Ekonomi digital pulihkan negara - Utusan Malaysia

Ekonomi digital pulihkan negara

Kemampuan rakyat untuk membeli peralatan komputer dan internet perlu juga diperhalusi - AMIR KHALID/MINGGUAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Mohd. Rozaimy Ridzuan

UMUM mengetahui pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini melangkaui krisis kesihatan kerana ia memberi kesan  mendalam terutamanya dalam sektor ekonomi. Desakan pandemik yang tidak terbatas ini telah meningkatkan kadar kemis­kinan, pengangguran dan menjadikan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) sesuatu yang mencabar.
Terma ekonomi digital kembali hangat diperkatakan kerana pakar-pakar eko­nomi di seluruh dunia mempercayai sektor ini mampu mempercepatkan pembangunan ekonomi glo­bal, meningkatkan produk­tiviti industri-industri sedia ada, mencambah pasaran ba­haru dan mencapai pertum­buhan ekonomi yang mampan.
Di China, ekonomi digital menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang amat menggalakkan sebelum kehadiran pandemik Covid-19 lagi. Ketika pandemik Covid-19 melanda negara itu, kebanyakan pengusaha perniagaan di sana bersetuju untuk meningkatkan pelaburan dalam perniagaan digital sebanyak 10 hingga 30 peratus.
Ekonomi digital di Malaysia tidak kurang hebatnya kerana negara ini berada pada kedudukan yang baik jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara lain. Pembangunan ekonomi digital di Malaysia dan Singapura lebih terarah kepada latihan semula dan penyediaan peralatan berkaitan ekonomi digital manakala negara seperti Indonesia dan Filipina lebih mengutamakan pembangunan infrastruktur.
Sudah tentu apa dikecapi Malaysia pada hari ini adalah disebabkan oleh dasar-dasar kerajaan yang membawa aspirasi ke arah ekonomi berasaskan digital. Usaha ke arah pendigitalan ekonomi bermula sejak 1996 lagi apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan projek Koridor Raya Multimedia. Selepas itu, terdapat banyak inisiatif kerajaan yang melibatkan usaha ke arah ekonomi digital seperti inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan, Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan, Blueprint Produktiviti Malaysia, Zon Perdagangan Bebas Digital dan banyak lagi.
Pada 2018, dikatakan lebih kurang 80 peratus PKS menggunakan komputer dan telefon pintar dan lebih 70 peratus PKS di Malaysia menggunakan internet dalam menjalankan operasi perniagaan masing-masing. Namun, hanya 46 peratus yang menggunakan sistem kewangan dan perakaunan secara digital.
Selain itu, pandemik Covid-19 yang melanda negara turut memberi ke­san ekonomi kepada golongan usahawan wanita. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, sejumlah 20.6 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan di Malaysia adalah milikan wanita dan memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara.
Namun, Presiden Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi melaporkan bahawa lebih daripada 190,000 usahawan wanita terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19. Ramai dalam kalangan mereka hilang pekerjaan dan memerlukan pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.
Sudah pasti, ekonomi digital adalah penyelesaian tepat buat kaum wanita bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka kerana sektor ini bukan sahaja melangkaui masyarakat dan negara, malah ia juga melangkaui jantina.
Pengadaptasian ekonomi digital juga menuntut rakyat sebagai pengguna untuk memahami bagaimana untuk memanfaatkan teknologi tersebut. Namun, warga emas terutamanya yang tinggal di luar bandar masih menghadapi masalah untuk memahami teknologi tersebut kerana belum terbiasa dengan pelbagai cara pembayaran atas talian seperti GrabPay, TNG eWallet, Boost eWallet dan WeChat Pay.
Penipuan data dan serangan siber juga melemahkan keyakinan rakyat terhadap ekonomi digital. Kualiti dan liputan perkhidmatan jalur lebar yang rendah, penyediaan infrastruktur digital yang belum menyeluruh dan tenaga kerja berkemahiran digital yang masih tidak mencukupi antara punca mengapa pelaksanaan ekonomi digital ini masih di takuk lama.
Selain itu, kebanyakan usahawan tidak formal masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pihak berkuasa tempatan. Kesannya, mereka tidak boleh membuka akaun bank dan perkara ini menyukarkan mereka untuk menggunakan kaedah pembayaran secara e-dagang.
Kerajaan perlu memastikan rakyat mempunyai peluang untuk meneroka ekonomi digital dan bangkit semula selepas melalui detik sukar Covid-19. Malaysia tidak mampu bersaing dan akan ketinggalan dalam ekonomi global yang semakin kompe­titif sekiranya kita tidak ber­sedia untuk berubah. Bu­daya keusahawanan juga perlu disemai supaya Ma­laysia boleh menjadi negara pengeluar produk dan per­khidmatan. Tumpuan perlu diberikan untuk me­lahirkan usahawan B40 dan M40 yang berinovasi dan menjadikan ekonomi digital sebagai sumber penjanaan pendapatan.
Diharapkan, penggabungan pengalaman, kewangan dan kepakaran modal insan oleh dua syarikat gergasi telco Celcom dan Digi akan memberi manfaat semaksima mungkin dalam menyediakan perkhidmatan selular dan jalur lebar yang menyeluruh bagi mendukung aspirasi MYDigital.
Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada bulan depan nanti perlu menampakkan usaha ke arah mempertingkatkan infrastruktur digital, khususnya jalur lebar berkelajuan tinggi yang mempunyai liputan  luas. Aspirasi kerajaan untuk mendigitalisasikan rakyat akan terbantut sekiranya kadar kelajuan dan liputan internet di dalam negara seolah-olah seperti hidup segan mati tak mahu.
Kemampuan rakyat untuk membeli peralatan komputer dan internet juga perlu diper­halusi. Kerjasama awam-swasta untuk mengurangkan harga infrastruktur digital asas perlu diperkembangkan untuk menggalakkan amalan pendigitalan dalam kalangan rakyat.
Selama ini pun  banyak program berbentuk bantuan kewangan diberikan kerajaan. Namun, masih ramai pengusaha PKS yang kurang cakna dengan inisiatif tersebut. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab perlu menubuhkan skuad khas bagi menerangkan secara terperinci tentang program-program yang disediakan oleh kerajaan kepada mereka.

PENULIS ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.