Berkelompok itu untungkan siapa? - Utusan Malaysia

Berkelompok itu untungkan siapa?

SEJARAH silam menceritakan, semakin banyak usaha dan perancangan untuk menyatupadukan umat Islam, semakin kuat musuh-musuh Islam merancang memecah-belahkan kesatuan. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKELOMPOK sering diberi pengertian membina kumpulan-kumpulan tertentu atas niat dan kepentingan tersendiri. Dikaitkan juga dengan suatu tindakan mengasingkan atau berpecah dari tapak yang satu kepada beberapa kelompok, kem, puak, geng dan pelbagai lagi. Ada kala bersifat minoriti. Maksud umumnya menjurus kepada terlerailah satu ikatan ukhuwah, persahabatan, persepakatan atau ikatan sebuah setiakawan.

Lalu, bukanlah sukar untuk diberi tanggapan bahawa berkelompok itu selalunya membawa gambaran kepada sesuatu yang negatif, yakni ke arah perpecahan, pengasingan atau sehingga ke tahap bermusuh-musuhan sesama sendiri. Tegasnya, berkelompok itu banyak membawa kerugian. Yang untung adalah pihak-pihak ketiga, yang sentiasa mengintai peluang menguasai keadaan.

Konteks yang ingin diperkatakan ini dituju kepada dunia politik tanah air. Isu mengenai terbina atau terdapatnya kelompok-kelompok tertentu dalam kalangan mereka yang bergelar orang politik tidak pernah tamat. Berasal daripada sebuah bangsa dan anutan agama yang sama, lahir kelompok-kelompok politik tertentu dengan pelbagai simbol dan jenama. Benarkah dilahirkan atas alasan asas perjuangan berbeza?

Daripada sebuah gabungan beberapa parti politik tertentu, lahir pula kelompok-kelompok yang kononnya memiliki pandangan dan pendirian yang tidak sekata. Ada yang misalnya tegas dengan konsep muafakat, ada yang mahu berpijak pada perikatan dan ada yang memilih berkelompok di bawah tokoh-tokoh tertentu.

Sementara dalam kalangan penggiat-penggiat politik dalam sebuah parti yang sama pun lahir kelompok-kelompok tertentu terutama di ambang berlakunya pemilihan parti. Barangkali tidak perlu dihurai kenapa tumbuhnya kelompok-kelompok tertentu menjelang pemilihan parti?

Ini kerana mereka yang mencipta kelompok dan mereka menyertai kelompok tertentu pastinya memahami tujuan dan agenda mereka tersendiri. Namun, wajar ditanyakan kepada mereka: “Apa salah jika dielak sebarang perpecahan dan apa ruginya disatukan tenaga dan fikiran atas nama perjuangan yang serupa?”

Rimas dan memualkan dengan terdengarnya ungkapan-ungkapan ‘puak itu, puak ini’ atau ‘rakit itu dan rakit ini’ dalam persekitaran politik tanah air terutama menjelang pilihan raya umum atau pemilihan parti.

Berbeza pandangan dan idea itu bagus. Tetapi perbezaan itu perlu diurus agar dapat dihimpun dan dicari kata sepakat (consensus) yang boleh membuahkan rumusan yang tepat dan terbaik. Itu adalah langkah paling baik jika semua pihak benar-benar jujur berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

Masing-masing tokoh atau kelompok memiliki kelebihan dan kekuatan tersendiri. Allah menganugerahkan kepandaian, kebolehan dan kebijaksanaan kepada setiap hamba-Nya. Justeru, jangan ada sesiapa cuba memperlekeh (undurestimate) sesiapa. Sebaliknya, manfaatkanlah segala kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan itu supaya kesan kebaikannya dapat dinikmati semua.

MUSUH ISLAM

Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa teguh dalam kesatuan dan menghindari sebarang unsur perpecahan. Kebangkitan Islam bermula dengan kesatuan umat Islam. Dan sejarah silam menceritakan, semakin banyak usaha dan perancangan untuk menghimpunkan umat Islam supaya bersatu padu, semakin kuat pula musuh-musuh Islam termasuk golongan munafik dalam kalangan umat Islam sendiri merancang memecah-belahkan kesatuan.

Surah Ali Imran ayat 103 memberi penjelasan lebih jauh mengenai konteks yang diperkatakan. Umat Islam perlu menjadikan ayat ini sebagai sandaran kuat untuk teguh bersatu dan mengelak daripada sebarang unsur yang boleh memecah-belahkan sesama ummah: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bepecah belah; dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahnya.”

Sepakat itu kekuatan, manakala berpecah belah hanya mempamerkan nilai kerapuhan perpaduan sama sebangsa dan seagama. Jangan ketepikan sistem nilai kerana itu adalah sebahagian daripada cerminan kekuatan jati diri sesebuah bangsa. Menghantar imej atau petanda ketinggian budi dan martabat bangsa kepada umum bukan sekadar melalui tutur kata, tetapi lebih berkesan jika diterjemahkan melalui tingkah laku dan nilai peradaban.

Sikap suka berkelompok seumpama sengaja menempah kesempitan sedangkan hidup menginginkan damai keindahan. Hargailah ungkapan keramat yang tidak pernah lapuk untuk disandari, bersatu teguh, bercerai roboh.

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN