MUKADIMAH
MENJELANG 2030, sebanyak 23 peratus daripada populasi penduduk Malaysia terdiri daripada golongan belia dan anak-anak muda berumur 15 hingga 30 tahun. Berdasarkan kepada peratusan ini, golongan belia merupakan kumpulan majoriti yang akan menjadi pemegang taruh penting dalam menentukan dan mencorakkan kepimpinan negara pada masa hadapan.
Bagaimanapun, masa depan golongan ini semakin mencabar dalam pasca pandemik Covid-19 apatah lagi untuk bersaing di peringkat global. Namun, situasi ini tidak diambil ringan kerajaan dengan memberikan ‘tongkat’ kepada golongan itu dalam membantu usaha mereka menjalani kehidupan.
Pada masa sama, Dasar Belia Malaysia (DBM) menjadi panduan bagi meningkatkan keterlibatan belia dalam inisiatif di peringkat negara dan antarabangsa serta bakat mereka yang mempunyai kepemimpinan turut digilap menerusi Felo Perdana dan Felo Korporat yang telah berjaya melahirkan 615 Felo Perdana (2013-2020) dan 62 Felo Korporat (2019-2020).
“Belia diberi pelbagai platform dalam merealisasikan aspirasi mereka, diberi ruang untuk mencadangkan polisi kepada kerajaan melalui penyertaan dalam Felo Perdana, suara belia juga dibawa melalui usul dalam Majlis Perundangan Belia Negara selain diberi peluang sebagai Penasihat Muda kepada Perdana Menteri,” kata Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, DATUK DR. WASITAH MOHD. YUSOF ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM di pejabat beliau di Putrajaya, baru-baru ini.
UTUSAN: Dalam pasca pandemik Covid-19, ramai golongan belia menghadapi kesukaran dalam menjalani kehidupan. Di manakah kedudukan belia negara pada masa ini?
WASITAH: Serangan wabak Covid-19 menyebabkan ekonomi negara mahupun dunia terjejas dan mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan sehingga memberi defisit kepada potensi yang ada pada belia.
Berdasarkan Laporan Tenaga Buruh, Malaysia pada Ogos tahun lalu daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan bilangan penganggur belia berumur 15 hingga 30 tahun pada Jun 2020 adalah seramai 581,700 orang dengan kadar pengangguran 9.7 peratus. Pada Julai 2020, bilangan penganggur belia menurun kepada 544,500 orang tetapi kadar pengangguran kekal pada 9.7 peratus. Pada Ogos 2020, bilangan penganggur belia mencatatkan 502,300 orang dengan kadar pengangguran 8.9 peratus iaitu menunjukkan penurunan sebanyak 0.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Belia Malaysia adalah golongan terbesar yang menerima kesan pandemik kerana berdasarkan statistik penduduk berumur 15 hingga 40 tahun pada tahun 2019, golongan belia ini menyumbang kepada 46.8 peratus atau 15.25 juta iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.
Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh IYRES, 83 peratus responden menyatakan mereka terkesan sepanjang tempoh pandemik dan 17 peratus pula menyatakan mereka tidak terkesan. Kebanyakan mereka ini merupakan individu yang bakal, baharu dan sedang bertatih dalam pendidikan tinggi, pekerjaan atau perniagaan dalam kehidupan bagi memastikan kelangsungan masa depan.
Belia yang berniaga terutamanya dikatakan paling terkesan dan menyatakan perniagaan mereka kini seperti nyawa-nyawa ikan dan ada juga gulung tikar.
Bagaimana kerajaan membantu golongan ini yang merupakan kumpulan masa depan negara?
Kerajaan sudah pun melaksanakan pelbagai inisiatif dan tindakan progresif melalui beberapa inisiatif Pakej Prihatin di bawah Pelan Rangsangan Ekonomi 2020 bagi membantu golongan yang terkesan malahan menstabilkan ekonomi negara.
Kesan yang memberi impak kepada belia adalah masalah kewangan, pendapatan terjejas, menyesuaikan situasi bekerja dari rumah, sukar mendapatkan peluang pekerjaan, berlakunya masalah kesihatan mental seperti menghadapi tekanan, kemurungan dan kebimbangan, kesukaran akses kepada pendidikan serta lain-lain.
Kegusaran ini juga diterjemahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian atau lebih dikenali sebagai Belia Resah. Belia Resah ini meliputi lima kumpulan belia iaitu (a) belia yang sedang bekerja namun khuatir berdepan risiko dibuang kerja, (b) belia yang berada di institusi pengajian tinggi yang akan memasuki alam pekerjaan, (c) belia dalam peringkat awal keusahawanan terutamanya industri kecil dan sederhana (PKS) yang tertekan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), (d) belia yang terlibat di dalam ekonomi gig yang disifatkan berisiko kerana tiada perlindungan kesihatan sosial dan (e) belia NEET yang tidak bekerja, tidak berpendidikan dan tiada kemahiran.
Apakah inisiatif-inisiatif yang disediakan kerajaan bagi menangani isu belia resah ini?
Sebagai sebuah kerajaan prihatin dengan masalah serta keluh kesah yang dihadapi rakyat khususnya belia ketika berhadapan pandemik, kerajaan telah mengumumkan empat inisiatif iaitu PENJANA, PEMERKASA, PERMAI dan PEMERKASA PLUS untuk membantu rakyat.
