SUASANA politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kian panas terutama melibatkan isu calon yang sesuai. Sesuai dari segi boleh menang. Oleh itu, apabila disebut boleh menang, bermakna diterima dan dipilih oleh rakyat.
Isu pemilihan calon melibatkan semua parti, tidak kiralah Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas mahupun Pakatan Harapan (PH). Yang pasti, pemilihan calon kelak sudah tentu disenaraikan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti masing-masing.
Namun, jangan lupa, walaupun pucuk pimpinan yang menyenaraikan nama-nama calon untuk parti masing-masing, pengundi menjadi penentu kemenangan calon. Kata putus terakhir adalah pengundi. Oleh itu, setiap parti tidak boleh membuat kesilapan dalam memilih calon untuk bertanding.
Bagi Bersatu, walaupun dianggap masih baharu dalam dunia politik tanah air, namun untuk PRN Melaka, rakyat sudah mula menerima kehadirannya.
Kehadiran Bersatu di Melaka dianggap berdasarkan kerjasama parti tersebut dengan rakan dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas dan Gerakan.
Dengan kata lain, penyokong Pas dan Gerakan boleh menerima kehadiran kepemimpinan Bersatu di Melaka. Begitu juga sebaliknya, penyokong Bersatu boleh menerima kehadiran Pas dan Gerakan.
Semua ini berdasarkan kerjasama antara Bersatu, Pas dan Gerakan dalam menyantuni dan membantu rakyat termasuk menghulurkan bantuan serta menyelesaikan segala isu rakyat terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.
Bagi Bersatu, parti tersebut haruslah mendengar suara akar umbi sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian sebelum menyenaraikan nama-nama calon untuk bertanding dalam PRN Melaka nanti. Calon-calon dari Bersatu itu pula harus diterima sepenuhnya oleh cawangan dan bahagian kerana ini melibatkan operasi bilik gerakan serta perjalanan kempen sepanjang PRN Melaka.
Selain suara akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian, suara rakyat atau suara pengundi itu sendiri haruslah diambil kira oleh Bersatu. Inilah yang menentukan kemenangan bagi Bersatu, selain meneruskan kerjasama dengan Pas dan Gerakan di bawah PN.
Bagi saya, Bersatu sentiasa mengambil pandangan semua pihak terutama ahli akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian. Pandangan akar umbi parti itu penting kerana mereka lebih dekat dengan rakyat yang menjadi pengundi. Malah, saya akui, kerjasama Bersatu, Pas dan Gerakan sentiasa erat dalam membantu rakyat.
Pucuk pimpinan tertinggi Bersatu sentiasa mengambil kira pandangan akar umbi. Inilah kekuatan kita. Kita diterima rakyat kerana agenda kita ialah menyelesaikan segala masalah rakyat.
Berdasarkan pendekatan Bersatu iaitu mendengar suara akar umbi dan pengundi sebagai penentu kepada pemilihan calon, menjadi harapan Bersatu untuk mengetengahkan calon-calon boleh menang.
Dalam hal ini, Bersatu tidak boleh melakukan kesilapan dalam memilih calonb kerana PRN Melaka menjadi permulaan atau perintis kepada negeri-negeri lain untuk menerima Bersatu dalam politik tanah air, seterusnya menentukan pucuk pimpinan tertinggi Bersatu telah memilih calon yang tepat iaitu boleh menang dan diterima pengundi.
DATUK Hishamuddin Abdul Karim ialah Setiausaha Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).










