Jiwa rakyat Sultan Ibrahim

Jiwa rakyat Sultan Ibrahim

SULTAN Ibrahim bertanyakan sesuatu kepada seorang kanak-kanak yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor, awal Januari lalu. – FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG bekas pesakit kanser mengutus surat kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memohon bantuan kurniaan sumbangan daripada baginda. Dia yang menetap di Parit Bakar, Muar membantu mengajar tuisyen bahasa Melayu kepada murid-murid miskin di kawasan sekitar.

“Saya cukup tidak menyangka yang surat saya akan mendapat perhatian Tuanku Sultan. Saya amat menjunjung kasih kepada baginda.

“Semasa saya sakit, saya berdoa agar umur saya dilanjutkan dan saya boleh terus membantu murid-murid yang memerlukan. Saya akan gunakan kurniaan ini sebaik-baiknya untuk saya teruskan rawatan dan mengajar tuisyen,” kata Gan Heng Hock.

Permintaan Heng Hock, 58, mungkin hanya sebahagian permohonan diterima pihak Istana Johor untuk bantuan daripada pelbagai lapisan rakyat yang memerlukan.

Walaupun tidak semua bantuan atau permohonan disampaikan sendiri oleh baginda, namun Sultan Ibrahim mengutamakan kepentingan rakyat dengan membantu mereka lebih-lebih lagi sepanjang pandemik Covid-19.

“Saya dan keluarga akan salurkan bantuan mana yang boleh. Yayasan-Yayasan di bawah naungan keluarga kita juga sentiasa menyalurkan bantuan kepada rakyat saya yang ditimpa kesusahan,” titah Sultan Ibrahim dalam Facebook baginda, baru-baru ini.

Keprihatinan dan kepantasan Sultan Ibrahim dan keluarga diraja Johor dalam menghulurkan bantuan memang jelas terbukti.

Baru-baru ini, Tunku Mahkota Johor misalnya, hanya dalam tempoh beberapa jam sudah tiba di Segamat pada awal pagi selepas mendapat perkhabaran daerah itu dilanda banjir.

Sultan Ibrahim juga mempunyai banyak keistimewaan dan pencapaian yang membanggakan selain keperibadian yang menawan hati rakyat.

Sultan yang berjiwa rakyat ini cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, iaitu aktiviti berteraskan kerja sosial yang diilhamkan oleh baginda sendiri sejak 2001 ketika menjadi Tunku Mahkota Johor. Program kembara yang bermula dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi dijadikan acara tahunan yang disertai Menteri Besar dan pegawai-pegawai kerajaan negeri bagi melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi di semua 10 daerah di negeri itu.

ADIL

Dalam setiap titah atau perutusan dikeluarkan Sultan Ibrahim, perkataan atau sebutan rakyat tidak akan lekang di bibir baginda. Malah, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, baginda turut mengingatkan wakil rakyat dipilih agar melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

Baginda juga bertitah, sudah tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor dan sentiasa mengutamakan nasib rakyat.

Sultan Ibrahim turut menasihatkan Menteri Besar yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya menumpukan pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat.

Begitulah prihatinnya Sultan Johor terhadap rakyat baginda yang sentiasa berterusan menyampaikan kurniaan sumbangan tanpa mengira agama dan bangsa.

Sementara itu, Mejar Cina, Datuk David Wong turut menyifatkan Sultan Ibrahim bukan sahaja merupakan seorang raja yang sentiasa menitikberatkan kepentingan rakyat, malah baginda sentiasa bersikap adil kepada semua kaum.

Katanya, sejak zaman Almarhum Sultan Abu Bakar, kesemua Sultan Johor yang memerintah telah memberi sokongan penuh dan peluang secara adil kepada semua golongan etnik membina kehidupan yang makmur di Johor dan sama-sama menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan negeri itu sebagai Bangsa Johor.

“Jika anda berjalan menyusuri Jalan Trus di Johor Bahru, anda akan melihat masjid, kuil, tokong, gurdwara dan gereja. Ini adalah bukti bahawa Sultan Johor sepanjang zaman telah memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum. Sebab itulah kita dipanggil Bangsa Johor.

“Ada negara di mana kaum Cina di sana terpaksa menukar nama dan meninggalkan warisan budaya, namun di sini, semua bangsa bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing, malah saling menghormati secara makmur dan harmoni. Dalam kepelbagaian kita, kita saling membantu dan
bersatu-padu sebagai satu komuniti,” katanya.

Tambah David, sikap ambil berat dan prihatin Sultan Ibrahim kepada rakyat juga boleh dilihat melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) khususnya.

“Baginda menerusi YSIJ mengurniakan pelbagai bantuan kepada golongan memerlukan antaranya sumbangan makanan secara berterusan sejak bermulanya pandemik serta kurniaan bantuan untuk pembinaan atau membaik pulih rumah-rumah Bangsa Johor yang terkesan akibat bencana,” katanya.

Semoga Allah memberkati dan melanjutkan usia baginda Tuanku.

Daulat Tuanku! – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×