PILIHAN raya negeri (PRN) bukan pilihan raya biasa-biasa. Kalau manusianya, bukan sembarangan orang. Tidak seperti mana siri PRN Sabah, 26 September 2020; Melaka, 20 November 2021 atau Sarawak 18 Disember 2021, PRN Johor boleh diibarat pilihan raya umum (PRU) mini sebelum melangkah ke PRU15.
Ini kerana sejumlah 11 parti termasuk gabungan parti utama mempertaruhkan 239 calonnya merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kalau tiga gabungan parti iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) berjuang atas platform parti masing-masing, PRN Johor menyaksikan keseluruhan 16 parti.
Belum lagi termasuk 16 calon Bebas.
Setakat kelmarin 1 Mac, kelihatan tidak ada ada isu-isu konkrit dimainkan parti-parti pesaing Barisan Nasional (BN). Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang genap dua tahun pentadbirannya, 28 Februari lalu tidak pernah menjadi bahan momokan atau kritikan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Kedua-dua parti ini sejak dua minggu lalu lagi memainkan sentimen-sentimen istilah ‘kluster mahkamah’ dan integriti. Tetapi satu herdikan pun tak hinggap ke muka Hasni. Hasni yang dipilih sebagai poster boy BN dan diangkat bakal Menteri Besar Johor jika BN menang 12 Mac ini tidak ada isu kredibiliti atau personaliti seperti diuar-uarkan parti-parti terbabit.
Hanya sekarang cuba dimainkan oleh parti-parti yang mahu menyaingi BN adalah perang persepsi. Ya, politik adalah mengenai persepsi dalam seni meraih pengaruh dan kuasa untuk mentadbir. Setelah anda menjadi type-cast, persepsi itu terus berkembang dan amat susah untuk dihapuskan.
Jerangkap samar persepsi ini harus dikendali dan diatasi secara cerdik oleh jentera BN dalam tempoh kempen berbaki 10 hari ini. Tempoh singkat ini cukup getir kerana parti lawan BN amat licik memainkan sentimen.
Di perkampungan Orang Asli di Tenggara beberapa hari lepas, sudah ada tok batin dan tuai rumah didatangi jentera parti yang cuba mempengaruhi mereka dengan muslihat dan taktik tertentu.
“Antaranya yang dicakapkan mereka, kena pilih PN sebab ini kerajaan PN, PM-nya dari PN dan menteri di Tenggara dan Kota Tinggi ini menteri PN.
“Tetapi bila kami perjelaskan kepada tok batin berkenaan siapa yang sanggup meredah malam, hujan, panas terik untuk bantu mereka di kala PH tidak masuk lagi ke kampung-kampung mereka selepas menang PRU14 (9 Mei 2018), adakah bantuan atau sumbangan tiba di pintu rumah mereka dalam 22 bulan PH memerintah dan bukankah pemimpin dari PN ini serpihan dari PH, barulah tok batin ini tersedar.
“Kami terus ingatkan, yang bantu mereka adalah BN. Bukan setakat itu sahaja, kepada orang muda, kami daripada UMNO inilah yang menjenguk orang tua mereka yang bersendirian, tak larat atau sakit terlantar di kala anak-anak mereka bekerja di Singapura dan Kuala Lumpur.
“Tidak ada, malah tidak ada satu parti pun yang mampu menghasilkan program khidmat bakti seperti UMNO dan BN. Kalau mereka mahu tiru pun takkan sama dan mungkin sekejap sahaja. Sedangkan khidmat bakti UMNO menerusi cawangan dan bahagian parti berterusan dan sampai bila-bila,” kata seorang jentera BN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti yang cuma dikenali sebagai Khair baru-baru ini kepada saya.
REKOD PRESTASI
Jentera UMNO/BN mesti bekerja keras. Ingat kata Pengarah Pilihan Raya BN Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan, “BN perlu menang besar pada PRN Johor ini sebagai isyarat kebangkitan parti, untuk terus mengemudi pentadbiran negara.
“Tetapi kita belum menang lagi, perlu bekerja keras untuk itu sebab cabarannya besar.”
Hakikat dalam politik, bahkan kekalahan BN dalam PRU14 turut berpunca daripada persepsi. Merentasi pemikiran rakyat terutama 2.6 juta pengundi Johor, 12 Mac ini adalah persepsi.
Persepsi tidak semestinya benar. Tidak juga semestinya salah. Tetapi apa yang dipercayai rakyat.
Penulis, Stan Moore menyatakan, “hanya kerana kebenaran tidak kelihatan, tidak bermakna hal itu palsu. Hanya kerana kenyataan tidak dirasai, tidak bermakna perkara itu tidak wujud.”
Itu maknanya persepsi. Tetapi apa yang rakyat lihat dan dengar itulah yang dicakapkan. Ambil contoh semasa PRU14. Siapa yang rugi? Permainan persepsi merugikan pengundi.
Yang sepatutnya menjadi perkiraan pengundi adalah rekod parti berkhidmat kepada masyarakat. Track record (rekod prestasi) penting sebagai bukti untuk mana-mana negeri termasuk Johor sendiri melepasi kemelut ekonomi, sekali gus mengembalikan kestabilan dan kemakmuran.
Tiada yang sempurna tetapi ambil yang paling hampir sempurna. Ambil teladan daripada ‘manifesto bukan kitab suci.’
Ada yang tidak berani bertanding takut dimalukan pengundi. Ahli Parlimen Pagoh dan Muar bolehlah ‘berkokok tak henti-henti’, kalau berani tawarkanlah diri.
Nampaknya kena tabik hormat kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam barangkali. Dia lebih berani menawarkan diri bertanding DUN Layang-Layang. Sudah nampak cahaya bakal MB-kah? – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.