PAK Lahuma dan Mak Jeha di Kampung Banggol Derdap tersengih sahaja apabila anak dan cucu di bandar yang balik bercuti di kampung bercerita perihal penguasa menyalahgunakan kuasa. Mereka berdua ketawa terkekeh-kekeh kerana terlalu geli hati. Ini babak lama yang beruang-ulang, kata Pak Lahuma.
Kalau Lebai Debasa dan Pak Shahno dengar kegelisahan anak cucu Pak Lahuma mengenai perangai sesetengah dalam kalangan penguasa itu pun mesti ketawa. Orang di Banggol Derdap sudah tidak hairan dengan perangai begitu. Cuma anak dan cucu yang baru mengenal dunia menganggap itu sebagai pelik.
Walaupun tinggal di kampung yang jauh di pedalaman, tetapi jangan ingat mereka tidak tahu tentang hal ehwal yang berlaku di luar. Mereka tahu semuanya walaupun tidak dikhabarkan di radio atau televisyen.
Lahuma, Shahnon dan Lebai Debasa hidup di Banggol Derdap sejak sebelum merdeka lagi. Sejak dulu mereka faham sangat tentang payahnya untuk mengurus dan meluruskan kuasa. Lebih payah daripada membela sepuluh ekor kerbau untuk menggala tanah bendang.
Maka tidak hairanlah kalau banyak yang memburu, memikat dan akhirnya mendapat kuasa. Dengan kuasa bolehlah membantu rakyat, kata mereka dengan wajah sangat suci. Tetapi kuasa pun berlapis-lapis. Ada yang lain, lain dan lain lagi. Memang payah untuk kota apa yang dikata.
Kegagalan melurus atau menguruskan kuasa adalah cerita lama. Sangat lama. Malah sudah menjadi darah daging dalam sesetengah pemilik kuasa. Disebabkan gagal mengendalikan dengan betul, kuasa pun tergelincir – daripada ‘demi rakyat’ berubah menjadi menjadi demi entah apa-apa yang tidak ada kena mengena dengan rakyat.
Jadi, rakyat termasuk yang hidup jauh di pedalaman seperti di Banggol Derdap tidak terkejut sedikit pun dengan penyalahgunaan kuasa. Mereka menelan pahitnya kelakuan tidak senonoh itu seperti menggigit akar seruntun. Tetapi kalau sudah terlalu lama rasa pahitnya macam kopi tidak bergula sahaja.
Orang bandar menyebut semua itu sebagai normalisasi. Maknanya sesuatu yang sudah diterima sebagai suatu yang biasa. Mereka yang terkejut pula dianggap luar biasa. Demikian proses normalisasi penyalahgunaan kuasa berlaku dan rakyat pun sudah mangli (lali) untuk merasa apa-apa.
Beberapa hari sebelum ini tercetus kontroversi apabila pemilik sebuah akaun Twitter mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa dalam kalangan penguatkuasa – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berpandukan laporan media, perkara-perkara yang didedahkan oleh pemilik akaun Twitter itu sangat spesifik. Bagaimanapun kita tidak tahu akan kebenaran dakwaan itu. Bagaimanapun individu yang terkait dalam pendedahan itu tetap berhak membersihkan diri melalui saluran undang-undang.
Hendak dikatakan pendedahan itu mengejutkan, mungkin tidak. Ini kerana sikap pagar makan padi ini bukan suatu yang baharu. Perkara ini sudah membarah dalam masyarakat malah seolah-olah menjadi suatu yang biasa. Kalau pihak penguatkuasa kecil tidak menyalahgunakan kuasa, ada kuasa yang lebih besar menyalahgunakan mereka.
Kalau diteliti sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan perubahan besar dalam lanskap politik negara, banyak perkara yang kita boleh saksikan. Sebelum PRU-14 sesetengah pihak penguatkuasa diam menikus. Tidak bersuara langsung, malah menafikan bahawa ada berlaku sesuatu yang tidak betul.
Tetapi akhirnya banyak yang terburai juga selepas PRU-14. Bagaimanapun rakyat tidaklah terkejut beruk jadinya. Mereka selamba sahaja kerana sudah lama tahu akan kebusukan dalam kalangan sesetengah pemimpin yang berkuasa. Malah tidak menaruh harapan tinggi pun perubahan akan berkekalan selepas PRU 14.

Politik
Politik adalah kuasa. Menggunakan kuasa dan menyalahgunakan kuasa menjadi keperluan yang sama pentingnya dalam politik. Sebab itulah sifat tidak amanah boleh hidup subur dalam politik. Walaupun penyalahgunaan kuasa itu sangat tidak baik, tetapi demi kelangsungan kuasa, ada yang sanggup melakukannya.
Banyak yang ketawa menonton drama pasca PRU-14 di mana beberapa pihak berkuasa kalut mengheret orang itu dan ini ke muka pengadilan. Tiba-tiba mereka bangkit dari lena panjang sebelum PRU-14. Sedangkan sebelum itu mereka menjadi beku macam batu.
Bukankah itu satu bentuk penyalahgunaan kuasa? Bukan. Itu bukan penyalahgunaan kuasa tetapi pendekatan untuk lestari di kerusi kuasa yang ada. Kalau betul-betul buat kerja akan berpotensi pula dibuang kerja. Sekali lagi Lahuma dan Lebai Debasa di kampung Banggol Derdap ketawa berdekah-dekah.
Drama tidak pernah berakhir selepas tirai diturunkan. Sebab itu Lahuma dan Lebai Debasa ketawa melihat gelagat rakyat sebagai penonton drama yang lupa akan hakikat perkara itu akan berulang dan terus berulang. Mereka fikir sebuah drama berakhir apabila diturunkan.
Mereka tidak mampu ‘membaca’ hakikat sebuah drama. Selepas sebuah drama muncul pula yang lain dan rakyat hanya menjadi penonton tidak boleh menegur apa-apa di atas pentas. Mereka hanya boleh bertepuk dan bertepuk.
Selepas berduyun-duyun diheret dan diberikan seragam oren, nampaknya babak baharu pun bermula. Satu demi satu pula kelihatan akan selamat apabila sahabat dan rakan taulan menjadi penguasa. Rakyat yang dulunya bertepuk tangan kerana beduyun-duyun diheret ke muka pengadilan, kini sudah terlopong.
Ketika pengutip cukai memburu rakyat marhaen hingga ke lubang cacing, tetapi mereka memejamkan mata biarpun ada yang tidak membayar cukai beratus juta ringgit. Kemudian selepas PRU-14 ada penguasa mula kalut mengambil tindakan dan mendakwa orang itu dan ini.
Rakyat marhaen mengeluh kerana ada cukai tertunggak mereka tidak boleh pergi ke luar negara. Tetapi mereka akur kerana itu satu peraturan. Bagaimanapun layanan dua darjat berlaku juga. Ada yang tertunggak beratus juta ringgit bebas pula ke luar negara.
Bukankah itu satu penyalahgunaan kuasa?
Oh bukan. Itu bukan penyalahgunaan kuasa. Itu bijak menggunakan kuasa. Lahuma dan Lebai Debasa di Banggol Derdap terus ketawa. Sudah beberapa kali tirai diturun dan dinaikkan, babaknya tetap sama.
PENULIS adalah editor portal kuseman.com.











