Si gagak yang mati - Utusan Malaysia

Si gagak yang mati

MOHAMMAD MUSTAQIM MALEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAGAk merupakan sejenis haiwan yang tergolong dalam kumpulan burung. Dalam sistem taksonomi saintifik, burung gagak ialah haiwan yang tergolong dalam filum cordata, kelas aves, order passeriformes, keluarga corvidae dan genus corvus

Dalam genus corvus, burung gagak dianggarkan mempunyai sekitar 40 spesies di seluruh dunia. Setiap spesies gagak boleh dijumpai di kawasan tertentu. Misalnya, corvus benneti dan corvus orru yang merupakan spesies asli bagi Australia. Terdapat gagak yang mempunyai taburan yang lebih luas seperti corvus levaillantii yang boleh dijumpai di China, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Bhutan, dan Thailand. 

Di Malaysia, spesies yang biasa dijumpai ialah corvus enca. Ia dapat dikenal pasti dengan bentuk fizikal paruhnya yang kecil dan kurus. Oleh sebab itu juga, ia dikenali dengan nama slender-billed crow.

Burung gagak ialah haiwan maserba atau omnivor. Ia mempunyai diet yang luas dan dinamik mengikut kawasan didiaminya. Dengan sifat sedemikian, gagak gemar menjadi perakus (scavengger) dan oportunistik. Ia akan menggunakan apa sahaja cara dan peluang yang ada untuk memenuhi keperluan dietnya. Gagak yang mendiami kawasan-kawasan bandar gemar menjadikan tapak pembuangan sampah sebagai tempat mendapatkan makanan. Berdasarkan sifat dan sifat ini, gagak merupakan haiwan yang mempunyai daya kemandirian (survival) dan daya tahan yang tinggi. Ia boleh beradaptasi dengan pelbagai persekitaran.

Sifat dan sikap yang ada pada burung gagak ini digunakan sebagai satu bentuk perlambangan dalam karya kesusasteraan. Merujuk kepada tajuk penulisan ini, terdapat satu puisi berbahasa Inggeris yang ditulis oleh A. Samad Said berbunyi The Dead Crow. Ia boleh diterjemahkan secara harfiah sebagai Si Gagak Yang Mati. Ia merupakan puisi bertemakan perjuangan memelihara alam sekitar. Puisi tersebut menggambarkan situasi kesihatan dialami oleh manusia disebabkan kualiti udara yang teruk. Ia berlaku akibat daripada aktiviti tidak bertanggungjawab oleh sesetengah manusia sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Kematian burung gagak merupakan satu bentuk simbolik terhadap tahap kerosakan alam sekitar yang serius. 

Seperti yang diperihalkan secara biologi, gagak mempunyai daya kemandirian dan daya tahan yang kuat. Kematian burung gagak yang digambarkan dalam puisi The Dead Crow menunjukkan gagak yang kuat pun tidak mampu bertahan dengan kerosakan alam yang dibawa oleh aktiviti manusia.

Pada masa sama, manusia turut mengalami kesan buruk dari sudut kesihatan akibat daripada kerosakan alam yang berpunca daripada diri mereka sendiri. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Perkara ini perlu dijadikan pengajaran oleh masyarakat di luar sana agar mengambil endah akan kerosakan alam sekitar yang dialami.

JENAZAH

Selain daripada karya kesusasteraan, kematian gagak juga direkodkan oleh Allah SWT dalam al-Quran sebagai satu bentuk pedoman buat manusia. Kematian gagak ini susulan daripada kisah pembunuhan Habil oleh saudaranya Qabil. Imam al-Qurtubi menukilkan pendapat para ulama dalam tafsirnya yang meriwayatkan bahawa Qabil memikul jenazah Habil dalam satu tempoh yang panjang. Dia tidak tahu tindakan yang sewajarnya dilakukan ke atas jenazah itu. Atas sebab itu, Allah utuskan dua ekor burung gagak yang berkelahi. Kesan daripada perkelahian itu, salah seekornya mati. Burung gagak yang hidup menunjukkan kepada Qabil cara menguruskan jenazah melalui perbuatannya menguruskan bangkai burung gagak yang mati.

Perbuatan burung gagak dijelaskan dalam surah al-Ma’idah ayat 31 yang bermaksud: “Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata, wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku? Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.” Imam al-Qurtubi menukilkan ulama menyebut bahawa Habil merupakan manusia pertama yang meninggal dunia. 

Maka, kejadian si gagak yang mati akibat berkelahi dan dikebumikan oleh si gagak yang satu lagi merupakan satu hikmah yang besar daripada Allah SWT. Ia bertujuan mengajar manusia bagaimana cara sebaiknya mengurus jenazah orang yang meninggal dunia. Perbuatan menguburkan jasad orang yang meninggal dunia menjadi amalan sehingga hari ini. Bahkan dalam Islam, ia menjadi fardu kifayah bagi orang Islam yang hidup untuk mengebumikan jasad saudara Muslim yang meninggal dunia.

Ringkasnya, setiap ciptaan Allah merupakan sumber pelajaran dan memberikan hikmah yang besar buat manusia. Tidak ada satu pun yang dijadikan oleh Allah merupakan sesuatu yang sia-sia dan tidak bermanfaat. Burung gagak yang dianggap tidak menarik dari sudut fizikal dan dilihat tidak berguna pun memberikan pengajaran yang penting buat manusia.

Kesemuanya berbalik kepada diri manusia untuk menggunakan akal fikiran bagi mengambil ibrah daripada setiap kejadian alam. Ibrah daripada setiap kejadian alam akhirnya membawa manusia kepada kebesaran Allah SWT. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 190 dan 191 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya