Orang Korea tak gemuk? - Utusan Malaysia

Orang Korea tak gemuk?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila mendapat pesanan Grab di kawasan Subang Jaya, saya melihat paparan nama pada skrin, tertulis Kim Tae. Wah! Orang Korea ke ini? desis hati saya.
Seorang jejaka berkulit cerah yang agak tinggi, duduk di kerusi belakang. Sekali pandang, dia memang seorang yang kacak.
Destinasinya ke KLCC. Ada peluang nak sembang lama sikit, bisik saya sendiri.
Macam biasa, saya pun bertanyakan penumpang tersebut dari mana. Betul tekaan saya, dari Korea Selatan! Teruslah saya pun sebut, ‘anyong haseyoo’…
Kim Tae ini rupanya seorang pelajar di salah sebuah kolej di Subang Jaya. Sudah lama di Malaysia kerana kerap mengambil cuti belajar untuk bekerja sambilan.
Selaku peminat drama Korea, saya ambil kesempatan bersembang dengannya tentang drama-drama mereka yang jadi kegilaan orang Malaysia.
Perbualan kami berlangsung dalam bahasa Inggeris dan sedikit bahasa Melayu kerana dia sedang berusaha belajar bahasa Melayu.
Saya katakan pada dia, ramai orang Malaysia fanatik drama Korea (termasuk saya sendiri) kerana jalan cerita berbeza.
Skrip dan dialog pula sangat berkesan dan mendalam hingga meresap ke hati. Setiap kerjaya yang dipaparkan pula sangat terperinci, sehingga penonton dapat belajar ilmu baru dalam setiap drama mereka.
Kata Kim Tae, produksi di Korea memang sangat bekerja keras menjayakan satu-satu drama.
Maklumlah, drama mereka untuk tontonan seluruh dunia, kalau dibuat cincai, memalukan nama negara mereka sendiri.
Saya beritahu Kim Tae, selain cerita yang sedap ditonton, kekaguman saya adalah wajah mereka yang terlalu mulus dan cantik.
Betullah, suntikan mencantikkan wajah di sana memang sangat popular. Rata-rata artis pun memang membuat pembedahan kosmetik.
Dua kali saya pernah ke Korea, paling saya kagum adalah susah sungguh berjumpa orang gemuk.
“Orang Korea tak ada yang gemuk kah? Tanya saya berjenaka.
“Ada tu ada tapi payah nak jumpa. Sebab masing-masing memang jaga badan. Kakak saya sendiri, kalau berat naik sikit pun, dia punya diet macam tak nak makan setahun,” katanya sambil tergelak.
“Agaknya kalau saya duduk di sana, saya pun boleh kurus macam artis korea,” tambah saya.
“Mata dah ada, dah boleh jadi orang Korea tapi kalau tak tahan godaan makanan, takut nanti lagi susah nak cari baju besar sebab susah juga nak cari baju saiz XXL,” kata Kim Tae selamba.
Aduh, setepek dia bagi. Nampak sangat saya bukan saiz baju orang Korea!
Dalam hati saya, mujurlah kau handsome, sejuk juga hati walaupun kena gelak macam itu saja. Kalau tak kacak, memang tidaklah saya nak sembang lama-lama kan! – Akak Grab, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN