BARISAN Nasional (BN) telah mencapai satu kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu. Menang 40 daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah satu kejayaan besar.
Usaha gigih dan kerja kuat semua anggota BN rasa terbalas. Berminggu berkampung dan berkempen di Johor menjelang 12 Mac terasa lega dengan keputusan dicapai.
Bagaimanapun, kemenangan besar BN ini bukan bermakna mereka boleh berpeluk tubuh, bersenang-lenang dan terus berehat. Kemenangan ini saya lihat sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk terus kukuh dan menguasai politik dan pentadbiran Johor.
Dalam keadaan politik yang dinamik, sebarang perubahan boleh berlaku. Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008, BN Johor mencapai kemenangan 100 peratus. Perubahan besar berlaku selepas PRU 2008 dan 2013 sehingga gagal menguasai pentadbiran negeri dalam PRU14. BN hanya berjaya menguasai 21 kerusi daripada jumlah keseluruhan 56.
Oleh itu, kemenangan besar pada 12 Mac lalu jangan sesekali dianggap kemenangan kekal yang terus gemilang dan tidak mungkin dicabar oleh mana-mana parti. Perikatan Nasional (PN) walaupun hanya memenangi tiga kerusi pada kali ini, tetapi jumlah undi popular diperolehnya jangan dianggap remeh. Penyusunan semula dan strategi baharu parti-parti pembangkang akan mampu memberi cabaran kepada BN pada masa akan datang.
Kesemua 21 kerusi ditawan semula oleh BN dilihat berada dalam majoriti besar yang selamat. Hanya empat kerusi yang majoriti kurang 1,000 undi, iaitu Bukit Pasir, Serom, Parit Yaani dan Senggarang.
Apa yang penting adalah bagaimana kedudukan ini mampu dipertahankan dalam PRU15 nanti. Bukan menafikan kekuatan BN/UMNO, tetapi kedudukan parti lawan juga tidaklah lemah. Ada beberapa DUN yang kedudukan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat sokongan agak kuat. Misalnya di Bukit Pasir, Tenggaroh dan Tiram, sokongan terhadap Pas agak kuat. Kemungkinan kemenangan oleh Pas dalam PRU15 adalah tidak mustahil.
Keyakinan pengundi terhadap BN perlu terus dibina. Mana yang perlu dan mampu terus dilaksanakan tanpa bertangguh. Janji diberikan kepada rakyat adalah sangat penting. Jika janji diabaikan, sokongan akan menurun pada PRU akan datang.
Harus juga diambil pengajaran dengan apa yang berlaku kepada Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14. Salah satu sebab sokongan menurun adalah kerana janji tidak ditunaikan (selain dasar tidak selaras terhadap penduduk majoriti, orang Melayu). Dalam memenuhi survival sokongan jangka panjang terhadap BN/UMNO, persoalan janji dan manifesto PRN perlu benar-benar dipenuhi. Manifesto adalah persoalan besar dalam survival politik jangka panjang.

Tidak menafikan sokongan pengundi kaum minoriti (Cina dan India), pengundi Melayu menjadi penentu penting kebangkitan semula BN dan UMNO. Pencapaian buruk BN/UMNO Johor dalam PRU14 adalah kerana pengundi Melayu telah beralih sokongan. Sedikit peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PH membawa implikasi kepada trend keputusan buruk kepada BN/UMNO.
Persoalan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah isu besar yang perlu menjadi asas perjuangan dan pelaksanaan dasar pembangunan sosioekonomi dan pendidikan orang Melayu. Perkara ini seharusnya menjadi asas kepada setiap dasar kerajaan sebagaimana dilakukan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak pada awal 1970-an. Sebagai contohnya, pemberian biasiswa kepada pelajar Melayu selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta peluang perjawatan awam adalah persoalan besar yang perlu diambil perhatian. Isu ini masih sangat relevan dalam menarik sokongan pengundi generasi muda. Penurunan umur mengundi kepada 18 tahun (Undi18) menambah lagi peri penting menjaga golongan muda kumpulan majoriti ini.
Dalam suasana politik yang dinamik, kemenangan di Johor bukan benar-benar kekal dan berterusan dalam PRU akan datang sekiranya berlaku salah tafsir dan tindakan kurang tepat. Renung masak-masak semua keputusan dan tindakan yang bakal dilakukan. Tepat bertindak, bernas hasilnya. Salah bertindak, mungkin hampa hasilnya.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.










