MUKADIMAH
PERCUBAAN Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diharap oleh kepimpinannya mampu mencetus satu dimensi kepada politik tanah air.
Kata Presidennya, DATUK SERI MOHD. SHAFIE APDAL, penampilan sulung Warisan di Semenanjung itu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita (Warisan) kena ukur kekuatan bertanding di kawasan pelbagai bangsa kerana PRU15 pun saya yakin dalam waktu terdekat,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan JUANI MUNIR ABU BAKAR disertai jurufoto, RAJA JAAFAR RAJA ALI di Iskandar Puteri, Johor semalam.
UTUSAN: Baguskah sambutan orang Johor kepada Warisan?
MOHD. SHAFIE: Semakin hari semakin dapat sambutan. Ini petanda cukup baik. Daripada tidak kenali parti dan calon Warisan, kini ada peningkatan. Penyatuan manusia menjadi keutamaan Warisan.
Selepas itu, kita berkehendak sebuah kerajaan berintegriti. Ada ketelusan daripada dasar dan pentadbiran negeri. Kita mahu inclusiveness (keterangkuman). Jangan ada kaum itu, bangsa ini, agama itu, maka kita asingkan.
Daripada enam kerusi, dua kawasan Cina dan empat Melayu. Mengapa fokus kepada agihan ini?
Kita fokus kepada masyarakat pelbagai bangsa walaupun ada kawasan Cina juga Melayu iaitu sekitar 60 peratus seperti Pekan Nanas. Ada kawasan majoriti Cina lebih 60 peratus seperti Johor Jaya dan Bukit Batu. Kawasan India pula seperti Bekok, kira-kira 27 peratus pengundinya. Ini kawasan yang kita mahu ada inclusiveness.
Mengapa tidak tanding semua 56 atau sekurang-kurangnya 28 kerusi?
Warisan baru dilancarkan Disember 2021, kemudian masuk Januari, Februari dan sekarang Mac (2022). Walaupun di Semenanjung parti baharu, tetapi mereka kenal kita sebagai gabungan Pakatan Harapan (PH) di samping mengenali tokoh pimpinan termasuk saya yang pernah berkhidmat sebagai menteri lebih 35 tahun.
Warisan kena ukur baju sendiri. Warisan boleh tanding 30 kerusi, tetapi satu menang, itu baru sahaja 10 peratus. Tetapi kita bertanding satu kerusi, kita menang 100 peratus.
Ini persediaan kita mahu lahirkan wakil rakyat menjadi pembangkang yang kuat, ada semak dan seimbang.
Adakah cuma bertanding enam, Warisan sudah merasakan tiada parti dapat majoriti selesa Sabtu ini?
Kita bukan jadi king maker, tetapi hendak pastikan jadi check and balance (semak dan imbang). Kalau kita hendak kerajaan, sekarang pun boleh. UMNO pun hendakkan kita. Dahulu pun Perikatan Nasional (PN) hendak Warisan masuk membantu. Sebenarnya kita boleh dapat jawatan menteri. Esok pun boleh dapat tetapi ini bukan perjuangan kita.
Namun. kita mahu jadi pembangkang kuat. Malah kita satu-satunya pembangkang kuat di negara ini. Hendak cakap PH pembangkang kuat, tetapi dah tandatangan memorandum dan dapat duit RM3 juta. Sekarang macam-macam tawarkan kepada kita. Warisan tak nak, tapi mereka beli pula orang kita.
Bagaimana peluang parti-parti lain di Johor ini?
Tidak seimbang, apatah lagi dengan SOP (prosedur operasi standard) kempen. Bayangkan kita hendak kempen di pasar, kita tidak boleh, tetapi BN boleh. Mereka boleh berhimpun lebih 100 orang, tetapi kita tidak boleh buat. Ada sahaja tekanan, ini dwistandard.
Adakah PRN Johor jadi titik permulaan PRU15 Warisan?
Kita dah bagi ruang kepada rakan-rakan PH di PRN Melaka dan Sarawak, akhirnya kosong juga. Pasal apa? Sebab ada pilihan. Rakyat tidak suka dan menyebabkan jumlah pengundi pun turun. Jadi, apa pilihan yang ada? Maka Warisan tawarkan pilihan kepada rakyat.
Semalam (kelmarin) jumpa kaum Cina, bukan main sambutan mereka sampai berteriak, “kita mahu Warisan, kita mahu Datuk.” Jarang jumpa Cina seperti ini. Saya sedar mereka memilih kita sebagai alternatif, tetapi kita tidak terhad kepada kaum Cina tetapi juga kaum lain.
Kalau ikut Demokrat dan Republikan, kedua-duanya tidak berdasarkan bangsa dan agama. Tetapi menjadi pilihan kerana mereka mengangkat isu-isu pekerjaan, kesihatan, makanan dan harga barang. Ini menjadi keutamaan kepada mereka.
Setujukah MoU kerajaan-PH?
Saya tidak setuju sebab umpama seorang manusia yang kita punya tetapi mandat diambil orang lain. Tetapi selepas itu bantu pencuri demi sokongan. Jadi, nilai apa kita ambil ini? Bukan ini rakyat mahu, tetapi mereka hendak PH. Tetapi kita bergaduh dalam pimpinan PH dengan kata, “saya ada cukup nombor.” Tengok-tengok tiada jumlah. Ini yang membimbangkan kita.
PRN Johor amat penting?
Ya, PRN Johor amat penting sebab yang menentukan siapa jadi kerajaan dan wakil rakyat di Mahkota, Permas, Pekan Nanas, Bekok dan Bukit Batu bukannya UMNO, DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bukan juga Warisan. Tetapi yang menentukan adalah Bangsa Johor.
Perlukah PRN lagi selepas di Johor?
Sepatutnya bukan hanya hendak kestabilan di peringkat negeri tetapi nasional dan mahu pulihkan imej negara. Kita kehilangan pelabur bukan sahaja dari luar, tetapi juga dalam negara.
Harapan dan sasaran kerusi Warisan 12 Mac ini?
Saya melihat, insya-Allah ada (kemenangan). Bagi kita tidak perlu menyatakan letak 100 kerusi untuk kita menang semua. Tetapi sekurang-kurangnya kita letak enam. Cuba dengan sedaya upaya terhadap keenam-enam kerusi ini. – UTUSAN