Anak kita terdedah budaya LGBTQ - Utusan Malaysia

Anak kita terdedah budaya LGBTQ

PENGARUH fahaman lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) semakin menjadi-jadi apabila ia dipromosi dalam drama atau filem yang menjadi pilihan kanak-kanak dan anak muda
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMAM al-Ghazali pernah menyebut: “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Sebaliknya, jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan dipersiakan seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa.”

Perkara 32 Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989 mengiktiraf hak kanak-kanak untuk dilindungi daripada eksploitasi ekonomi dan menjalankan apa-apa kerja yang boleh mendatangkan keburukan kepada mental, kerohanian, kemoralan atau sosial kanak-kanak tersebut.

Malaysia selaku negara yang sudah lama meratifikasi konvensyen ini perlu memastikan langkah-Iangkah perundangan, pentadbiran, sosial dan pendidikan dilaksanakan bagi melindungi hak kanak-kanak sepenuhnya.

​Tidak cukup itu, Malaysia berjaya menggubal lebih daripada 10 akta berkaitan kanak-kanak bagi tujuan penjagaan, pemeliharaan, perlindungan dan pemuliharaan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. Masyarakat turut didedahkan dengan pelbagai pelan tindakan serta polisi setempat yang memelihara golongan bawah umur ini daripada salah laku jenayah seperti penderaan fizikal, komunikasi berbaur seksual atau pengabaian secara berterusan.

Semua pihak perlu ingat, undang-undang dalam apa-apa keadaan lebih berpihak kepada kebajikan, keperluan dan kepentingan seorang kanak-kanak.

​Baru-baru ini, seorang bakat muda berumur 17 tahun mengaku dirinya dimanipulasi oleh sebuah syarikat penerbitan filem apabila beliau diarahkan untuk melakonkan adegan-adegan romantik sesama rakan sejantina untuk tujuan tayangan eksklusif di sebuah aplikasi temu janji gay dan penstriman video. Perkara tersebut mengundang pelbagai kecaman dan kritikan keras daripada orang awam yang memandang serius isu berkenaan pengaruh fahaman lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) dalam kalangan anak muda.

Normalisasi LGBTQ melalui media bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan ia cuba menyelinap masuk ke negara ini sejak beberapa dekad lalu. Satu kajian dilaporkan dalam jurnal Gender and Media Diversity mendapati watak gay dan idea tentang homoseksualiti semakin ketara dijadikan bahan atau konteks dalam media elektronik.

Apa paling menggerunkan ialah watak atau adegan gay yang dipamerkan di televisyen dilakonkan sebagai berpasangan dan berkeluarga dan ada ketikanya dianggap normal apabila dua individu sejantina membesarkan seorang anak kecil di sebuah rumah kediaman. Sebagai contoh, Disney sebagai pilihan siaran hiburan remaja tanpa segan silu menyebarkan unsur-unsur kepincangan nilai kekeluargaan atas alasan ‘kemajuan dan ke arah peradaban progresif’.

Netflix sebagai salah satu penyedia layanan media digital juga semakin rancak mempromosikan idea homoseksualiti dan transgenderisme kerana tularnya penjenamaan orientasi seksual seperti non-binary, gender fluid dan cisgender di media massa. Masyarakat seluruh dunia kini dibiasakan dengan gaya hidup pengamal seks songsang yang secara terang-terangan mengekspresikan perlakuan menyalahi fitrah manusia dek dasar antarabangsa daripada pihak berkepentingan yang mahu wujudkan penerimaan sosial walaupun masih ramai berpendapat topik ini tabu.

Normalisasi LGBTQ dalam media nyata bercanggahan dengan prinsip agama dan budaya tempatan bahkan mengenepikan semangat Perlembagaan Persekutuan yang membela hak sesebuah keluarga dan masyarakat untuk keselamatan awam, sosial dan moraliti.

Pelaksanaan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menjenayahkan perbuatan mana-mana individu atau organisasi yang membolehkan kesalahan seksual songsang berlaku di tempat awam dan tertutup, secara umum atau dalam talian di negara ini. Penubuhan Mahkamah Kanak-Kanak pula merupakan satu mekanisme yang jitu dalam memastikan keadilan dan perlindungan sewajarnya buat mangsa kanak-kanak.

Telah menjadi tugas dan tanggungjawab kedua-dua ibu bapa untuk pelihara diri dan ahli keluarga daripada api neraka seperti disebut di dalam firman Allah SWT melalui Surah al-Tahrim.

Penulis sentiasa beranggapan peranan utama dalam pemeliharaan akhlak dan identiti diri seorang kanak-kanak itu harus diambil oleh si penjaga atau ibu bapa. Ibu ayah sepatutnya menjadi benteng terkuat buat anak-anak mereka daripada bahaya penggunaan media sosial tanpa batasan kerana kandungan bergenre maksiat semakin tidak terkawal.

Ditambah penyusupan pemikiran songsang dan asing yang membuka ruang amat luas kepada eksploitasi seksual kanak-kanak seperti yang menimpa pelakon muda itu tadi. Tindakan saman terhadap pihak produksi filem mungkin merupakan satu alternatif perundangan yang baik tetapi keberkesanannya tidaklah seteguh amalan pencegahan awal seperti didikan, asuhan serta amaran akan perbuatan tidak bermoral LGBT.

Oleh itu, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan jangan biarkan musuh pula ‘membesarkan’ amanah dari Tuhan yang tidak berharga ini.

PENULIS ialah pengamal undang-undang, ketua biro media WAFIQ, aktivis hak asasi manusia dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×