iaitu 239 orang, untuk merebut hanya 56 kerusi, ditambah pula dengan penyertaan sejumlah parti politik yang baru didaftarkan.
Amat menarik sekali untuk diperhatikan nanti apakah kemeriahan dalam kalangan parti-parti politik yang bertanding ini akan diikuti oleh kemeriahan yang sama dalam kalangan pemilih sekali gus menyaksikan kenaikan peratusan pemilih yang keluar mengundi.
PRESTASI
Satu lagi perbezaan besar antara PRN Johor dengan tiga PRN sebelumnya ialah ia berlangsung tatkala pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik (PPSA) telah berkuat kuasa di negara ini selepas diwartakan pada 15 Disember 2021.
Ekoran itu, mana-mana warganegara yang berusia 18 tahun dan ke atas layak menjadi pengundi di Malaysia malah tidak perlu lagi mendaftar untuk menjadi pengundi kerana pendaftaran pengundi adalah automatik apabila mencecah usia 18 tahun.
Susulan pelaksanaan automatik Undi18 dan PPSA ini maka jumlah pengundi dalam PRN Johor ini mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada 2,597,742 pengundi berdaftar.
Walaupun pengundi yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya membentuk 6.67 peratus daripada keseluruhan pengundi tetapi kelompok ini akan memainkan peranan penting, khususnya di kerusi marginal yang dimenangi dengan undi kecil.
Kelompok yang lebih penting adalah kumpulan teramai, iaitu mereka yang berusia 21 hingga 29 tahun yang membentuk 21.86 peratus, serta kumpulan kedua teramai berusia 30 hingga 39 tahun yang membentuk 21.59 peratus.
Dari sudut komposisi kaum pula terdapat 15 kerusi di mana bilangan pengundi Melayunya adalah tinggi (melebihi 70%) manakala kerusi yang bilangan pengundi Melayunya adalah rendah (di bawah 50%) pula ada 17. Tidak sukar untuk menjangka keputusan di kerusi ini.
Sebaliknya, pertembungan sebenar yang dijangka akan menentukan sejauh manakah besarnya majoriti yang akan diperoleh oleh gabungan parti politik yang akan mencapai kemenangan adalah 24 kerusi dengan pengundi Melayu sederhana tinggi (50%-69%).
Kerusi-kerusi ini adalah Bukit Kepong, Pasir Raja, Serom, Machap, Bukit Naning, Pemanis, Larkin, Bukit Pasir, Senggarang, Maharani dan Pulai Sebatang.
Seterusnya adalah Kukup, Gambir, Buloh Kasap, Kempas, Parit Yaani, Tiram, Pekan Nanas, Layang-Layang, Mahkota, Kemelah, Bukit Permai, Permas dan Simpang Jeram.
PRN Johor ini sebenarnya amat penting kerana ia akan menjadi kayu ukur kepada prestasi gabungan parti-parti politik yang akan bertanding dalam PRU15 malah ia berpotensi untuk memaksa parti-parti politik yang terkesan untuk membentuk jajaran politik baharu.
Disebabkan kepentingan PRN Johor ini maka amat wajar untuk lebih ramai pemilih menggunakan dengan sebaik-baiknya hak mereka sebagai pengundi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru pertama kali berpeluang untuk berbuat demikian.
Ini bagi memastikan apa yang diperkatakan oleh ahli falsafah Yunani, Plato, iaitu jika kita tidak melibatkan diri dalam politik maka ini akhirnya akan menyebabkan kita diperintah oleh mereka yang tidak sepatutnya menjadi pemimpin, tidak berlaku. – UTUSAN
DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).











