APA dihairankan sangat akan mana satu yang betul atau salah dalam isu perlanggaran memorandum persefahaman (MoU) kerajaan-pembangkang.
Kerajaan hari ini mengharapkan ihsan pembangkang melalui MoU. Tapi adakah MoU menjamin keutuhan kerajaan? Sama sekali tidak. Lihatlah semasa usul Menteri Dalam Negeri tidak diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin kerana gagal melepasi undi belah bagi. Adakah kita akan mempercayai MoU tersebut?
Isu penolakan lanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA perlu dilihat dari kaca mata matang rakyat. Ia akhirnya bertitik tolak kepada keperluan negara kepada kerajaan yang stabil, bukan bergantung belas ihsan dan tekan butang pada MoU seumpama itu.
Mari sebentar kita mengundur lima tahun ke belakang. Waktu itu, oleh kerana Malaysia memiliki kerajaan yang stabil dan majoriti yang selesa biarpun tanpa majoriti dua pertiga, tempoh penahanan maksimum 28 hari di bawah SOSMA terus dikuatkuasakan bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai 2017. Usul itu diluluskan melalui undian belah bahagian yang menyaksikan 93 anggota Parlimen menyokong pindaan akta itu berbanding 77 menentang.
Tetapi kelmarin, oleh kerana barangkali mahu ‘menguji, marah atau memperlihatkan pembangkang masih berbisa’ selepas tewas empat kali pilihan raya negeri (PRN), mereka seolah-olah memperleceh kerajaan – ‘bermain-main’ di permukaan. Kerajaan kalah 84-86 dalam undian kelmarin.
Jadi, untuk apa kerajaan sekarang masih menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)? Segerakan sahaja. Selaku pemerhati, saya yakin rakyat sudah melihat dan menilai parti mana diyakini berupaya bawa kestabilan. Lagipun rakyat sudah beri 22 bulan kepada Pakatan Harapan (PH) memerintah tempoh hari, tetapi tidak stabil. Selepas itu, 17 bulan pula diberikan kepada Perikatan Nasional (PN), juga keadaan sama – goyang. Dan sekarang Perdana Menteri daripada UMNO diberi ruang dan peluang – menunjukkan politik sudah mula stabil.
Ya, jika bubar Parlimen waktu terdekat ini, ramai meletakkan kelebihan kepada UMNO untuk menang. Ini kerana PH dan PN kelihatan dalam keadaan agak lemah dengan moral yang rendah akibat kekalahan di Melaka dan Johor. Begitupun, tiga perkara berikut perlu dipertimbangkan:
Pengundi yang keluar semasa PRN Melaka dan Johor amat rendah, masing-masing 62 dan 53 peratus berbanding PRU14. Jika peratusan keluar mengundi kekal di bawah 60 peratus, maka peluang cerah untuk Barisan Nasional (BN) menang.
Sama ada UMNO mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh bagi menggerakkan jentera seperti Melaka dan Johor, dilihat pembangkang pula mempunyai kewangan yang kukuh berbanding BN. BN masih dilihat mencari dana pilihan raya.
Pengundi muda Undi18 dan pengundi kali pertama masih belum menunjukkan arah sokongan mereka. Ini ketara semasa PRN Johor.
Hakikatnya, negara perlukan kerajaan yang sekata dalam setiap tindakan. Kerajaan campuran seperti hari ini tidak dapat berfungsi dengan baik kerana perbezaan ideologi politik. Dasar atau polisi yang sukar dilaksanakan kerana setiap parti mempunyai agenda yang berbeza. Oleh itu, apa jua tindakan yang dilaksanakan akan sumbang kerana tiada kesepakatan di dalam kerajaan.
LANGKAH SHERATON
Ini sebabnya mengapa perlunya kerajaan yang mendapat mandat rakyat. Kerajaan pintu belakang ‘Langkah Sheraton’ bukan kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat. Ia hanya kerajaan bersifat sementara disebabkan pandemik Covid-19.
Kerajaan PH tumbang kerana wujudnya perasaan kurang mempercayai kalangan parti dalam pakatan tersebut. Sepatutnya apabila hilang kepercayaan kepada kerajaan, mandat diberikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu. Namun disebabkan oleh pandemik dan tiadanya vaksinasi ketika itu, PRU tidak dapat diadakan. Oleh itu sokongan ahli Parlimen untuk memilih Perdana Menteri kelapan (PM8) ketika itu hanyalah atas kapasiti individu setiap ahli Parlimen dan bukannya secara en-bloc. Oleh itu, keabsahan kerajaan dan PM sentiasa dipersoalkan.
Dan sejarah membuktikan dengan jatuhnya PM8 dengan penarikan sokongan beberapa ahli Parlimen. Oleh itu, apabila kerajaan mengisytiharkan endemik Covid-19 pada 1 April 2022, maka wajar mandat diberikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu. Dan dengan terpilihnya kerajaan yang baharu, keabsahannya tidak dipertikaikan lagi.
Waima apa pun, PRU perlu dilaksanakan segera untuk memberi peluang kepada rakyat memilih kerajaan yang diyakini mereka boleh mengeluarkan negara daripada kemelut pandemik ini melalui manifesto parti masing-masing.
Dengan itu, kerajaan yang baharu akan menawarkan hala tuju yang jelas untuk membawa negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19. Tidak seperti kerajaan hari ini yang tidak berpegang kepada mana-mana tawaran atau manifesto kepada rakyat yang boleh dijadikan tanda aras.
Pada masa sama, kalau kita amati sejarah, hanya PRU14 dilaksanakan selepas genap tempoh lima tahun. PRU yang lain dilaksanakan selepas tiga hingga empat tahun. Oleh itu, alasan untuk menggenapkan tempoh lima tahun sangat dangkal. Kita akan memasuki tempoh empat tahun pada Mei nanti. Oleh itu, bukanlah suatu kejanggalan untuk PRU15 dilaksanakan. Dan negara kita bukan negara pertama melaksanakan PRU semasa pandemik ini.
Oleh itu, sekiranya inginkan negara ini maju dan mampu berdaya saing, PRU15 perlu segera dilaksanakan bagi memilih sebuah kerajaan yang sah dan tidak dipertikaikan. Kerajaan yang dipilih itu nanti lebih menumpukan agenda negara di fasa endemik Covid-19 tanpa perlu memikirkan ‘siapa yang masih sokong aku sebagai PM.’
Untuk parti-parti politik, PRU15 merupakan medan penting untuk menyahkan ahli Parlimen yang tidak setia pada parti – tidak kira BN, PH, PN atau mana-mana gabungan.
Ini akan membenarkan parti-parti politik lebih stabil dan budaya katak politik dapat dibendung.
Inilah peluang pembersihan ahli Parlimen yang mempunyai ideologi songsang dan yang mementingkan diri sendiri. Ini sekali gus dapat mewujudkan suasana harmoni dalam parti-parti di negara ini. – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.










