Walak Pas bawa bala pada UMNO - Utusan Malaysia

Walak Pas bawa bala pada UMNO

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, DATUK NUR JAZLAN MOHAMED naik angin dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ini bila presiden Pas itu baru-baru ini mengatakan majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyokong kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang terjalin antara UMNO dengan Pas. Dan Nur Jazlan tambah hairan bila Abdul Hadi menyebut lagi bahawa ‘majoriti ahli MT mahu bekerjasama (dalam MN), jadi UMNO kena ikut pemimpinlah iaitu MT, bukan ikut (pendirian) bahagian-bahagian’.

“Hadi kata bahagian-bahagian (UMNO) ini akar umbi, lain cerita, kita tak boleh pakai demokrasi barat, kena ikut kepimpinanlah…majoriti kepimpinan UMNO bersama MN lah.

“Eh! presiden Pas ini ada orang dalam MT UMNO kah?,” tanya Nur Jazlan kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN semalam. Selami amarah Nur Jazlan.

UTUSAN: Kuat sangatkah Pas ini?
NUR JAZLAN: Pas bukanlah parti yang kuat dari segi akar umbi. Pas hanyalah parti yang mengikut arahan daripada atas (pemimpin mereka). Sebaliknya UMNO yang kuat sebenarnya. Jadi, kerana itu macam mana UMNO boleh bersama dengan Pas? Memang sahlah seperti air dengan minyak. Pasal Pas main top down (dari atas ke bawah), kita (UMNO) pula bottom up (dari bawah ke atas).

Selain itu, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November 2020 dan Sarawak 18 Disember sudah menampakkan jumlah sebenar sokongan Pas bagaimana. Kalah teruk. Pas tidak kuat disebabkan pemimpin-pemimpin mereka pentingkan diri sendiri. Walak Pas kepada pemimpin, bawa bala kepada UMNO. Kita bukan macam itu.

 

SEMASA menjadi pembangkang dahulu, Pas mahu bersama UMNO sehingga sanggup memeterai piagam politik Muafakat Nasional. Selepas itu, Pas pula mendakwa UMNO tidak mengikut piagam. Siapa yang tidak ikut piagam?

Macam mana dengan masa depan MN?
MN sudah habislah (terkubur) kerana dua sistem ini wujud. Dia (Pas) top down, kita (UMNO) bottom up. Itulah saya kata tadi, walak bawa bala.

Kerana dek kepentingan dia (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang), semua orang ikut. Kalau Pas berterusan macam ini, pentingkan duniawi dan tidak ikhlas, MN ini baik tidak payahlah.

Kenapa Datuk cakap begitu?
Kerana sikap pemimpin Pas yang pentingkan dirilah. Pemimpin-pemimpin mereka mahu gaji berbulan-bulan daripada kerajaan, nak dapatkan gelaran Tan Sri. Sedangkan kita sepatutnya kena kembali kepada asas penubuhan awal MN. Ketika itu Pas sebagai pembangkang bersama UMNO kerana menolak Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tapi apabila sudah masuk ke dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada Bersatu dan dapat gaji serta pelbagai keistimewaan lain, perangai sebenar Pas sudah nampak.

Perangai jenis apa macam ini? Masa jadi pembangkang dahulu mahu bersama UMNO sehingga sanggup memeterai piagam politik MN. Selepas itu, Pas pula dakwa UMNO tidak mengikut piagam. Siapa yang tidak mengikut piagam?

Walaupun Pas hendakkan MN, tetapi tetap mahukan PN. Mengapa?
Dalam hidup dia mahu kekalkan kerjasama. Pas kononnya memaksa ‘isteri’nya (UMNO) bersatu dengan Pas supaya dapat bersama semula. Saya tegaskan, UMNO bukan ‘isteri’, tetapi ‘suami’ kepada Pas. Maka Pas lah yang mesti mengikut UMNO kerana kita adalah parti akar umbi. Sudah terbukti semasa pilihan raya Pas hanya ada penyokong minimum sahaja.

Sedar akan kelemahan itu, Pas perlu berpaut kepada sokongan UMNO tetapi pada masa sama peliknya enggan melepaskan PN sehingga lupa mana satu yang berfungsi sebagai ‘suami’ sebenar Pas. Inilah masalahnya apabila suka berpoligami.

Pas sekarang bergantung pada UMNO dan Bersatu. Tetapi masih mahu berlagak. Macam inikah dikatakan rakan MN dan mengikut piagam?

Setelah Pas kalah teruk di Melaka, nasib sama berulang di Sarawak walaupun cuma bertanding satu kerusi di Beting Maro. Apa sebabnya?
Pendirian Pas ekstrem, sebab itu semasa PRN Sarawak baru-baru ini, rakyat Sarawak tak suka. Ini kerana Pas lebih mementingkan benda-benda lain. Antaranya Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355. Walaupun pentingkan RUU berkenaan, tapi Pas tidak sempurnakan. Isu RUU 355 ini tidak lagi kedengaran dari mulut Pas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya