PANDEMIK mendedahkan empat masalah utama pertanian dan sekuriti makanan. Pertama, pengguna miskin mengalami jaminan bekalan yang tak terjamin. Kedua, sektor padi dan beras yang sarat dengan subsidi tetapi hasil tak seberapa. Ketiga, kemiskinan bandar dan keempat, risko pasaran pekebun kecil kelapa sawit dan getah.
Berikut adalah olahan keempat-empat masalah ini dan cadangan bajet untuk mengatasinya:
Jaminan bekalan adalah rapuh atau tidak berdaya tahan di bawah pandemik. Ini kerana walaupun makanan mencukupi (disokong oleh import), sebahagian pengguna miskin (B40) hilang pekerjaan dan pendapatan. Hampir 760,000 pengangguran berlaku dan hampir 20 peratus golongan M40 tergelincir masuk ke dalam B40.
Gerakan bendera putih dan kekerapan barisan panjang orang ramai menerima makanan percuma menunjukkan masalah akses pasaran. Lantas kualiti pemakanan juga terjejas kerana pengguna miskin tidak mampu untuk membeli daging dan sayur serta buah-buahan segar.
Pemulihan ekonomi negara ini mungkin mengambil masa satu, dua tahun. Golongan B40 masih tidak mampu untuk menyara keluarga terutama dari segi menyediakan makanan dan kos pendidikan. Maka dicadangkan supaya pertama, peruntukan kepada pembangunan sektor makanan ditingkatkan.
Kedua, kupon makanan diberi kepada pengguna miskin tegar, desa dan bandar, terpinggir dan pedalaman. Kupon ini akan ditarik balik apabila ekonomi mula pulih.
Ketiga, subsidi input dalam bentuk kupon sementara untuk menangani masalah kekurangan buruh dan kos pengeluaran yang meningkat. Bayaran kupon subsidi dibuat secara terus (online) kepada pengeluar sayur, ayam pedaging, khinzir, lembu, susu, sayur-sayuran dan buah-buahan terpilih.
Kelima, insentif (diskaun bayaran bil internet atau telefon) untuk menggalakkan pengeluar menggunakan perniagaan secara dalam talian atau e-Dagang bagi memastikan hasil jualan sampai kepada pengguna.
Penyediaan makanan percuma kepada kanak-kanak prasekolah dan rendah melibatkan petani tempatan, guru, ibu bapa dan agensi tempatan, iaitu tanggungjawab sekuriti makanan dipikul oleh semua anggota komuniti. Melalui usaha ini faedah yang diperoleh – makanan sihat dan berkualiti kepada kanak-kanak sekolah, pengeluar tempatan berkembang, semangat kekitaan dalam komuniti dan keluarga miskin dibantu.
Semua usaha di atas memerlukan pangkalan data yang lengkap dan terkini.
Agihan subsidi input (berusia lima dekad) dan subsidi harga (empat dekad) memerlukan perubahan pendekatan untuk membolehkan petani membuat keputusan bebas yang lebih cekap dan bijak bagi sawah mereka. Sistem semasa yang tidak berubah dan bertahan begitu lama tidak memberi ruang kepada petani membuat keputusan yang terbaik untuk sawah mereka.
Ini kerana semua keputusan seperti kuantiti dan kualiti baja serta tarikh penyampaian baja adalah dipusatkan. Antara masalah paling ketara adalah:
(i) Satu formula baja bagi semua jenis tanah (sejak 1970-an).
(ii) Rekod Laporan Ketua Audit menunjukkan kelewatan baja antara 20 hingga 220 hari menyebabkan penanaman tidak selari dengan jadual pengairan. Masalah ini menyebabkan hasil tidak mencapai tahap optimum walaupun peruntukan subsidi meningkat tiga kali ganda semenjak 2008.
Dicadangkan supaya pertama, subsidi semasa digantikan dengan kupon dibayar secara terus kepada petani untuk membolehkan petani membuat keputusan lebih cekap terutama dari segi kuantiti, kualiti baja dan masa yang menepati jadual pengairan. Ini dijangka mendayaupayakan petani untuk membuat keputusan bijak bagi sawah mereka, lantas meningkatkan hasil dan pendapatan.
Kedua, pemprofilan tanah sawah dipercepatkan dengan membenarkan syarikat swasta dan pengusaha muda.
Ketiga, pemberian kredit kepada kumpulan (koperasi) untuk menggalakkan kerjasama dan pertanggungjawaban antara ahli bagi menegakkan prestasi ekonomi mereka.
Golongan B40 bandar terutama penghuni rumah pangsa mengalami masalah kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang menyebabkan bekalan makanan tidak terjamin. Sukar bagi mereka untuk mengubah nasib secara bersendirian tetapi melalui usaha kolektif, potensinya luas.
Sebagai penyelesaian dicadangkan usaha pendayaupayaan komuniti terutama B40 menangani masalah sosial dan ekonomi melalui usaha kolektif, iaitu koperasi. Sebagai contoh, koperasi rumah pangsa, koperasi pengguna, koperasi pemandu GrabCar dan pembawa teksi. Keperluan minimum ahli telah diturunkan kepada 20 orang maka ini memudahkan kesepakatan.
Faedah koperasi adalah memupuk semangat kekitaan lantas membantu kesejahteraan ahli atau #KitaJagaKita. Kedua, mendidik budaya kepentingan komuniti dan bukan individualistik. Ketiga, masalah sosial seperti kemurungan boleh dikongsi atau begitu juga tugas harian. Keempat, peluang kegiatan ekonomi seperti pertanian komuniti, pertanian bandar, tadika dan khidmat rumah pangsa.
Bajet yang diperlukan adalah seperti insentif sekali beri (one-off) atau modal awal, kredit yang murah, belanja latihan dan kemahiran dan belanja ke atas pegawai pengembangan mengenai koperasi dan memantau kemajuan mereka.
Pekebun kecil kelapa sawit, getah dan koko terdedah kepada risiko harga tidak stabil, menyukarkan mereka untuk membuat pelaburan ke atas kebun mereka.
Kebanyakan mereka mengamalkan mono-cropping atau tanaman tunggal. Kepelbagaian adalah alternatif untuk tingkatkan pendapatan. Ada yang mencuba kepelbagaian tanaman/komoditi tetapi berhadapan dengan masalah sokongan pengembangan kerana melibatkan pelbagai agensi yang tidak sekata dan lazimnya jauh dari kebun.
Sebagai contoh, ada yang menanam pisang perlu merujuk kepada Jabatan Pertanian, akuakultur perlu merujuk kepada Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), ternakan (Jabatan Veterinar), Lembaga Pemasaran Pertanian Pertanian (FAMA). Jadi, memberi masalah kepada mereka malahan menghilangkan insentif sama sekali,
Dicadangkan dana kepada pekebun kecil (kelapa sawit/getah/koko) untuk menggalakkan kepelbagaian tanaman dan komoditi (sayur, buah, ternakan, kelapa, akuakultur). Sebaik-baik mekanisme adalah dana ke atas kumpulan untuk menggalakkan pertanggungjawaban bersama secara kolektif terutama koperasi (polisi ini dilaksanakan di Thailand). Dana juga disediakan untuk membolehkan pekebun kecil melalui koperasi membina kilang kecil meningkatkan pendapatan dengan kegiatan nilai tambah.
Kedua, elaun tambahan kepada agensi pengembangan berkaitan untuk membantu pekebun kecil kelapa sawit/getah/koko. Ketiga, dana tambahan kepada agensi untuk meluaskan khidmat nasihat mereka kepada pekebun kecil kelapa sawit/getah/koko.
PROFESOR Datin Fatimah Mohamed Arshad ialah Ketua Kluster Pertanian & Sekuriti Makanan, Akademi Profesor Malaysia dan Felow Penyelidik, Universiti Putra Malaysia (UPM).