HARI Jumaat 20 Ogos 2021 / 11 Muharam 1443 Hijrah.
Hari ini Malaysia akan melihat seorang Perdana Menteri ke-9 akan dilantik menjadi pemimpin Ulil Amri yang sinonim nya dalam sejarah Islam digelar Khalifah bagi meneruskan tugas membawa negara keluar dari krisis kesihatan dan kemelesetan ekonomi.
Sejak kes pertama direkodkan penghujung 2019 kita masih lagi belum berjaya melandaikan lekuk graf jangkitan dan kematian semakin hari memenuhi dada akhbar tempatan dan garis masa media sosial kalangan kita.
Sebagai sebuah negara Islam dan meletakkan Islam dalam Perlembagaan sudah semestinya pemilihan Perdana Menteri dipilih dengan mengikut aturan Islam dan disepakati oleh Majlis Syura Negara iaitu Majlis Raja-Raja Melayu yang menjadi kuasa tertinggi di atas Perlembagaan Malaysia.
Sehari dua ini banyak gosip liar tersebar dan berbagai cerita dan poster telah diviralkan. Kecanggihan teknologi hari ini dan kepintaran telefon rakyat Malaysia dengan prasarana yang sedang memasuki gerbang 5G menjadikan politik hari ini tidak sama landskapnya dengan gaya politik zaman dahulu.
Ramai disebut untuk menjadi calon samada dari PH atau PN termasuk bekas PM dan TPM iaitu DS Najib dan DS Dr Ahmad Zahid Hamidi. Bahkan bekas PM paling tua di dunia juga iaitu Tun Mahathir bersedia menggalas tugas tersebut yang dikira mungkin memerlukan sentuhan kali terakhirnya.
Hari ini Majlis Raja-Raja Melayu akan bersidang sekali lagi bagi menentukan siapakah calon terbaik yang akan memikul tanggungjawab tersebut.
Selepas menyelesaikan kemelut politik 17 bulan yang lalu selepas kejatuhan kerajaan PH yang ditolak oleh rakyat kerana membawa pakej pembohongan dengan menawarkan bulan bintang namun akhirnya tersungkur kerana kegagalan mereka melunaskan janji, sekali lagi ‘Payung Rakyat’ jelata akan kembali berkembang untuk melindungi cuaca panas politik Malaysia dari terus membakar perasaan dan jiwa rakyat yang sudah tertekan saban hari sehingga ramai membunuh diri kerana tidak dapat mengawal tekanan luar biasa tersebut.
Kelmarin pada Rabu 18 Ogos 2021 Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah bersepakat untuk memilih Dato Seri Ismail Sabri (DSIS) sebagai calon Perdana Menteri.
Pemilihan yang mengejutkan ini disambut dengan perasaan gembira berbaur kecewa oleh para penyokong parti termasuk rakyat yang baru sahaja meraikan kegembiraan dengan perletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.
Mereka kelihatan agak pelik dan bingung apabila melihat seakan kerajaan PN akan wujud kembali versi 2.0 sedangkan DSIS adalah watak yang turut terpalit ekoran kegagalan kerajaan tersebut.
Rakyat termasuk netizen melihat senario yang sama akan berlaku jika pelantikan Perdana Menteri yang baru akan dimenangi persaingannya oleh Ahli Parlimen Bera dari Pahang tersebut.
Banyak spekulasi wujud adakah ia satu permuafakatan bukan sahaja dalaman UMNO namun dipersetujui oleh semua parti dalam PN bagi memastikan mereka akan kekal menjadi pemerintah dan berkemungkinan akan dapat menyelamatkan diri dari dakwaan di mahkamah, wallahuallam.
Adakah ia juga strategi bekas PM7 untuk pastikan Ahli Parlimen Port Dickson yang sedang teruja untuk menduduki kerusi Perdana Menteri yang diidamkan selama ini selepas dua kali mengisi kerusi di penjara, akan gagal buat sekian kalinya ?
Semua kemungkinan boleh berlaku dan bagi penulis sebagai penganalisis semua aspek perlu difikirkan dan biarlah pembaca yang akan memilih teori manakah yang disepakati oleh mereka dalam menentukan pendirian atau menjadi pedoman mereka dalam bab politik di negara kita.
Masalah hari ini kita memerlukan seorang pemimpin yang pernah berjaya dan ada pengalaman luas sebagai pemimpin peringkat nasional dan juga di persada antarabangsa.
Kesilapan menentukan kepimpinan tertinggi negara kita akan menatijahkan gelombang kegagalan seterusnya membadai pantai kemakmuran negara kita dan akan membawa kepada perang saudara politik tanah air ke peringkat seterusnya.
Jika DSIS dipilih sudah tentu beliau yang baru sahaja 38 hari menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet pasti tidak akan mampu untuk menggalas tugas ini.
Meskipun memegang Menteri Kanan namun tempoh pengalamannya tidak akan mencukupi untuk melayakkannya menjadi Ketua bagi Menteri dan Timbalan Menteri dalam Jemaah Kabinet nanti.
Pemilihan MKT yang meletakkan namanya meskipun bukan semestinya pemilihan yang dipersetujui akar umbi, akan membawa kepada satu lagi episod hitam dalam sejarah politik negara kita.
Dunia akan melihat Malaysia seperti tidak ada calon lain yang lebih berwibawa sedangkan kita sebenarnya memiliki ramai pemimpin yang hebat namun tidak dapat ditonjolkan kerana mereka mungkin tidak pandai menari mengikut lagu dan senikata politik yang ingin didengari oleh ahli parti dan rakyat biasa.
Jika ditakdirkan DS Anwar Ibrahim dipilih pula menjadi Perdana Menteri sudah tentu ramai di kalangan rakyat Malaysia yang menjulang prinsip kesamarataan dan pemikiran liberal cidukan dari Amerika akan menjerit dan bertepuk tangan melihat kelibatnya mengangkat sumpah menjadi ketua kita.
Ia akan menambah derita rakyat seperti mencurah cuka atas luka mereka yang berjuang bermati-matian untuk mempertahankan kedudukan Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Raja-Raja Melayu selaras dengan kedudukan di dalam Perlembagaan Malaysia.
Sokongan padu DAP dan sekutu rapatnya Amanah sudah menunjukkan kepada kita belang sebenar mereka dalam soal pemerintahan berasaskan masyarakat majmuk seperti yang berlaku semasa pemerintahan PH tahun 2018 yang lalu.
Sudah tentu pisang tidak akan dibenarkan untuk berbuah dua kali dan semestinya kita yakin ia tidak dapat diterima majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam Bumiputera yang masih lagi menyimpan memori detik pahit mereka ditekan dan aset negara kita dijual sesuka hati…
Jika begitu maka kita melihat YM Tengku Razaleigh Hamzah adalah calon yang sesuai. Dengan karakternya yang tenang dan pengalaman luas serta rekod cemerlang menjadi arkitek kepada kejayaan penubuhan Petronas sudah tentu ia adalah satu pemilihan yang tepat untuk menyelesaikan kemelut yang begitu sukar dilalui oleh kita pada hari ini.
Keturunan Kerabat Istana Kelantan itu juga semestinya akan mengulangi sejarah awal Perdana Menteri pertama Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Al Haj yang juga lahir dari Istana Kedah Darul Aman yang akhirnya dijatuhkan dengan kelicikan politik Tun Mahathir Mohamad.
Ku Li juga dilihat mampu menyatukan rakyat Malaysia meskipun beliau tidak suka menonjolkan dirinya. Sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO sudah tentu beliau dipandang tinggi oleh ahli parti untuk memimpin Malaysia kali ini.
