Emosi wanita hamil ketika Covid-19 - Utusan Malaysia

Emosi wanita hamil ketika Covid-19

WANITA hamil memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak untuk menangani masalah kesihatan mental dalam tempoh pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMPOH kehamilan boleh menjadi waktu yang indah dan sangat ditunggu-tunggu oleh kebanyakan wanita. Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan wanita hamil yang mengalami gangguan emosi disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kehamilan yang tidak dirancang, kurang sokongan, dan masalah kesihatan semasa hamil. Pandemik Covid-19 telah menambahkan risiko gangguan emosi kepada wanita hamil.

Terdapat kaedah 4S yang boleh digunakan untuk membantu mengekalkan kesihatan emosi wanita hamil. Pertama ialah suami. Kajian telah membuktikan bahawa sokongan suami adalah faktor paling penting untuk memastikan kesihatan emosi wanita hamil di tahap optima.

Untuk memberikan sokongan kepada isteri, suami haruslah mempunyai pengetahuan dan kesedaran tentang tanda dan gejala gangguan emosi semasa hamil. Contohnya, gejala kemurungan termasuklah kurang tumpuan, berasa letih atau kehilangan tenaga, mengalami gangguan tidur, dan mudah tersinggung atau sensitif yang berterusan selama dua minggu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai orang yang paling rapat, suami bukan sahaja boleh memberikan pertolongan fizikal seperti mengemas rumah dan menjaga anak tetapi juga bersedia untuk mendengar masalah isteri, tidak memandang rendah terhadap tanda dan gejala yang dialami isteri, menunjukkan rasa simpati dan memberi motivasi. Sekiranya usaha telah dilakukan masih tidak dapat meningkatkan kesihatan emosi, suami boleh meyakinkan isteri untuk berjumpa kaunselor atau pakar psikiatri jika perlu. Pada masa yang sama, suami juga harus menjaga kesihatan mental sendiri kerana mereka juga boleh berhadapan dengan pelbagai gangguan emosi terutamanya ketika dalam pandemik.

Kedua ialah sokongan. Selain sokongan suami, wanita hamil juga memerlukan sokongan dari saudara mara, sahabat handai dan petugas kesihatan.

Walaubagaimanapun, langkah pencegahan Covid-19 seperti penjarakan sosial, kuarantin di rumah dan sekatan untuk menerima lawatan di rumah telah menyebabkan wanita tidak mendapat sokongan yang secukupnya.

Untuk memastikan mereka tidak berasa keseorangan, wanita hamil digalakkan untuk terus kekal berhubung dengan saudara mara dan sahabat mereka. Interaksi sosial dan sokongan kasih sayang yang positif dapat mengurangkan risiko gangguan emosi semasa hamil.

Pandemik Covid-19 meningkatkan kebimbangan dalam kalangan wanita hamil kerana mereka berasa bimbang sekiranya virus tersebut boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian janin.

Di sebalik kebimbangan ini, wanita hamil masih perlu mengikuti jadual lawatan berkala di klinik kesihatan setiap bulan (atau lebih kerap bagi sesetengah kes berisiko). Hal ini boleh menyebabkan wanita berasa lebih terdedah kepada jangkitan. Oleh itu, jururawat yang bertugas di klinik kesihatan berhampiran perlu memberi sokongan kepada wanita semasa lawatan ke klinik, melalui telefon atau secara atas talian.

Sekiranya perlu, mereka bolehlah merujuk wanita tersebut kepada kumpulan sokongan.

Ketiga ialah smartphone atau telefon pintar. Pandemik telah menyebabkan lawatan ke hospital menjadi terhad dan ini boleh menghalang wanita yang mengalami gangguan emosi daripada mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Justeru, petugas kesihatan boleh melakukan pengesanan awal dan perundingan secara atas talian atau melalui panggilan telefon. Dengan cara ini, wanita masih boleh mendapatkan nasihat petugas kesihatan tanpa terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

Oleh kerana terdapat stigma terhadap kesihatan mental, wanita juga mungkin berasa malu dan takut untuk mendedahkan gangguan emosi mereka kepada orang lain. Melalui smartphone, wanita boleh mencari kumpulan sokongan secara atas talian.

Capaian kepada kumpulan sokongan ini membolehkan wanita berkongsi pengalaman, menyedarinya bahawa mereka tidak keseorangan, dan juga mempelajari strategi untuk mengatasi masalah dari wanita lain yang mengalami masalah yang sama. Wanita juga boleh menghubungi Talian Sokongan Psikososial yang telah diwujudkan oleh Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Talian ini telah ditubuhkan dengan kerjasama Malaysian Medical Relief Society (MERCY) dan agensi-agensi lain seperti Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani isu kesihatan mental berkaitan pandemik. Setakat Jun 2021, talian ini telah menerima 122,328 panggilan berkait rapat dengan isu-isu psikologi semasa pandemik.

Keempat ialah sistem. Sistem merujuk kepada sokongan psikologi yang perlu diberikan kepada petugas kesihatan yang menjaga dan merawat wanita hamil seperti jururawat dan doktor.

Sokongan ini perlu untuk memastikan petugas kesihatan juga mempunyai kesihatan emosi yang baik bagi membolehkan mereka untuk menyokong kesihatan wanita hamil.

Kesibukan dan bebanan kerja yang berterusan selama hampir dua tahun sejak pandemik melanda negara telah menyebabkan petugas kesihatan turut mengalami pelbagai gangguan emosi tetapi tiada masa untuk mendapatkan intervensi yang berpatutan.

Perkhidmatan kaunseling dan pertolongan cemas psikologi (PFA) yang disediakan oleh KKM kepada petugas kesihatan dilihat positif untuk memastikan kesihatan mental mereka. Usaha ini sangat penting dalam mengenalpasti petugas kesihatan yang mengalami kelesuan minda serta memastikan mereka mampu untuk terus berkhidmat ketika wabak Covid-19.

Kesimpulannya, masalah gangguan emosi dalam kalangan wanita hamil semasa pandemik boleh ditangani dengan berkesan sekiranya individu yang terlibat sama-sama bertanggungjawab, seperti kata pepatah Melayu sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk.

Dr. Siti Roshaidai Mohd. Arifin adalah Pensyarah Kejururawatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini