Hari demi hari beredar, kita memasuki bulan Zulhijah, bulan yang cukup barakah dan disyariatkan padanya ibadat haji bagi mereka yang cukup syarat dan juga disunatkan melakukan ibadat korban.
Apabila kita menyoroti kembali sejarah Islam, pensyariatan Aiduladha dan ibadat haji sangat berkait rapat dengan peristiwa yang berlaku kepada keluarga Nabi Ibrahim a.s. Antaranya pensyariatan ibadah sai di antara Safa dan Marwah yang diambil sempena peristiwa isteri baginda Nabi Ibrahim, iaitu Siti Hajar yang melambangkan kecekalan seorang wanita dalam survival keluarganya.
Demikian juga peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s yang setelah sekian lama tidak berjumpa. Kisah ini menonjolkan kepatuhan seorang hamba terhadap Penciptanya. Demikian juga penerimaan Nabi Ismail a.s tanpa sangsi terhadap tuntutan untuk menyembelihnya oleh ayahnya setelah mengetahui ia adalah perintah Allah SWT yang akhirnya membawa kepada penurunan seekor kibas yang dibawa oleh malaikat Jibrail bagi menggantikan dirinya.
Begitu juga ibadat melontar jamrah di jamaraat mengambil ibrah daripada perbuatan Nabi Ibrahim a.s melontar syaitan yang cuba menghasut baginda supaya tidak menyembelih anaknya. Hal ini melambangkan ketaatan yang tinggi seseorang hamba kepada Khaliq iaitu Penciptanya. Pengorbanan yang ditonjolkan oleh keluarga Nabi Ibrahim a.s menggambarkan pengorbanan yang tinggi dalam sejarah umat manusia sehingga dijadikan peristiwa-peristiwa tersebut sebagai sebahagian ibadat yang disyariatkan buat umat Islam.
Ibadah haji pada tahun ini hanya dilaksanakan oleh sebilangan penduduk warganegara Arab Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada di sana. Pelaksanaan ibadah haji adalah tertakluk mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Arab Saudi. Ketetapan ini dibuat kerana berlaku peningkatan penularan Covid-19 yang sangat ketara di seluruh dunia termasuklah Malaysia.
Malaysia kini berhadapan dengan jumlah kes harian Covid-19 yang meningkat demi hari hari. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur. Kini di beberapa kawasan lain di Sabah, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Pahang hingga 22 Julai ini.
TAWAKAL
Hal ini bermakna umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana PKP dan PKPD. Meskipun demikian, Hari Raya Aidiladha tetap disambut dengan penuh kesyukuran dalam suasana sederhana bersama keluarga terdekat di rumah. Biarpun kerinduan terhadap ahli keluarga tercinta di kampung halaman kian memuncak dan anak-anak, cucu-cucu juga sudah rindu untuk bertemu dengan datuk dan nenek mereka, namun kepatuhan terhadap SOP tetap diutamakan demi memelihara maslahah yang lebih besar iaitu menjaga nyawa.
Dengan keterbatasan pergerakan dan ruang aktiviti sosial yang terhad, banyak mengajar kita erti pengorbanan dan kesabaran sebenar. Inilah antara ibrah terbesar yang dapat dipelajari daripada sejarah Nabi Ibrahim a.s yang memupuk sikap sabar semasa menempuh ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Justeru, kita hendaklah mendidik hati untuk terus bersabar dalam menempuh ujian berikutan penularan Covid-19 di dalam negara. Setiap anggota masyarakat memainkan peranan penting dalam mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan kekal berada di rumah bagi membendung jangkitan penularan daripada terus berleluasa. Namun hanya kepada Allah SWT juga kita meletakkan tawakkal untuk meneruskan kehidupan yang semakin mencabar ini. Meskipun kadangkala hadir perasaan ketakutan, kesunyian dan tekanan dengan masa depan yang belum pasti.
Selain itu, antara ibrah lain yang dapat diambil adalah memupuk sikap prihatin dalam hidup bermasyarakat. PKP dan PKPD yang dilaksanakan telah memberikan impak kepada golongan berpendapatan rendah khususnya dalam aspek kewangan. Sehinggakan terdapat sesetengah keluarga yang mengibarkan bendera putih kerana terputus bekalan makanan. Menyedari hal ini, banyak pihak menghulurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan khususnya yang terkesan akibat Covid-19. Ini mencerminkan keprihatinan rakyat dalam hidup bermasyarakat, iaitu saling bekerjasama antara satu sama lain untuk meringankan beban sekali gus melambangkan keharmonian rakyat secara keseluruhannya.
Dengan mengambil ibrah daripada falsafah pengorbanan, kecekalan, ketaatan dan ketabahan yang ditempuhi oleh keluarga Nabi Ibrahim a.s, mudah-mudahan kita terus cekal dan tabah dalam menghadapi ujian yang berlaku di era pandemik ini. Ketahuilah setiap ujian yang berlaku ini adalah tidak lain dan tidak bukan bahawa Allah SWT ingin kita kembali pada-Nya sebagaimana firman Allah SWT: “Dan demi sesungguhnya, kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka kembali bertaubat.” (Surah Sajadah ayat 21)
Dr. Syed Mohd. Jeffri Syed Jaafar dan Dr. Norhidayah Pauzi ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.