Kita masih gagal hapus ali baba - Utusan Malaysia

Kita masih gagal hapus ali baba

SPRM adalah antara agensi yang giat membanteras amalan ali baba di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

APRIL lalu, kita dikejutkan dengan penangkapan sindiket perolehan projek kerajaan yang didalangi oleh seorang ketua bergelar ‘datuk’ dan dibantu oleh penjawat awam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita beberapa aset mewah termasuk banglo, rumah kedai, pejabat, kereta dan wang tunai bernilai puluhan juta ringgit.

Dikatakan modus operandi kumpulan kartel projek ini adalah dengan memegang 150 lesen syarikat di mana setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji antara RM5,000 hingga RM8,000.

Sekali pandang, kegiatan ini lebih kepada manipulasi sistem perolehan dengan memasukkan sebanyak mungkin syarikat bidaan yang di belakangnya ialah pemilik sama.

Lebih banyak syarikat yang memasuki bidaan, semakin tinggi peluang untuk berjaya.

Walaupun mereka yang terlibat telah ditahan dan disiasat SPRM, isu ini tidak akan berkesudahan selagi budaya ali baba iaitu membenarkan lesen dan nama digunakan oleh pihak lain dengan tujuan mengambil laba cara singkat dan mudah masih berterusan.

Umum mengetahui amalan ini berleluasa melibatkan projek kerajaan dan swasta. Lebih merumitkan, kegiatan licik ini memenuhi semua kriteria dan dokumentasi perolehan yang dikehendaki sehingga sukar untuk membuktikan perbuatan tidak bertanggungjawab ini.

Antara tumpuan adalah membanteras kegiatan ini dalam industri pembinaan. Sudah sampai masanya industri itu ditransformasikan dan pemutihan syarikat dilakukan secara agresif.

Perlu dikenal pasti syarikat ali baba yang telah merosakkan ekosistem industri pembinaan. Tiada gunanya bilangan syarikat terlalu banyak tetapi kualiti yang ada cukup mendukacitakan.

Kegiatan ali baba ini bukanlah isu baharu dan sering kali dibangkitkan, namun tidak banyak perubahan yang berlaku.

Selagi kegiatan ini berleluasa, maka industri pembinaan negara akan berada di takuk lama dan tidak akan dapat bersaing di peringkat antarabangsa buat selama-lamanya.

AZHA ABDULLAH
Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya