KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin mencetuskan satu persoalan besar – apakah Pakatan Harapan (PH) sudah boleh bergerak sendiri tanpa PKR?
DAP yang menjadi tunjangnya, Utusan Malaysia difahamkan kembali serius memikirkan saranan wakil rakyatnya dari Bilut, Lee Chin Chen, November tahun lepas selepas PRN Melaka.
Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berundur sebagai Ketua Pembangkang, kata Chin Chen. Pakatan pembangkang pula perlu meneroka hala tuju dan konsensus baharu secepat mungkin.
Tetapi syor Chin Chen tidak diterima pakai. Dua bulan kemudian, PH kecundang lagi di Sarawak, disusuli tiga bulan selepas itu di Johor.
Adakah PH memerlukan satu lagi ‘khemah besar’? Dengan siapa?
Ketika PH sedang menangisi nasibnya, akhbar ini dimaklumkan Perikatan Nasional (PN) turut berdepan gelora sama. Difahamkan ada pihak sudah merencanakan struktur kepimpinannya yang baharu. Susulan kekalahan teruk di Johor, dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri dikepalai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya kehilangan tujuh kerusi berbanding lapan diraih pada 2018 – kerana Endau kerusi lompat dari UMNO, barangkali Muhyiddin sudah boleh ‘berfikir-fkir.’
Dan ada sebabnya kelmarin beliau meluahkan kesediaan melepaskan jawatan Pengerusi PN. Namun PN tanpa Muhyiddin ibarat rupa tanpa wajah. Tidak bernyawa.
Di sebalik kekalahan teruk Bersatu, khabar yang hinggap di telinga akhbar ini dikatakan akan berlaku ‘pulang ke pangkal jalan’ oleh beberapa pemimpin kanan parti itu ke UMNO.
“Itu telah berlaku sebelum penamaan calon di Johor dan ketika kempen lagi. Kemungkinan besar kali ini berulang. Tapi mereka perlu masuk melalui anak tangga, bukan tingkap,” kata sumber tertinggi UMNO.
Hakikatnya, di atas kertas, semua maklum PN dan PH sukar menang sebelum masuk gelanggang. Termasuklah dari strategis DAP, Liew Chin Tong sendiri semasa bercakap dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, Johor gelanggang do or die Bersatu. Tetapi tidak buat DAP.
“Kurang lima kerusi,” menjawab pertanyaan akhbar ini berapa dia boleh ramalkan kerusi dimenangi Bersatu.
MENGHALA PRU15
Jadi, selepas Johor, apa lagi peristiwa besar? Satu lagi PRN atau lebih fokus lagi menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)? Minggu ini, dimulai lusa, 16 Mac dilangsungkan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Esoknya, perhimpunan serentak ketiga-tiga sayap parti itu, diikuti ucapan dasar dan perasmian perhimpunan agung selama dua hari.
Sudah lama perhimpunan UMNO tidak berlama-lama begini. Keyakinan mengembalikan empat hari menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya bertarikh 22 Januari 2022 menandakan keyakinan parti itu mahu mara melupakan kepahitan 9 Mei 2018.
“Gesaan segerakan PRU15. Ini masa dan ketikanya. Bukan sebab PH dan pembangkang amat lemah waktu ini tetapi kerana Malaysia memerlukan kerajaan stabil di mata dan telinga antarabangsa termasuk pelabur.
“Tagline kestabilan dalam kempen PRN Johor itu menjadi mesej penting BN masuk gelanggang PRU15,” kata sumber lagi.
Penentuan masa yang tepat, penting dalam merencanakan tarikh PRU. BN pasti sudah belajar daripada kegagalan membaca situasi, lantas melewatkan PRU14. Sepatutnya dilangsungkan awal lagi, 2017. Semasa itu aura Malaysia memuncak. Lawatan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia dari 26 Februari hingga 1 Mac berserta suntikan pelaburannya, sekali gus menjadi tempias kepada perkembangan syiar Islam Kuala Lumpur diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Imej Malaysia yang digeruni dalam sukan apabila dimahkotakan sebagai juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah mengumpul 144 pingat emas keseluruhan, menandakan sewajarnya disegerakan PRU14. Tetapi difahamkan, “tunggu, tunggu, kita mahu majoriti dua pertiga.” Lewat hampir setahun dari temasya sukan itu (19-30 Ogos 2017) ke 9 Mei 2018, dikusutkan lagi dengan isu 1MDB, menumbangkan BN yang berkuasa lebih enam dekad.
Sama seperti Bersatu, ketika rakyat ‘menari-nari’ sukakan pemimpinnya yang tampak mampu menyelamatkan Malaysia yang baru dilanda pandemik Covid-19, tarikh sesuai PRU15 bersekali dengan PRN Sabah 26 September 2020.
Barang yang lepas jangan dikenang. Adakah Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur minggu ini menjadi medan berkisar pembubaran Parlimen, khususnya dalam ucapan penggulungan Naib Presidennya nanti?
MASA DEPAN MN
Dan tentu sekali keputusan PRN Johor membawa Pas kembali ke meja rundingan membincangkan masa depan Muafakat Nasional (MN). Cuma adakah perwakilan UMNO nanti akan memberi peluang lagi kepada parti yang sering mengeluarkan hujah, ‘kita kalah tetapi belum menang lagi’ ini?
Diherdik sebagai ‘itik patah kaki’ oleh Presiden Pas, mampukah dimaafkan oleh orang UMNO?
Realitinya, cantuman usahasama UMNO-Pas bukanlah kerja sia-sia. Kenapa pula tak boleh orang Melayu bersatu? Kepada orang Melayu amnya, kerjasama UMNO-Pas itu akan membuka kepada beberapa ruang untuk berbaik-baik sangka. Maka sepatutnya inilah masanya bagi bangsa Melayu melihat sama ada sejarah PRU 1974 (ketika Pas menyertai gabungan parti Perikatan – UMNO, MCA dan MIC) dapat dijayakan bersama ataupun tidak.
Cuma selepas ini hanya jika keikhlasan dan prasangka dapat diatasi, MN disepakati UMNO-Pas tidak rugi dijayakan.
POLITIK, ILMU SEIRING
Dan daripada semua keputusan diperoleh daripada empat PRN terutama PRU14 tempoh hari, perkara besar ini jika berjaya dimanfaatkan mana-mana parti politik, mereka pasti akan dekat di hati rakyat.
Apa? Ya, politik dan ilmu yang mesti seiring.
Politik ini luas. Ilmu mesti ada, strategis pun sama. Perjuangan mesti ada serta hala tuju. Apakah visi kita? Kalau ramai cerdik pandai, tetapi tiada visi, tiada gunanya.
Meminjam kata-kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada akhbar ini:
“BN mesti diwakili oleh segenap masyarakat. Ini supaya mencerminkan komposisi masyarakat sedia ada.
“Jika bercakap dengan golongan bijak pandai, kita ada. Dengan golongan menengah dalam UMNO, kita ada.
“Bila bercakap dengan golongan marhaen, kita ada golongan ini dalam parti. Tiada kumpulan dan lapisan masyarakat yang berasa janggal dengan UMNO.”
Memperingatkan lagi, tegas Tok Mat: “UMNO mesti menghasilkan pemimpin yang apabila dia bercakap, orang faham. Bila orang faham apa dicakapkan, ia mesti lekat di hati pengundi.
“Seperti bercakap kepada petani dan pekebun mengenai perang Rusia dan Ukraine, dia tidak peduli mana. Yang dia mahu tahu pisang tidak boleh jual. Kerana itu mesti ada semua lapisan masyarakat dalam UMNO.” – UTUSAN