fbpx

Elak wujud generasi buta huruf

MURID tidak menyertai sesi pembelajaran dalam talian kerana pelbagai sebab termasuk tiada liputan internet. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, satu pendedahan dibuat bahawa terdapat sebuah sekolah rendah di Kuantan, Pahang yang mencatatkan kehadiran murid kurang daripada 30 peratus apabila sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan.

Murid tidak menyertai sesi pembelajaran dalam talian kerana pelbagai sebab termasuk tiada liputan internet, tidak mempunyai peralatan sesuai seperti telefon bimbit dan komputer riba serta tidak mendapat galakan daripada ibu bapa.

Bagi anak-anak berusia di bawah 12 tahun, sememangnya ibu bapa atau penjaga perlu memainkan peranan untuk memastikan mereka hadir kelas mengikut jadual, menyiapkan tugasan sekolah diberikan guru yang memerlukan komitmen untuk menulis, membaca dan mengira.

Mereka juga perlu diajar kemahiran penggunaan telefon bimbit dan komputer riba. Ini kerana kebanyakan kanak-kanak ini belum pernah didedahkan dengan alatan serta sistem asas berkaitan. 

Malah kita sedia maklum sifat anak-anak kecil, mereka lebih cenderung untuk bermain dan mudah bosan. Jika tiada pengawasan dan bahan yang disediakan oleh PdPR tidak begitu menarik, maka murid tidak akan melaksanakan apa-apa tugasan yang diberikan oleh guru.

Bagi ibu bapa dan penjaga yang penuh dengan komitmen lain seperti bekerja dari rumah mahupun bertugas di tempat kerja, ia menambahkan kesukaran pelaksanaan PdPR. 

Walaupun ketika ini kerajaan berusaha membantu menjayakan PdPR dengan pemberian komputer riba percuma serta meningkatkan capaian internet di setiap kawasan, namun kekangan lain masih berlaku. 

Kesimpulan yang boleh dibuat, pembelajaran sekolah anak-anak harus diteruskan walau apa keadaan berlaku bagi memastikan tiada murid ketinggalan dalam pelajaran. 

Ini kerana pendidikan adalah elemen penting dalam meningkatkan status sesebuah negara. Sumber manusia berkualiti yang dapat menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi terkini akan memastikan Malaysia berjaya mengejar status negara maju.

MAZITA MOKHTAR, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

 

BERITA BERKAITAN