Hargai wanita sekeliling kita

Hargai wanita sekeliling kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANTIKAN Profesor Dr. Azlinda Azman sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) mengikuti langkah Profesor Datuk Dr. Narimah Samat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan pengiktirafan tinggi diberikan kepada wanita.

Sekarang ini juga pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM yang dipilih melalui undi adalah pelajar wanita, Faizah Abdul Rahman.

Dalam dunia akademik negara telah ada beberapa wanita termasuk saintis dilantik sebagai naib canselor universiti awam seperti Presiden Akademi Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Profesor Datin Dr. Aini Ideris dan beberapa lagi yang memberikan impak besar terhadap universiti.

Ramai wanita hebat di sekeliling kita kini menjadi ahli politik seperti Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad. Ramai juga menjadi ahli perniagaan berjaya dan tidak kurang pemimpin masyarakat disegani.

Berdasarkan tema Hari Wanita 2022, Saksama Bersama, masyarakat perlu melihat peluang sama rata kepada wanita dalam pelbagai sektor tanpa diskriminasi gender.

Juga penghormatan dan kedudukan tidak berat sebelah dalam apa jua urusan yang dibenarkan oleh sistem nilai, agama dan budaya.

Saya sentiasa menyanjung tinggi ahli-ahli akademik wanita yang berada di universiti. Mereka bukan sahaja ilmuwan, malah ahli akademik dan pakar dalam bidang tertentu, mendidik dan menyampaikan ilmu, seorang pemimpin di tempat kerja, penyelidik dan di rumah menjadi seorang anak, isteri atau ibu kepada sebuah keluarga.

Saya pernah berbual dengan seorang pensyarah wanita yang berkongsi jadual hariannya. Bangun awal pagi, sediakan sarapan untuk keluarga, hantar anak ke sekolah, pergi pejabat, uruskan rutin jabatan, terlibat dalam penyelidikan, menyediakan kertas dan penulisan jurnal, menyelia pelajar ijazah tinggi, memeriksa kertas peperiksaan dan pelbagai lagi.

PINCANG

Bagaimana pula dengan usaha seorang ibu membesarkan anak-anak seorang diri setelah ditinggalkan suami? Ramai juga wanita yang hidupnya terseksa disebabkan masalah keluarga dan rumah tangga yang pincang.

Kita sedih dengan kisah-kisah penderaan fizikal dan mental dihadapi oleh wanita yang masih sering didengar, dibaca dan ditonton termasuk media sosial.

Kaum wanita perlu diberikan penghakupayaan untuk bangun menentang kezaliman dan penindasan seperti ini. Ini termasuk menghadapi pemerdagangan manusia dan terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang dan hukum agama.

Peranan wanita juga sangat dominan dalam ekonomi bukan sahaja sektor skala besar seperti memimpin institusi dan membangunkan perniagaan yang membuat keputusan-keputusan penting tentang dasar dan urusan perniagaan tetapi juga terdapat ibu-ibu di kawasan pedalaman.

Mereka bangun awal pagi menyediakan bahan jualan untuk menampung pendapatan keluarga, menoreh getah atau ke sawah membantu suami.

Kerana itu, kaum wanita perlu dihormati dan peranan mereka tidak dipandang remeh. Wanita hari ini memainkan peranan besar dan memberikan sumbangan bermakna dalam membina masa hadapan masyarakat dan negara.

Suara mereka juga perlu didengar dalam membuat sesuatu keputusan dasar berkaitan kehidupan wanita dan keluarga, apatah dalam proses pembangunan ekonomi negara. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan (Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni), Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×