Jika tidak kerana lampu dipadam semasa pemilihan UMNO 1987 selepas dua kali kiraan undi sudah tentu sejarah akan menulis beliau adalah Presiden UMNO yang berjaya menyingkirkan Mahathir.
Namun jika beliau tidak mampu membawa tugas ini maka kita mungkin perlu sekali lagi memberi peluang kepada bekas PM 6, DS Najib Tun Razak untuk kembali mentadbir negara seperti mana yang pernah dilakukannya sebelum ini yang berjaya menaikkan ekonomi negara dan meletakkan Malaysia di kedudukan yang hebat di mata dunia.
Dengan rekod menjadi Menteri Besar paling muda serta memiliki hubungan kekeluargaan dengan Istana Pahang sudah tentu beliau adalah calon yang disukai oleh rakyat dan semua pihak akan dapat menerimanya kecuali bekas PM7 yang mungkin kurang selesa jika beliau kembali menjadi Perdana Menteri ke-9 buat kali kedua.
Namun apakan daya beliau sudah dijatuhkan hukuman. Kekejaman dendam politik menjadikan DSNR mangsa yang tidak patut berlaku pun dalam sejarah politik negara kita. Walaupun di mata rakyat beliau adalah hero mereka yang ditunggu detik kepulangannya.
Siapa pun yang dipilih mestilah mampu ‘menjinakkan’ semua pihak dan memiliki hubungan erat dengan semua parti politik tanah air.
Beliau mesti memiliki kredibiliti hebat dan latar belakang keturunan yang baik serta pengajian akademik yang tinggi serta mempunyai jaringan antarabangsa yang luas samada dengan negara Asia, Arab atau Benua Eropah.
Paling penting calon tersebut juga mestilah ada pengalaman tertinggi di Kabinet Malaysia serta menjadi pemimpin kepada parti majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam Bumiputera.
Kejayaan demi kejayaan semasa menerajui dalam Kabinet Malaysia hendaklah dijadikan ukuran untuk melihat kemampuannya bagi membawa negara keluar dari masalah demi masalah yang begitu rumit pada hari ini.
Jika mahu ditilik lagi, calon yang mahu diangkat mestilah bukan dari kalangan mereka yang gila kuasa dan mahu mengejar jawatan.
Keikhlasan dan kesungguhan dalam memperjuangkan hak-hak rakyat akan menjadi faktor utama untuk calon yang mahu dipilih menjadi Perdana Menteri ke-9 kali ini serta mampu menentang rejim lama yang masih mahu mengekalkan cengkaman kuku besinya hingga hampir menjahanamkan masa depan negara.
Calon yang mahu dipilih juga hendaklah sangat menjunjung tinggi kedudukan Islam serta meletakkan kedudukan Raja-Raja Melayu di atas pundak perjuangannya tanpa rela menggadaikan maruah dan kedaulatan Raja-Raja kita sedikitpun kepada undi dan sokongan politik mana-mana pihak.
Jika dapat dipastikan siapakah calon yang memiliki ciri-ciri tersebut maka sudah tentu Malaysia akan berjaya melepasi derita wabak pandemik ini selain akan berjaya menyatukan semua pihak dan memastikan ekonomi akan semakin meningkat dengan pesat di bawah kepimpinannya.
Semoga Allah memberi taufik dan petunjuk kepada Raja-Raja kita di dalam memastikan calon terbaik dari kalangan yang baik akan menjadi Perdana Menteri ke-9 Malaysia.
Patik dan rakyat keseluruhannya sentiasa mendoakan agar yang terbaik akan dimiliki oleh negara ini serta akan tunduk dan taat sepenuhnya kepada keputusan DYMM TUANKU sekalian demi memastikan kemelut politik ini akan berakhir dengan segera dan awan mendung langit politik negara akan segera berlalu apabila matahari kestabilan negara akan memancarkan sinarnya.
Daulat Tuanku !!!
Daulat Tuanku !!!
Daulat Tuanku !!!
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.