Malaysia dihimpit peperangan proksi - Utusan Malaysia

Malaysia dihimpit peperangan proksi

ANIFAH AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-76 yang berakhir semalam diadakan secara hibrid dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pula turut tampil berucap secara maya.

Bekas Menteri Luar, DATUK SERI ANIFAH AMAN dalam wawancara dengan Utusan Malaysia menyifatkan penyertaan Malaysia dalam UNGA amat penting bagi memastikan suara negara ini didengar dan haknya terus dijaga.

Oleh itu, beliau berpendapat Malaysia sepatutnya diwakili secara fizikal, sekurang-kurangnya oleh Menteri Luar bagi membincangkan isu-isu terbaharu termasuk pembentukan pakatan baharu melibatkan Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau AUKUS.

“Tidak perlu membuang masa untuk pergi ke China, kemudian ke Australia, kemudian ke AS contohnya kerana pada masa itu semua wakil negara berkumpul di UNGA,” katanya.

UTUSAN: Mengapa perlunya penyertaan Malaysia ke UNGA?
ANIFAH: UNGA merupakan perhimpunan amat penting berlaku setahun sekali. Perlunya Malaysia hadir ke UNGA adalah bagi memastikan imej dan mesej sebenar mengenai keadaan negara disampaikan dan dipertahankan. Ia juga bagi memastikan suara serta hak Malaysia dijaga.

Ia memberi peluang pemimpin kita berjumpa pemimpin sekurang-kurangnya 25 negara di ibu pejabat PBB di New York, AS. Ia juga membolehkan pemimpin kita mengadakan lawatan kerja dan bertemu dengan pihak-pihak berkepentingan di AS.

Apa kerugiannya kalau tidak hadir secara fizikal?
Kita tidak dapat berinteraksi dengan negara lain secara efisien dan tidak dapat berjumpa untuk pelbagai jenis rundingan contohnya kerjasama ekonomi, pertahanan, pelajaran dan sebagainya.

Diplomasi adalah mengenai mewujudkan hubungan untuk faedah negara kita. Oleh itu apabila kita perlu berunding atau membantu atau menyokong, ia dapat dicapai dengan mudah di masa depan tetapi bagaimana mencapainya jika kita tidak hadir secara fizikal?

UNGA juga sebagai peluang untuk Malaysia bertemu bukan sahaja dengan ASEAN, tetapi melibatkan kerjasama lain termasuk dengan AS. Jadi, sangat penting bagi Malaysia untuk diwakili oleh sekurang-kurangnya Menteri Luar kita.

Difahamkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan ke China bagi membincangkan soal AUKUS?
Berikutan perkembangan isu pembentukan kerjasama tiga hala antara AS, Australia dan UK baru-baru ini, negara-negara Asia Tenggara telah menyuarakan kebimbangan terhadap perkara tersebut.

Hal ini kerana, ia dapat mencetuskan provokasi terhadap kuasa besar lain untuk bertindak secara agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan. Selain itu, AUKUS akan memangkin perlumbaan senjata nuklear di rantau Indo-Pasifik walaupun negara-negara di kawasan ini bersetuju untuk menjadi kawasan bebas nuklear. Oleh itu, perkara ini semestinya dapat menggugat keamanan negara di rantau Asia Tenggara.

Hishammuddin telah menyatakan hasratnya untuk melakukan lawatan kerja ke China dalam masa terdekat bagi membincang dan mendapatkan posisi republik itu terhadap perkara ini. Sebenarnya terdapat cara yang lebih efisien dalam perbincangan berkaitan polisi negara iaitu melalui kehadiran Menteri Luar ke UNGA.

Di sana Menteri Luar dapat menyampaikan mesej serta pendirian Malaysia, bertemu dengan menteri-menteri luar lain termasuklah Menteri Luar China dan berbincang berkaitan AUKUS. Kedua, kita mempunyai suara yang lebih besar sekiranya kita melibatkan negara-negara ASEAN lain.

Ia akan lebih efektif kerana mempunyai suara secara kolektif daripada Malaysia bertindak sendirian. Ini sepatutnya kerja Menteri Luar kerana perkara sebegini jatuh bawah portfolio Menteri Luar dan bukannya Menteri Pertahanan lebih-lebih lagi berkaitan polisi antarabangsa dan sebagainya. Semua perkara mempunyai proses dan prosedurnya dan tidak harus dicampuradukkan.

Inilah salah satu sebab kenapa kehadiran Menteri Luar kita sebenarnya penting di UNGA. Tidak perlu membuang masa untuk pergi ke China kemudian ke Australia kemudian ke AS contohnya kerana pada masa itu semua wakil negara berkumpul di UNGA.

Apa kesan keputusan Hishammuddin untuk mengadakan perbincangan di China?
Keputusan oleh Menteri Kanan ini akan memberi impak negatif terhadap prinsip neutraliti atau berkecuali yang negara kita amalkan.

Selain itu, pendekatan sebegini secara tidak langsung boleh ditafsir dan menunjukkan Malaysia sedia menerima tuntutan China terhadap kawasan perairan negara di bawah konsep nine-dash line (sembilan garis putus-putus).

Ia juga seperti menidakkan pelbagai ancaman daripada China termasuklah pencerobohan ke atas perairan dan ruang udara Malaysia sejak konflik di Laut China Selatan bermula.

Tambahan pula, hampir 50 peratus dari sumber petroleum dan gas asli Malaysia terletak di Laut China Selatan. Oleh itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya merisikokan zon ekonomi eksklusif (ZEE) negara yang kaya dengan sumber-sumber laut ini.

Bukan itu sahaja, sewaktu beliau menjadi Menteri Luar, Hishammuddin juga pernah terlibat dengan kontroversi bersama perwakilan China di mana dia merujuk republik tersebut sebagai abang besar kepada Malaysia.

Perkara ini jika ditambah dengan keputusan untuk lawatan ke China akan memberi idea kepada dunia bahawa Malaysia ingin membentuk sekutu atau perjanjian pertahanan bersama negara tersebut, sekali gus merosakkan prinsip berkecuali yang dipegang oleh Malaysia selama ini.
Maka, kita haruslah bertindak secara rasional tapi pada masa sama melalui proses yang betul.

Pandangan dunia terhadap Malaysia sekarang?
Sememangnya Malaysia dikenali sebagai negara yang mengamalkan prinsip neutraliti atau berkecuali dalam membentuk hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.

Keselamatan negara dan kestabilan serantau amat dititikberatkan. Malaysia harus bijak bertindak. Kita mempunyai kelebihan serta kekuatan apabila bersama-sama ASEAN.

Antara contoh komitmen Malaysia dalam meningkatkan hubungan dengan negara serantau adalah persetujuan terhadap deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) oleh ASEAN yang ditandatangani di Kuala Lumpur oleh menteri luar daripada negara-negara dalam organisasi tersebut.

Adakah pandangan dunia akan berubah?
Keputusan untuk mendekati China sewaktu krisis di Laut China Selatan dikeruhkan lagi dengan pembentukan AUKUS bukan sahaja akan meningkatkan ketegangan situasi semasa antara kuasa-kuasa besar, bahkan Malaysia akan mengasingkan kedudukan negara-negara Asia Tenggara yang juga merupakan ahli ASEAN.

Rantau Asia Tenggara merupakan ZOPFAN. Maka menyandarkan negara kita kepada salah satu kuasa besar yang terlibat dalam situasi ini akan merosakkan objektif persetujuan itu ditandatangani pada mulanya.

Apa-apa rundingan, perbincangan dan sebagainya haruslah melalui saluran yang betul. Jika kita tidak bertindak sedemikian, sudah semestinya perkara ini akan memberi imej buruk terhadap negara terutamanya dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara.

Seterusnya, ia akan mengakibatkan Malaysia terhimpit dalam peperangan proksi antara kuasa-kuasa besar yang terlibat di kawasan Laut China Selatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya