BARU-BARU ini, saya dijemput oleh Jawatankuasa Kebangsaan Diaspora Azerbaijan untuk melawat negara Kaukasus itu sempena memperingati 30 tahun tragedi pembunuhan beramai-ramai Khojaly.
Program julung kali pada tahun ini disertai seramai 26 wartawan, penulis dan pempengaruh media sosial dari 12 negara.
Seperti orang lain, pada awalnya saya bangga kerana merupakan satu-satunya wakil dari Malaysia yang terpilih.
Namun, kegembiraan itu berubah sekelip mata sebaik sahaja penganjur memberi taklimat tentang pergerakan program selama seminggu.
Pada hari kedua, kira-kira pukul 10.40 pagi, kami bertolak ke perkampungan Edilli dengan tiga van. Perjalanan ke situ memakan masa lebih lima jam. Mujur lebuh raya dan jalan raya di Azerbaijan berada dalam keadaan yang sangat baik dan memuaskan.
Edilli merupakan salah satu perkampungan di Khojavand yang terkena tempias keganasan dan kerakusan Armenia selain Akhullu, Salaketin, Tug dan sebagainya.
Anehnya, tidak banyak berita tentang jenayah Armenia didedahkan media antarabangsa terutama Barat. Pada sebelah petang, kami tiba di sebuah pusat pemeriksaan polis untuk masuk ke bandar Fuzuli. Setiap daripada kami diarahkan untuk menyerahkan pasport bagi tujuan pemeriksaan.
Situasi itu membuatkan saya rasa aneh kerana berasakan seolah-olah sedang memasuki negara lain. Lantas saya bertanyakan kepada pemandu van.
Katanya, kami akan masuk ke sebuah daerah yang baru dibebaskan oleh Azerbaijan pada 2020. Daerah Fuzuli terletak di wilayah Karabakh yang berada di bawah pendudukan Armenia selama 27 tahun.
Makluman itu memeranjatkan saya. Mana tidaknya, selama ini saya sekadar membaca daripada jurnal-jurnal politik dan menonton pergolakan wilayah itu menerusi kaca televisyen sahaja. Tapi sekarang saya sendiri yang menjejakkan kaki ke wilayah itu.
Sebelum peperangan pertama Nagorno-Karabakh (1988-1994), terdapat lebih 17,000 penduduk di kota Fuzuli.
Setelah penceroboh Armenia menakluki Karabakh, mereka menjalankan banyak operasi pembunuhan serta menghalau keluar warga Azerbaijan yang mendiami kawasan tersebut. Sejak itu, lebih tiga dekad kota ini sepi daripada suara dan aktiviti manusia sehingga diberi julukan kota hantu.
Sebaik melepasi kawalan pemeriksaan, saya tergamam melihat persekitaran bandar itu yang kosong dan sepi. Apa yang kelihatan hanyalah anggota-anggota polis dan tentera sedang bertugas serta bangunan-bangunan yang sudah ranap akibat hentaman senjata-senjata berat.
Selang beberapa minit merentasi jalan raya kosong tanpa kenderaan, pemandu memutarkan stereng masuk ke selekoh jalan yang tertera Edilli, Khojavand.
Malangnya, jalan menuju Edilli sangat menyayat hati, terasa seolah-olah sedang menunggang kuda selain sempit dan berbukit bukau.
TAHANAN PERANG
Sepanjang perjalanan yang menyeksakan itu, kami dihidangkan dengan pemandangan rumah-rumah usang yang tidak berpenghuni. 15 minit kemudian, kenderaan berhenti di hadapan sebuah bukit.
Dari situ saya dapat lihat segerombolan manusia yang terdiri daripada askar, polis dan orang awam sedang memerhatikan sebuah lubang yang besar. Disebabkan tidak mahu membuang masa, saya terus melangkah keluar dari van dan segera mendaki bukit ke kawasan tumpuan itu.
Astaghfirullah! Itulah ucapan yang terpacul keluar dari mulut saya. Kaki seolah-olah terpaku keras, tidak mampu untuk bergerak lagi.
Akal fikiran seolah-olah tidak dapat menerima hakikat yang kedua-dua mata saya sedang melihat tengkorak dan tulang belulang manusia. Bukan satu, dua, tapi banyak.
Di tengah-tengah lubang itu, terdapat dua susuk lelaki sedang berdiri tegak, bersedia untuk membuat ucapan.
Shamsi Shikhaliyev merupakan bekas tahanan perang Armenia yang diculik pada Ogos 1993 sewaktu dalam perjalanan untuk membantu ahli keluarganya. Dia ditahan selama 48 hari.
Menurutnya, dia dan beberapa tahanan lain diarah untuk menggali lubang tersebut dan menyaksikan sendiri bagaimana tubuh badan anggota pihak berkuasa Azerbaijan yang terbunuh di Fuzuli diangkut dengan trak bersama sampah sarap lalu ditanam dalam lubang yang digali mereka.
Setelah kejayaan Azerbaijan membebaskan wilayah Karabakh daripada cengkaman pengganas Armenia pada 2020, Suruhanjaya Kebangsaan bagi Tawanan Perang, Tebusan dan Orang Hilang Azerbaijan melancarkan operasi mengesan dan menggali kawasan-kawasan yang terdapat potensi mayat manusia di seluruh wilayah Karabakh.
Zaur Ismayilov, petugas suruhanjaya berkenaan yang turut berada di situ menjelaskan, mereka percaya ada lebih banyak rangka dalam lubang sama atau berdekatan. Oleh itu, proses penggalian perlu diteruskan dengan cermat.
Sementara itu, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada tulang-tulang yang ditemukan itu perlu dijalankan untuk mengenal pasti identiti mayat. Kemudian, ia akan diserahkan kepada pihak keluarga bagi tujuan pengebumian.
Perasaan saya sewaktu berada di sana benar-benar bercampur baur. Sedih melihat nasib umat yang maruah mereka dirobek-robek, marah apabila masyarakat dunia sekadar mendiamkan diri dan gembira setelah Azerbaijan berjaya membebaskan bumi mereka dengan tangan sendiri. – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.











