Senang sangat nak kesan rasuah - Utusan Malaysia

Senang sangat nak kesan rasuah

TANGKAPAN suspek kes rasuah selalunya akan turut melibatkan barangan mahal seperti kenderaan mewah. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEKIRANYA kita ingin mewujudkan negara yang benar-benar bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa, semua pihak perlu aktif memainkan peranan masing-masing.

Mereka perlu melakukan pemantauan serta berani tampil melaporkan sebarang kegiatan salah laku yang disyaki berlaku kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Orang ramai harus peka dengan keadaan sekeliling dan perlu rajin bertanya sekiranya terdapat sebarang perkara tidak masuk akal berlaku.

Antara perkara yang boleh menimbulkan kecurigaan pada seseorang itu ialah gaya hidup mewah keterlaluan.

Kita hendaklah mempunyai keinginan untuk mendapat jawapan terhadap perkara-perkara yang dilihat sebagai pelik.

Jangan biarkan perasaan curiga berkenaan hanya menjadi buah mulut serta gosip semasa tanpa sebarang tindakan lanjut.

Lebih baik sekiranya syak wasangka itu disalurkan kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dilakukan dengan lebih teratur dan teliti mengikut peruntukan undang-undang.

Sekiranya terdapat bukti mencukupi, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan undang-undang.

Perlu diketahui, kebanyakan kes melibatkan rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan wang selalunya memberi kesan terhadap gaya hidup diri pelaku serta ahli keluarga rapat mereka.

Sudah menjadi ­fitrah setiap manusia untuk berbelanja serta menikmati gaya hidup yang lebih selesa setelah memiliki sejumlah wang.

Kebanyakan pelaku yang terlibat dalam jenayah terbabit akan mudah tergoda untuk berbelanja wang yang mereka peroleh serta gemar menunjuk-nunjuk kepada orang sekeliling segala kemewahan yang mereka peroleh.

Dengan wujudnya media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan Twitter, perbuatan menunjuk-nunjuk akan menjadi lebih kerap dilakukan oleh pelaku serta ahli keluarga rapat mereka.

Rekod sejarah melibatkan proses tangkapan suspek kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini banyak membabitkan hasil rampasan seperti barang kemas, jam dan kenderaan mewah serta lain-lain yang kemudiannya dijadikan bahan bukti di mahkamah.

Ini jelas menunjukan kepada kita kebanyakan pelaku gemar berbelanja mewah. Misalnya, dalam kes melibatkan suspek kakitangan kerajaan.

Walaupun penjawat awam dalam negara kita mempunyai pendapatan yang boleh dikira agak baik, ia hanya cukup bagi menampung sebuah kehidupan sederhana, bukannya kehidupan mewah seperti seorang jutawan.

Sudah pasti mana-mana kakitangan kerajaan yang dilihat memiliki jam tangan berjenama, barang kemas amat mahal, kereta mewah dan kerap melancong bersama keluarga ke luar negara akan menimbulkan rasa syak wasangka dan perasaan curiga dalam kalangan orang ramai.

Oleh itu, adalah lebih baik jika orang ramai bertanyakan mengenai sumber pendapatan yang dimiliki oleh individu berkenaan dan sekiranya jawapan diberikan tidak meyakinkan, laporan perlu segera dibuat kepada PDRM atau SPRM untuk proses siasatan lanjut.

PEMERHATI, Nilai, Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya