Dosa lelaki terhadap wanita - Utusan Malaysia

Dosa lelaki terhadap wanita

PEMERKASAAN kini perlu tertumpu kepada lelaki yang memainkan peranan sebagai suami dan ayah dalam memastikan mereka amanah dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarga terdekat.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DIRI­WAYATKAN daripada Jabir r.a: Nabi SAW dalam sebuah hadis tentang haji yang panjang berkata tentang wanita: Bertakwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu (lelaki) mengambil mereka (wanita) dengan amanah Allah. Kewajipan kamu (lelaki) pula adalah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka (wanita).” – Riwayat Muslim (1218).

Pada 25 November lalu, seluruh dunia meraikan Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita Antarabangsa seperti ditetapkan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Resolusi 54/134 bertarikh 7 Februari 2000. Tarikh ini dipilih bagi memperingati pembunuhan kejam Patria, Minerva, dan Maria Teresa Mirabil-Reyes yakni tiga aktivis wanita dari Republik Dominican atas arahan bekas Presiden Rafael Trujillo.

Di banyak negara, 25 November diraikan dengan memperingati wanita-wanita yang menjadi mangsa kekejaman dan keganasan di tangan pemimpin lelaki yang bebal dalam keupayaan mereka. Hendak dikatakan tidak diingatkan, berjuta kata pujangga sudah diberikan kepada para lelaki untuk memartabatkan wanita.

Hendak dikatakan tidak dididik, agama sudah teguh memelihara hak wanita. Tidak cukup dengan ajaran akhlak yang ditetapkan masyarakat, diadakan juga kawalan keras melalui peruntukan undang-undang bagi melindungi wanita.

Secara khusus, dengan adanya Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), Malaysia mempunyai rekod tersendiri dalam perihal pembelaan hak wanita. Negara ini adalah yang pertama di rantau Asia Tenggara menggubal akta khusus untuk menangani isu keganasan rumah tangga.

Malah, apabila Parlimen meminda Kanun Keseksaan pada 2007, kemasukan Seksyen 375A ke dalam Kanun Keseksaan membuktikan komitmen negara dalam memelihara keselamatan seksual wanita yang sudah berkahwin, waima terhadap suami mereka sendiri.

Apa salahnya sehingga kini lelaki masih berterusan melakukan dosa ke atas kerentanan wanita? Sebak dada saya membaca perkongsian Fazariah Nordin tentang keadaan semasa kakaknya, Jahidah yang mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan di bahagian otak selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak selepas dibelasah suaminya pada Mei lalu.

Pun begitu, dalam pada kecederaan teruk yang dialaminya, keajaiban adalah ketentuan Tuhan yang melangkaui akal manusia dan kandungannya selamat dilahirkan Isnin lalu. Tidak terjangkau dek akal yang waras bagaimana seorang lelaki boleh tergamak membelasah isteri yang sedang mengandungkan zuriatnya sendiri.

Kejadian yang menimpa Jahidah bukanlah laporan tunggal mengenai keganasan terhadap wanita yang disajikan kepada masyarakat kita. Walaupun ngeri dan tragis, ini hanyalah satu daripada 9,015 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

MEROGOL
Tahun lalu, Profesor Madya Dr. Maizatulnisa Othman dibunuh suaminya kerana menolak tuntutan cerai yang difailkan mangsa. Tahun lalu juga, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan terhadap seorang lelaki selepas dia mengaku salah terhadap tujuh pertuduhan melakukan keganasan seksual terhadap isterinya.

Bulan lalu, polis mengesahkan penahanan seorang penganggur dari Sungai Petani yang menyeksa isterinya secara seksual selain merogol anak kandungnya. Kejadian sebegini tidak seharusnya berterusan dalam zaman dan era di mana martabat wanita terus diangkat tinggi.

Malangnya, dalam masyarakat hari ini masih wujud kaum lelaki yang tidak segan dengan amanah mereka dan berlangsungan melakukan dosa terhadap wanita atas alasan kerentanan wanita yang dilihat masih lemah keupayaan berbanding kaum lelaki. Jika tidak dibelasah sehingga separuh nyawa, pelbagai cara lagi lelaki menindas wanita dengan menidakkan hak mereka.

Di pintu mahkamah saban hari, berderetan wanita mengadukan nasib tidak diberikan nafkah. Masyarakat moden tidak sepatutnya berterusan melaungkan slogan pemerkasaan dan pemerkayaan wanita.

Sebagai seorang aktivis sosial yang memperjuangkan hak wanita, saya sendiri sudah jelak. Saya melihat, kaum wanita sudah cukup perkasa untuk hidup dengan penuh kehormatan atas kebolehan masing-masing.

Sebaliknya, kini masyarakat sepatutnya memperkasakan lelaki supaya kenal dan faham sifat dan tanggungjawab yang berdiri di pundak mereka sebagai pelindung wanita. Seorang suami berkewajipan memastikan hak isteri dalam hal penjagaan dirinya adalah sempurna.

Seorang ayah bukan sahaja berperanan sebagai pencari nafkah untuk membesarkan anak-anak tetapi juga pelindung memastikan kesejahteraan mereka. Pemerkasaan bukanlah kepada isteri dan anak-anak untuk terus-menerus meminta hak mereka. Sebaliknya pemerkasaan seharusnya kepada suami dan ayah yang harus kenal amanah dan tanggungjawab mereka terhadap ahli keluarga terdekat.

Berpuluh juta ringgit diperuntukkan saban tahun untuk pemerkasaan wanita, namun nasib malang terus menimpa perjuangan ini apabila masih ada wanita yang dimangsakan kerana kerentanannya. Mungkin sudah tiba masa, masyarakat kita membincangkan untuk mengadakan Dasar Lelaki Negara agar kita dapat mendidik lelaki untuk tidak bacul dengan peranan sebagai pelindung wanita.

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Pertubuhan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq); Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN