`Duit bantuan pak cik belum masuk ...' - Utusan Malaysia

`Duit bantuan pak cik belum masuk …’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ping! Masuk ketika saya berlegar di sekitar LRT Cheras, Kuala Lumpur.
Seorang perempuan pertengahan usia yang namanya tertera di aplikasi Grab sebagai Siti masuk ke kereta. Destinasinya ke Semenyih.
Mulanya kami berbual biasa-biasa sahaja sehinggalah dia bertanyakan saya tentang cabaran memandu Grab ketika ini.
Saya jelaskan, kerja macam ini ada masa turun dan naik dari segi jumlah pendapatan. Tak stabil tapi insya-Allah rezeki selalu ada jika rajin.
Dari situ, teruslah perbualan kami membawa kepada pengalaman yang dilalui Kak Siti ketika pulang ke kampung di Kelantan.
“Sebenarnya akak baru balik dari kampung di Kelantan dengan adik beradik lain. Jenguk keluarga.
“Kami ambil kesempatan jalan-jalan naik keretapi ke Dabong. Kami naik dari stesen Wakaf Bharu.
“Bila tiba di stesen Tanah Merah, naik seorang pak cik ini yang umur lebih kurang 70 tahun. Dia duduk berhadapan dengan saya dan kakak saya.
“Kami pun sembanglah. Rupanya pak cik ini pergi ke Tanah Merah sebab hendak tengok duit bantuan kerajaan sudah masuk atau belum.
“Kata pak cik ini, dia dari sebuah kampung di Tembangan. Tambang ke Tanah Merah cuma RM1 saja, pergi dan balik RM2.
“Tapi yang sedihnya, duit bantuan kerajaan belum masuk lagi. Dia pulang dengan tangan kosong. Kata pak cik itu, duit itu hendak digunakan untuk bayar hutang barang keperluan dan makanan di kedai dalam kampungnya,” cerita Kak Siti.
Selepas mendengar kisah duka pak cik tu, Kak Siti berasa terlalu hiba. Sebabnya, ketika itu dia dan adik-beradiknya menuju ke Dabong kerana mahu ke kedai emas.
Di hadapannya pula, seorang pak cik yang sudah tua dan uzur ketiadaan duit untuk membayar hutang kedai. Pastinya juga dia ketiadaan duit untuk makan.
“Tak pasal-pasal meleleh air mata saya. Berbisik-bisik kami adik beradik dan menghulurkan duit di tangan kepada pak cik itu.
“Masa itu juga, pak cik itu menangis. Waktu hendak turun di stesen Tembangan, seorang lagi adik saya hulurkan duit. Menangis lagi pak cik itu.
“Paling sedih, bila keretapi bergerak, pak cik tu melambai-lambai tangan kepada kami dengan muka sayu. Gambaran wajah pak cik tu saya teringat-ingat sampai sekarang,” kata Kak Siti dengan nada sebak.
Katanya, dia bukan bercerita kerana mahu menunjuk-nunjuk tentang sedekah, tapi hatinya sebak kerana memikirkan betapa ramainya insan yang dihimpit kesusahan ketika ini.
“Saya tak tahu dia ada anak atau tidak tapi saya tak dapat nak bayangkan, dia balik ke rumah dengan tangan kosong.
“Sedihnya saya, sampai sekarang terasa-rasa lagi. Harapnya sedikit sumbangan dari kami itu dapat bertahan untuknya menunggu bantuan kerajaan tiba,” kata Kak Siti.
Benarlah, jika kita merasakan diri malang dan susah, ada beribu lagi insan lain yang lebih terhimpit hidupnya. Maka bersyukur sajalah dengan apa yang kita ada ketika ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya