Fitnah media sosial dan kemanusiaan - Utusan Malaysia

Fitnah media sosial dan kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada kalanya apabila kita mendapat mesej di telefon pintar yang mengandungi video, grafik, audio atau bentuk penulisan yang menjadi isu terkini, kita pun tanpa berfikir panjang atau beremosi terus berkongsi melalui laman sosial.
Adakalanya kita seronok bukan kepalang apabila dapat berkongsi maklumat terkini dan menjadi orang pertama menyebarkannya.
Satu perkara yang jarang kita lakukan adalah untuk menilai maklumat itu sama ada ia benar atau sebaliknya atau maklumat itu yang disebarkan akan membuat pihak tertentu tersinggung atau menyebabkan kegusaran awam atau penyalahan kemudahan rangkaian telekomunikasi.
Di sini adalah perkara-perkara yang akan berlaku jika pihak kita tidak melakukan saringan kendiri sebelum menyebarkan dan berkongsi maklumat. Adakah maklumat yang diterima merupakan satu keterangan yang boleh guna pakai di dalam undang-undang? Secara ringkasnya di bawah Seksyen 3, Akta Keterangan 1950 ia boleh digunakan di dalam undang-undang kerana ia di kategorikan sebagai satu dokumentar yang diterima melalui komputer.
Salah satu kesalahan yang boleh seseorang lakukan di dalam penyebaran maklumat adalah fitnah. Maksud fitnah dari kaca mata undang-undang bermaksud merujuk kepada kenyataan secara lisan atau bertulis yang mengakibatkan reputasi seseorang itu di jatuh di mata masyarakat atau dipandang hina.
Fitnah boleh dibahagikan kepada dua iaitu secara bertulis dan lisan. Ia dikenali sebagai libel dan slander.
Dan di dalam kedua-dua perkara ini mestilah ada penyebaran fitnah kepada pihak ketiga. Contohnya, A ada menyebarkan fitnah berkait B kepada C. Fitnah pula boleh dibahagikan kepada dua kategori:
Fitnah di bawah undang-undang sivil yang akibatnya si pemfitnah itu akan dikenakan bayaran ganti rugi khas dalam bentuk wang ringgit. (Akta Fitnah 1957)
Fitnah di bawah undang-undang jenayah yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-dua sekali. (Kanun Keseksaan Seksyen 499 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 500 ). Fitnah ini juga boleh dilakukan dalam keadaan secara tidak langsung dalam bentuk inuendo iaitu dalam maksud tersurat.
Beban pembuktian adalah terletak terhadap pihak yang menuntut iaitu plaintif. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kes di bawah ini:
Ayob Saud v. TS Sambanthamurthi (1989) 1 CLJ 152; (1989) 1 CLJ (Rep) 321,
Di dalam undang-undang libel yang dikawal oleh Akta Fitnah 1957, beban pembuktian adalah oleh pihak plaintif untuk menunjukkan bahawa:
1. Perkataan yang dilafazkan adalah fitnah
2. Ia merujuk kepada plaintif
3. Dan kenyataan fitnah itu diterbitkan
Ujian untuk melihat sama ada kenyataan yang dibuat adalah fitnah dalam maksud biasa yang mengaitkan tindakan atau perbuatan plaintif dan merendahkan integritinya? Sekiranya persoalan ini dijawab dengan Ya maka ia adalah fitnah.
Kita juga akui penyebaran fitnah dalam sosial media makin berleluasa. Adakah mahkamah menganggap ia serius?
Di dalam kes National Union of Bank Employees v. Noorzeela Lamin (2013) 1 LNS 1342; (2014) 7 MLJ 31, yang mana telah memutuskan seperti berikut;
Bahawa penyebaran maklumat di Facebook dan komen-komen fitnah adalah satu perbuatan serius. Komen yang ditulis di jaringan media sosial mampu mencapai jumlah yang ramai dalam masa singkat.
Bukan sahaja fitnah adalah satu kesalahan yang boleh diambil dalam penyebaran maklumat tetapi tindakan-tindakan lain juga boleh diambil di bawah :
Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Media (AKM) iaitu larangan terhadap pemberian kandungan jelik
Seksyen 233 Akta yang sama iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Seksyen 499 Kanun Keseksaan : Fitnah
Contoh kes yang diputuskan oleh mahkamah yang dilakukan melalui media sosial serta blog adalah:
Syarul ema Rena Abu Samah v PP
Kesalahan melalui media Facebook
Mohd. Fahmi Redza Mohd. Zarin V PP melalui laman Instagram
Ahmad Abu Jalil v PP melalui Facebook
Nor Hisham Osman v PP melalui blog
Penyebaran maklumat yang mendatangkan fitnah serta berita tidak benar, menjelekkan atau penggunaan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar perlu dikekang dengan undang-undang yang ada.
Baru-baru ini penyebaran video seorang pemandu yang mengalami serangan jantung disebarkan dengan maklumat tidak benar dan mengaibkan orang di dalam kandungan video itu.
Bukan sahaja ia mendatangkan fitnah kepada individu di dalam video itu tapi secara tidak langsung ia akan mengaibkan ahli keluarga individu berkenaan.
Ini tidak seharusnya berlaku jika setiap individu menapis maklumat yang diterima berdasarkan undang-undang yang ada dan faktor kemanusiaan juga perlu diselitkan walaupun tidak menjadi satu undang-undang.

PENULIS ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN