Bukan ukuran Cina kembali ke MCA - Utusan Malaysia

Bukan ukuran Cina kembali ke MCA

MCA perlu bertindak menjadi rakan kongsi dalam memperjuangkan hak kehidupan komuniti Cina sebagai sebahagian rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMAT menarik keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) buat pertama kali sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Kemenangan BN ini turut disumbangkan oleh faktor perubahan undi Cina di luar bandar. Jika dilihat hampir keseluruhan di kawasan majoriti Melayu yang mempunyai peratusan undi Cina kurang daripada 30 peratus (%) di 13 daripada 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu menunjukkan undi Cina telah kembali kepada BN.

Apa yang paling menarik adalah di 14 DUN majoriti Cina melebihi 45% menunjukkan majoriti undi diperoleh DAP berjaya dikurangkan melebihi separuh majoriti semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Ini berkemungkinan disebabkan beberapa faktor kenapa undi Cina sangat berkurangan ke atas DAP.

Situasi ini berlaku disebabkan hampir 35% pengundi Cina tidak keluar mengundi berbanding PRU14 lalu iaitu lebih kurang 12%. Boleh dikatakan DAP hanya berjaya mendapat sokongan undi Cina 35% berbanding 65% dalam PRU14. Undi Cina yang kembali kepada MCA pula adalah 30% berbanding 10% dalam PRU14. Jadi, tidak menghairankan kerusi yang dimenangi DAP berjaya dikurangkan daripada 14 kepada 10. Majoriti anak-anak muda Cina boleh dikatakan telah sosialisasi politik mengikut corak politik ibu bapa mereka.

Berkemungkinan penyebab berlakunya ketidakhadiran pengundi Cina kerana situasi kes Covid-19 dan andaian PRN tidak begitu memberikan impak perubahan besar ke atas dasar kerajaan. Malahan di beberapa DUN dimenangi DAP juga menunjukkan perubahan ketara undi Cina berkurangan walaupun pelbagai strategi DAP digunakan masih gagal memujuk mereka keluar mengundi. Faktor kedua, undi Cina kembali kepada MCA kerana politik etnik masih menebal.

Boleh dilihat hampir keseluruhan calon Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR terdiri daripada calon Melayu ditolak kecuali di DUN Simpang Jerom. Penolakan undi Cina ini boleh dilihat di beberapa DUN seperti Kempas, Paloh dan Mahkota.

Begitu juga calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) juga ditolak oleh pengundi Cina kecuali di DUN Puteri Wangsa. Ini disebabkan undi Cina telah berpecah kepada Gerakan dan MCA yang menyebabkan pengundi Cina yang menolak Gerakan akhirnya terpaksa mengundi MUDA. Walaupun begitu, majoriti kubu kuat DAP, DUN Puteri Wangsa berjaya dikurangkan daripada 24,959 undi semasa PRU14 kepada 7,114.

Majoriti undi Cina diperoleh MUDA adalah dalam kalangan anak-anak muda yang mengundi buat pertama kali. Momentum undi anak-anak muda Cina masih permulaan dan dipengaruhi kuat oleh media sosial. Berbanding pengundi Cina yang telah biasa mengundi hanya MCA dan DAP menjadi pilihan.

TURUN PADANG
Di DUN Bukit Batu, undi Cina dan India yang memihak kepada BN telah berpecah kepada Gerakan. Akibatnya, MCA gagal memenangi kerusi itu. Majoriti undi Cina yang memihak kepada PKR datang dari kawasan bandar. Ini menunjukkan MCA perlu memperkasakan undi Cina di kawasan bandar melalui beberapa perubahan dalam masa terdekat.

MCA perlu sentiasa turun padang dalam menyelesaikan isu setempat masyarakat Cina di bandar mahupun luar bandar. Ini amat penting kerana penolakan ke atas DAP berlaku kerana gagal menjalankan kefungsian DUN dan Parlimen setelah memenangi PRU14.

Anak-anak muda Cina juga perlu sentiasa digempur terutama dalam media sosial selain memfokuskan kepada peluang pekerjaan dan pendidikan yang boleh memberikan kebersamaan sebagai satu masyarakat Malaysia. Sikap acuh tidak acuh ke atas isu gejala sosial dalam kalangan anak-anak muda Cina juga perlu ditangani seperti gangsterisme.

Keharmonian dan kemakmuran yang dijanjikan oleh BN perlu dilelehkan sehingga ke peringkat umbi komuniti Cina di bandar dan separa bandar. MCA perlu menilai semula defisit kehidupan yang berlaku disebabkan kemiskinan bandar dan kehilangan pekerjaan akibat impak Covid-19.

MCA tidak perlu menjadi parti kedua dalam komponen BN. Sebaliknya perlu bertindak menjadi rakan kongsi dalam memperjuangkan hak kehidupan komuniti Cina sebagai sebahagian rakyat Malaysia. Malahan MCA perlu menangani dilema konsep Malaysian Malaysia kerana akan mengancam keharmonian kaum.

Kemenangan MCA dalam PRN Melaka dan PRN Johor kali ini tidak boleh dijadikan kayu ukuran bahawa undi Cina kembali kepada MCA. Sebaliknya MCA wajar menilai undi yang kembali sebenarnya ingin memgimbangkan kedudukan antara parti pemerintah dan parti oposisi yang mewakili kepentingan komuniti Cina di negara ini.

Tanpa wujudnya keseimbangan ini akan menyebabkan sesebuah parti akan melupai tugas sebenar dalam membela nasib dan kepentingan komuniti Cina. Walaupun Gerakan ditolak di DUN Bukit Batu tetapi penolakan ini tidak boleh dipandang ringan oleh MCA. Kritikan yang sentiasa dilemparkan ke atas MCA bahawa parti ini bukan mewakili suara minoriti dalam isu semasa apabila berlakunya krisis kepentingan etnik dan agama wajar direnung kembali. MCA perlu menunjukkan mereka bekerja di belakang tabir apabila berlaku krisis tersebut. Penunjukan gerak kerja dan kompromi sebagai rakan kongsi dalam BN perlu diuar-uarkan dalam media sosial semasa menyelesaikan setiap krisis.

Seterusnya, MCA mulai hari ini perlu berani dan tampil bertanding di DUN atau Parlimen majoriti Cina tanpa perlu rasa takut. Belajar daripada pengalaman lalu dalam memperbaiki imej parti terutama BN agar slogan Keluarga Malaysia menjadi kenyataan dalam masyarakat Cina sebagai satu bangsa Malaysia.-UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×