Sekat penghinaan terhadap institusi beraja - Utusan Malaysia

Sekat penghinaan terhadap institusi beraja

Institusi istana adalah salah satu daripada tradisi yang terus dipertahankan sebagai payung kestabilan dan keadilan sosial di negara kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM budaya politik Melayu, penerimaan terhadap institusi beraja secara turun-temurun adalah amalan biasa. Tahu beradab sopan di depan raja menandakan asuhan yang baik di samping perlu arif peraturan tatatertib meliputi penggunaan perkataan tertentu mengenai diri raja dan kaum kerabatnya.

Sopan santun dan tatacara yang wujud hasil daripada hubungan rapat antara rakyat dan institusi istana menjadi sebahagian daripada cara hidup Melayu.

Kecenderungan orang Melayu terhadap sistem politik bersifat feudal tidaklah merosakkan. Kecenderungan itu sebenarnya mampu melahirkan masyarakat yang patuh pada undang-undang.

Meskipun institusi beraja tidak lagi berkuasa mutlak sepertimana era kesultanan Melayu, namun kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan tetap terpelihara.

Institusi istana adalah salah satu daripada tradisi yang terus dipertahankan sebagai payung kestabilan dan keadilan sosial di negara kita.

Bagaimanapun, kini terdapat beberapa pihak yang cuba menanam sentimen kebencian terhadap institusi istana. Sentimen terhadap institusi istana ditanam dalam pelbagai bentuk.

Isu terbaharu melibatkan seorang aktivis sebuah parti politik yang memuat naik rakaman video menghina Yang di-Pertuan Agong kerana tidak berpuas hati berikutan peningkatan kes jangkitan pandemik Covid-19.

Dalam videonya, dia cuba membuktikan kepada umum bahawa Seri Paduka tidak mengambil sebarang tindakan dalam mendepani penularan pandemik berkenaan.

Penghinaan terhadap institusi istana turut dilakukan oleh seorang kartunis secara berulang kali. Terbaru, dia sekali lagi memuat naik karya bersifat menyindir dengan ayat-ayat bertujuan meracuni pemikiran rakyat agar bangkit memberontak terhadap institusi istana.

Sekiranya golongan ini tidak dibendung, dikhuatiri perbuatan itu bakal menjadi kebiasaan dan akan ada rakyat lain yang melakukan penghinaan sekali gus menghilangkan rasa hormat terhadap institusi istana. Hilangnya rasa hormat terhadap institusi beraja mampu membangkitkan gerakan penentangan.

Justeru, bagi membendung gerakan ini, ilmu kenegaraan berkait kesedaran dan kepentingan memelihara institusi beraja harus diperkasakan dalam sistem pendidikan negara.

Rakyat harus disedarkan bahawa institusi istana merupakan penerusan tradisi daripada era kesultanan Melayu yang diperjuangkan untuk dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu selepas kegagalan Malayan Union.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan segala perkara yang terkandung di dalamnya boleh diubah ketika darurat kecuali beberapa perkara.

Baginda adalah payung dalam menjaga kepentingan agama Islam, bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera di negara kita.

Perkara-perkara tersebut tidak boleh dipadam dalam Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan perkenan daripada Majlis Raja-Raja sekiranya mahu dipinda.

Justeru, diingatkan jangan ‘dirempuh pintu istana, jangan sampai carik busana raja.’ Sama-sama kita pertahankan dan pelihara institusi istana dengan darah dan keringat demi kestabilan negara, bangsa dan agama.

DR. ILYAS ABDULLAH
Pensyarah Kanan Sains Politik
UiTM Pahang, Kampus Raub

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.