Bitcoin tidak salah, curi elektrik satu jenayah

Bitcoin tidak salah, curi elektrik satu jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BITCOIN itu tidak salah, namun cara melombongnya yang salah.” Dua kali Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, DATUK SERI ABD. JALIL HASSAN menegaskan perkara itu dalam temu bual di pejabatnya di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, kelmarin.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan MASZUREEN HADZMAN serta jurufoto SHIDDIQIN ZON, beliau mendedahkan terdapat peningkatan kes kecurian elektrik melibatkan perlombongan mata wang digital, Bitcoin secara haram dan semakin berleluasa di negara ini.

Disebabkan jenayah ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menanggung kerugian sehingga mencecah jutaan ringgit setahun.

Ekoran itu, satu jalinan kerjasama antara TNB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimeterai untuk membanteras kegiatan kecurian arus elektrik secara besar-besaran sejak 2020.

UTUSAN : Sebelum ini TNB mendedahkan aktiviti kecurian elektrik membabitkan sindiket lombong Bitcoin di seluruh negara sejak dua tahun lalu. Apa tindakan PDRM?
ABD JALIL: Satu operasi bersepadu di antara PDRM dan TNB diadakan pada November 2020 yang mana telah menggempur beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Kawasan tumpuan adalah premis perniagaan yang diubah suai untuk menjalankan aktiviti mencuri arus elektrik bagi tujuan perlombongan Bitcoin secara haram.
Sehubungan itu, operasi menyeluruh di semua peringkat kontinjen diadakan secara besar-besaran bagi membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa.

Bagaimana modus operandi mereka?
Mereka akan membuat tinjauan ke atas premis yang dianggap sesuai. Lazimnya bangunan kedai dua atau tiga tingkat di kawasan pembinaan baharu. Kemudian mereka melantik kontraktor atau jurutera bagi tujuan pengubahsuaian premis dan pendawaian yang mahir mencuri arus elektrik.

Penyambungan elektrik secara haram dibuat ke atas kotak pengagihan arus TNB. Penyambungan ini cenderung untuk by pass (pintas) kotak tersebut.

Mereka juga akan mencari serta menggunakan data-data kad pengenalan orang lain untuk mendaftar meter TNB.

Di mana spot atau kawasan sasaran sindiket?
Mereka lebih memilih kawasan perkilangan yang kurang maju, kurang aktif seperti kawasan industri kecil dan sederhana.

Contoh, kilang kertas yang sebenarnya tidak menggunakan tenaga elektrik yang banyak tetapi disebabkan sindiket ini, penggunaan elektrik kilang tersebut melonjak tinggi seolah-olah seperti kilang membuat besi atau wayar. Jadi, TNB rasa sangsi dan mereka mempunyai pasukan sendiri, Team Seal TNB yang pakar dalam teknologi yang boleh mengesan pengaliran arus elektrik yang tinggi atau tidak sesuai menggunakan dron.

Cara yang sindiket gunakan ini dapat mengurangkan penggunaan dan pembayaran bil elektrik kerana kalau you nak create unit Bitcoin yang bernilai 0.01, you kena jana elektrik 24 jam dengan 20 alat Bitcoin untuk mendapatkan nilai tersebut.

Berapa kerugian yang terpaksa ditanggung TNB?
Kira-kira RM2 bilion pada 2020 dengan nilai rampasan sebanyak RM1.3 juta melalui 21 serbuan, 26 tangkapan dan 2,398 rampasan mesin.

Pada tahun lalu, kita berjaya merampas 40,376 mesin melalui 590 serbuan dengan nilai rampasan RM54.5 juta manakala tahun ini sehingga Februari lalu, kita menangkap 73 orang dengan jumlah rampasan mesin 11,700 melalui 268 serbuan bernilai RM15.2 juta.

Bagaimana nak tahu jika sesuatu kawasan itu ada kegiatan haram perlombongan Bitcoin?
Senang saja, you boleh pastikan di kawasan rumah you, kenapa bekalan elektrik kejap ada, kejap mati? Maknanya ada gangguan elektrik. Hal ini kerana mereka menyalahgunakan bekalan elektrik di kawasan perumahan dengan menyedut arus elektrik.

Contoh, ada 100 unit rumah, sepatutnya guna 100 kilowatt tetapi mereka gunakan sepenuhnya bekalan elektrik itu untuk kegiatan haram menyebabkan kawasan perumahan selalu terputus elektrik.

Pun begitu, ia tidak melibatkan kenaikan bil elektrik, cuma peralatan elektrik akan rosak. Namun, ia secara tidak langsung melibatkan soal keselamatan pengguna lain berdekatan kawasan tersebut.

Justeru, orang ramai digalakkan membuat laporan sekiranya mengesyaki sesuatu kawasan itu menjadi spot kegiatan perlombongan haram Bitcoin. Selain bekalan elektrik tidak stabil, bunyi bising dan panas juga antara indikator kemungkinan wujudnya sindiket tersebut.

Jika tidak dibanteras, ia bukan sahaja boleh mengundang bahaya tetapi menyebabkan peralatan elektrik rosak dan pengguna terpaksa membayar tarif elektrik lebih tinggi.

Di mana mereka dapat mesin untuk menjalankan aktiviti ini?
Mereka beli di pasaran gelap secara dalam talian tetapi isytihar sebagai peralatan komputer.

Apa hukuman boleh dikenakan?
Mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, apabila disabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dikenakan hukuman penjara dan boleh dikenakan sebatan.

Mereka juga boleh disabit atas Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika bersalah.
Tindakan mereka juga boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990, iaitu mana-mana orang yang mengganggu atau melaraskan apa-apa pemasangan, apabila disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Atau di bawah Seksyen 37 (3) akta sama apabila disabitkan kesalahan, denda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Cukupkah undang-undang sedia ada untuk membanteras kegiatan ini?
Sebab itu PDRM bersama TNB berhasrat menjalin kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk memperhalusi lagi tindakan sedia ada. Jadi, kita mahu cadangkan agar undang-undang ini diperketat sehingga boleh diambil tindakan di bawah pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×