RFID: Kenapa bising-bising? - Utusan Malaysia

RFID: Kenapa bising-bising?

RFID yang dijual pada masa ini jauh lebih murah iaitu RM35 untuk satu pelekat berbanding Smart Tag sekitar RM100 dan bateri perlu ditukar secara berkala. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMBOI, begitu banyak kecaman di media sosial tentang penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sejak dimulakan di lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS), 15 Januari lalu. Ada yang sampai naik angin dan ‘hantu’ menzahirkan rasa tidak puas hati.

Sebagai pengguna RFID sejak Februari 2019, saya tidak menyokong kebanyakan komen netizen. Ini kerana sepanjang menggunakannya untuk ulang-alik ke pejabat atau bergerak di sekitar Lembah Klang, saya tidak pernah pula tersangkut di plaza tol. Kecuali disebabkan kekurangan baki atau sistem gagal membaca kod bar, itu pun amat jarang-jarang berlaku.

Selain dua sebab itu, alasan mengapa plaza tol menjadi sesak adalah disebabkan pemandu mengikut kereta di hadapannya terlalu dekat sehingga sistem yang menggunakan gelombang radio itu tidak dapat mengimbas atau membaca kod bar.

Mengapa saya kata saya suka sistem ini? Sebab stiker kod bar yang ditampal di lampu depan sebelah penumpang tidak pernah rosak atau terkoyak walaupun kerap mencuci kenderaan.

Sebagai pengguna, saya amat menyukai sistem pemasangan dan penyelenggaraan RFID yang jauh lebih menjimatkan. Saya pasangnya secara percuma di Pusat Pemasangan RFID di Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur kerana ketika itu masih dalam projek rintis. Difahamkan, kos RFID yang dijual pada masa ini jauh lebih murah iaitu RM35 untuk satu pelekat berbanding harga Smart Tag sekitar RM100 dan bateri perlu ditukar secara berkala. Pelekat RFID juga boleh dan amat mudah dipasang sendiri.

Sebenarnya sejak menggunakan RFID hampir tiga tahun lalu, saya sudah mempertikaikan kenapa lorong RFID tidak dibuka di semua lebuh raya kerana ia menyebabkan saya perlu standby kad Touch ‘n Go atau Smart Tag dalam kenderaan. Dan apabila PLUS mengumumkan berita baik itu, saya menjadi antara orang yang teruja. Sekurang-kurangnya saya tidak lagi perlu menambah nilai kad Touch ‘n Go untuk ke luar kota, sebaliknya hanya menggunakan kad tersebut untuk tujuan parkir.

Saya juga antara orang yang suka dengan sistem tambah nilai melalui transaksi dalam talian kerana ia lebih mudah, boleh dibuat di mana-mana sahaja serta pada bila-bila masa. Dan paling penting, tiada sentuhan dan bersemuka dengan pihak lain terutama ketika pandemik Covid-19.

Jadi, saya sendiri tidak faham mengapa ramai bising-bising dengan teknologi ini? Saya percaya, yang bising-bising membuta tuli ini belum lagi menggunakan RFID. Bagi saya, selagi teknologi itu memudahkan dan meletakkan negara maju setapak lagi, kenapa tidak?

Projek ini masih baharu. Bagilah peluang untuk kita membiasakan diri. Ini tidak, belum cuba sudah kondem. Bagaimana negara nak maju? Dahulu pun semasa memulakan sistem bayaran tanpa jurutol dengan menggalakkan penggunaan Touch ‘n Go dan Smart Tag juga banyak rungutan. Tetapi lama-lama kita sudah terbiasa dan akhirnya menerima perubahan itu dengan hati terbuka.

Begitu juga dengan isu kebelakangan ini, benda baharu mestilah ada sedikit kelemahan dan ia perlu segera diambil tindakan oleh pihak sepatutnya. Nanti lama-lama kita akan terbiasa.

Ia seperti bagaimana kita semudah petik jari mengadaptasi sistem negara luar ketika melancong ke sana. Walaupun agak baharu dan agak menyukarkan kita sebagai pelancong tetapi semudah ABC kita menerima, malah berbangga pula dengan teknologi mereka. Mengapa tidak buat perkara sama di sini?

Apa kurangnya Malaysia? Kita ada kepakaran, kita ada teknologi, cumanya kita perlu mengubah corak pemikiran dengan berfikir secara positif, mencuba sesuatu yang baharu dan akhirnya kita sama-sama dapat menggunakan sesuatu kelebihan dengan baik. Dalam masa sama, barulah Malaysia boleh dianggap sebagai negara yang ke hadapan.

TAMBAH BAIK

Malah bagi saya, sistem ini merupakan penyelesaian terbaik kepada kesesakan di plaza tol, cuma ia perlu ditambah baik. Mungkin pihak pengeluar sendiri boleh merujuk mahupun mengambil contoh plaza tol di luar negara seperti di London, Melbourne dan Singapura yang penggunaan teknologinya amat moden dan tiada masalah.

Contoh terdekat, Singapura. Plaza tolnya tanpa tiang dan kenderaan masih boleh melaluinya walaupun tanpa kredit mencukupi. Bayaran akan dipotong apabila pemilik kenderaan menambah nilai kad atau di sini kita menggunakan e-dompet. Cara sebegini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sekali gus selari dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar dirancang Kementerian Kerja Raya yang bertujuan melaksanakan pelan jangka panjang lebih efektif dengan pengenalan perkhidmatan Sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong pada 2026.

Jika alasan risau pemilik kenderaan tidak tambah nilai melalui cara itu, pihak Touch ‘n Go boleh mengehadkan suatu tempoh tertentu dengan menyenarai hitam pemilik kenderaan sehingga mereka membayar tunggakan. Jadi, mahu tidak mahu, pemilik kenderaan perlu membayar tunggakan dan menambah nilai untuk memasuki lebuh raya.

Satu lagi persoalan, bagaimana sekiranya memiliki lebih daripada satu kenderaan? Tiada masalah untuk membeli pelekat RFID untuk setiap kenderaan tetapi bagaimana proses tambah nilai melalui e-dompet menggunakan satu akaun? Ini kerana setiap setiap RFID akan synchronize dengan akaun e-dompet pemilik. Mungkin di sini perlukan penerangan dan penyelesaian terbaik.

Harapan saya, orang ramai bertenang dan belajar untuk terima sedikit demi sedikit perubahan yang lebih moden dan berteknologi tinggi. Kita sedang menuju negara maju dan ini adalah salah satu daripadanya. Saya percaya pihak yang bertanggungjawab akan menambah baik kelemahan sistem ini dalam masa terdekat dan kita bakal jadi pemandu yang selesa dan ceria tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN