PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menampakan suatu kelainan kerana buat pertama kali pengundi muda berumur 18 tahun ke atas mengundi. Boleh dikatakan hampir 50 peratus pengundi berumur 40 tahun ke bawah dalam PRN Johor.
Penggunaan deliberasi demokrasi bagi membentuk suatu persepsi bagaimana negara ini dikemudikan dalam kalangan anak-anak muda jelas kelihatan pada masa kini.
Disebabkan itu peranan parti-parti baharu yang membawa wadah baharu politik menjadi tumpuan anak-anak muda.
Walaupun Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berjaya mendapat sokongan anak-anak muda, tetapi bukan majoriti anak-anak muda Johor bersetuju dengan parti itu.
Sebahagian mereka masih menolak corak politik baharu yang merentasi kaum dan politik lama.
Mereka masih selesa dengan politik etnik terutama anak-anak muda bukan Melayu. Ini boleh dilihat daripada sokongan pengundi bukan Melayu ke atas Barisan Nasional (BN) meningkat berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Dalam kalangan anak-anak muda Melayu di Johor masih terikat dengan sosialisasi politik ibu bapa mereka walaupun tidak bersetuju. Keterikatan ini dipengaruhi oleh budaya adab Melayu dan Islam.
Andaian jika Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) turut bertanding berkemungkinan untuk memecah undi Melayu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu dalam PRN Johor adalah kurang memberikan impak. Ini disebabkan pandangan negatif ke atas oposisi yang merupakan isu ketidakstabilan kerajaan selepas PRU14 sehingga hari ini.
Meskipun begitu, kekalahan UMNO dalam PRU14 membawa pengajaran bahawa bukan mudah untuk menakluk PRN Johor ketika setiap langkah dan strategi diamati dan diteliti bukan sahaja oleh pihak bertentangan tetapi juga pihak yang bersamanya.
UMNO perlu menilai semula strateginya dalam PRN Johor supaya tidak mengikut konsep PRN Melaka atau PRN Sabah. Politik dinamik kini mempunyai dua senario yang bakal berlaku dalam membentuk masyarakat pascapandemik Covid-19.
Pertama, rakyat akan hilang kepercayaan kepada sistem yang ada hari ini jika kerajaan Keluarga Malaysia gagal menangani setiap krisis dengan baik. Persepsi ini akan membawa kepada naratif negatif ke atas setiap usaha kerajaan, seterusnya memberikan impak ke atas BN.
Kedua, kumpulan parti politik tertentu akan menggunakan pendekatan persepsi tersebut bahawa kerajaan pemerintah adalah autokratik untuk menjayakan objektif cita rasa pemimpin politik kerajaan hari ini.
Ini diikuti penciptaan situasi masyarakat yang berlaku hari ini dalam media sosial adalah berpunca daripada UMNO. Adakah benar setiap isu yang berlaku adalah berpunca daripada UMNO kerana dilihat menjadi punca kepada ketidakstabilan kepada kerajaan hari ini terutama di Johor?
Akibatnya ruang demokrasi digunakan untuk manipulasi propaganda terutama dalam kalangan anak-anak muda. Ini bertujuan menanam pemikiran anak-anak muda untuk menolak dominasi politik etnik dipimpin oleh BN yang dikatakan gagal menstabilkan kerajaan.
Jika situasi ini berjaya maka akan memudahkan serangan persepsi dan mainan minda seterusnya, iaitu kerajaan tidak telus terutama dalam soal mengasihani rakyat dan soal Covid-19 walaupun ditujukan kepada BN bagi menimbulkan ketidakpercayaan dalam kalangan pengundi PRN Johor.
LUBUK
Tetapi sebenarnya terpalit juga keseluruhan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN di peringkat kerajaan Pusat. Apakah strategi PN sebenarnya dalam PRN Johor jika isu serangan ke atas kerajaan Pusat turut terlibat? UMNO perlu bangkit untuk menangkis serangan ini sehingga PRU15.
Golongan anak muda atau belia kini menjadi satu keutamaan kepada mana-mana parti yang ingin memenangi PRN Johor atau PRU15. Malahan golongan belia terutama penuntut universiti awam merupakan lubuk utama dalam meraih undi.
Golongan belia selama ini merasakan diri mereka tidak terlibat dalam pembuatan keputusan kerajaan yang akhirnya merugikan masa depan mereka. Jadi, persepsi yang dimainkan adalah golongan belia mampu membawa perubahan ke atas kerajaan hari ini yang dilihat gagal membela nasib golongan belia kelas menengah ke bawah.
Lagipun, golongan belia yang dijadikan fokus dalam mainan politik ini bukan berasal daripada golongan Tan Sri atau Datuk atau mereka yang mempunyai hubungan politik dengan mana-mana parti.
Ini bermakna kehidupan mereka tidak seindah seperti diharapkan dalam sebuah negara sedang membangun. Mereka turut dihidangkan amalan rasuah dan kelemahan kerajaan Keluarga Malaysia dalam sosial media. Akhirnya, persepsi negatif ini ditanam secara perlahan-lahan tanpa disedari oleh mereka.
Maka BN perlu membawa golongan ini untuk didekati dalam proses politik pembuatan keputusan. Impian ini boleh direalisasikan jika penggunaan sosial media sebagai medium dalam mendapatkan maklum balas bagi setiap dasar kerajaan.
Akan tetapi, bersediakah setiap universiti awam memberikan ruang dan peluang kepada pelajar-pelajarnya dalam isu ini? Ini termasuk menyediakan platform sesi townhall atau perbincangan terbuka dalam sosial media untuk mendapatkan maklum balas proses pembuatan dasar kerajaan iaitu pendekatan Y to G.
Proses pembuatan dasar kerajaan pada masa kini tidak boleh lagi dibuat dalam kalangan pegawai awam dan menteri untuk dibawa ke Parlimen. Tetapi perlu bermula daripada golongan belia terutama pelajar universiti awam.
Pendekatan Y to G ini adalah merapatkan golongan belia dengan Parlimen dalam soal pembuatan keputusan dasar kerajaan. Ini adalah pandangan perspektif baharu dalam meraih sokongan suara golongan tersebut.
Jika ini tidak direalisasikan berkemungkinan kemenangan yang diperoleh BN dalam PRN Johor nanti tidak diterjemahkan ke dalam situasi sebenar PRU15. Walau apa pun, cabaran utama BN pada kali ini adalah mendapatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam merakyatkan sosioekonomi negara. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.