Empat inisiatif ini diterajui Kementerian Kewangan dan terdapat beberapa insentif yang membantu golongan belia. Di bawah PENJANA , kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk subsidi upah, pengambilan pekerja berjumlah RM1.5 bilion, peningkatan program kemahiran bagi golongan menganggur berjumlah RM2 bilion dan insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM1,000 sebulan (untuk tempoh tiga bulan) atau RM800 sebulan (untuk tempoh enam bulan).
Di bawah PEMERKASA pula, inisiatif e-Belia ditambah baik buat kali kedua bagi menggalakkan budaya transaksi tanpa tunai dalam menjalankan urus niaga dalam kalangan belia, khususnya mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar pendidikan tinggi sepenuh masa. Program tersebut ditambah baik dengan meningkatkan nilai kredit daripada RM100 kepada RM150 yang akan memanfaatkan dua juta belia dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300 juta.
Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) pula diperluas dengan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta dan dijangka memberi manfaat kepada 1,800 orang belia dengan peluang latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus yang disertai. Penambahan peruntukan terhadap Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera dijangka dapat melahirkan 250 usahawan belia bumiputera baharu.
Program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia. Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-BELIA di bawah kelolaan Bank Simpanan Nasional (BSN) turut disediakan dengan kadar serendah tiga peratus.
Di bawah PERMAI pula, terdapat lima daripada 22 inisiatif adalah secara langsung memberi manfaat kepada golongan belia antaranya melanjutkan tempoh capaian internet percuma, melanjutkan tempoh moratorium bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mempercepatkan pelaksanaan Skim Mikrokredit dan menyokong serta merancakkan perniagaan dalam talian, menjadual semula dan melanjutkan tempoh moratorium bagi pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sewaan premis Mara.
Inisiatif terbaharu kerajaan di bawah PEMERKASA Plus pula yang berkait secara langsung dengan belia ialah melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga 2022, tambahan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada belia berkeluarga (RM500 dan RM300) dan belia bujang (RM100); pemberian moratorium bersasar khususnya kepada belia daripada golongan B40 selama tiga bulan dan bayaran balik sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.
Selain itu, penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan oleh Mara sebanyak 30 peratus selama tiga bulan, pelanjutan program subsidi upah selama satu bulan, pemberian Geran Khas Prihatin tambahan sebanyak RM500 yang memanfaatkan hampir satu juta PKS termasuklah PKS belia.
Pembiayaan mikro kredit serendah tiga peratus sebagai modal kerja untuk belia yang berniaga kecil-kecilan, penjaja jalanan dan perusahaan mikro juga diberikan termasuk fasiliti kemudahan bantuan dan pemulihan bersasar kepada PKS dengan pinjaman serendah 3.5 peratus.
Adakah sebarang inisiatif khusus buat para belia yang sedang mencari pekerjaan atau berminat dalam penciptaan pekerjaan?
Pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan kerajaan melalui PENJANA dengan memperuntukkan hampir RM2 billion bagi program peningkatan kemahiran bagi mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia.
Malah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencetuskan pelaksanaan inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian (KRK) bagi menangani isu belia resah ini. Konsep jaminan pekerjaan atau place and train melalui Program Skim Perantisan Nasional (SPN) bagi memberi pengalaman bekerja oleh syarikat atau organisasi yang terlibat dan membantu melonjakkan kebolehpasaran belia pasca Covid-19. Manfaat yang akan diperoleh belia jika mengikuti SPN adalah:
1. Memperoleh peluang latihan bersama majikan melalui program perantisan sebelum memasuki alam pekerjaan.
2. Platform menimba ilmu dan pengalaman serta mempraktikkannya di alam pekerjaan sebenar.
3. Meningkatkan kebolehpasaran melalui latihan berbentuk kemahiran, soft skills dan praktikal yang mana dapat meningkatkan kemampuan intelektual, kemahiran, peribadi dan spiritual belia.
4. Peluang mendapatkan pekerjaan melalui program ini untuk diserap terus bekerja dengan majikan.
SPN ini adalah terbuka kepada semua belia Malaysia berumur antara 18 hingga 30 tahun. Maklumat lanjut berkaitan SPN boleh didapati di http://perantisan.kbs.gov.my.
Selain itu, program myPRENEUR (Malaysia Youth Entrepreneur) merupakan inisiatif kolaborasi rentas kementerian antara KBS dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi membantu pembudayaan keusahawanan dan menggalakkan penciptaan kerjaya melalui bidang keusahawanan. Kerjasama strategik ini sedang berlangsung dengan program berbentuk Business Consultation melalui program berikut:
a. Program Pembangunan Usahawan Belia – Jumper 2.0 @APBMBG. Menerusi program Jumper 2.0 @APBMBG, bekas peserta latihan keusahawanan APBMBG akan diberi pendedahan, kefahaman dan pengetahuan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi.
b. Program Pembangunan TVETpreneur ILKBS melalui Jumper Startup @ILKBS. Usahawan TVET ILKBS daripada program makerspace Mybizhub@ILKBS dan program Inkubator @ILKBS yang telah menjalankan perniagaan boleh dibimbing dengan konsep mentor mentee selain menjalani latihan sangkut di syarikat selama lapan bulan dan setiap peserta diberi elaun sebanyak RM 1,200 sebulan. Program ini bermula Februari hingga September tahun ini.
Bagaimanakah cara jika belia ingin turut terlibat sama dalam pelaksanaan sesuatu inisiatif?
Kesukarelawanan merupakan salah satu kaedahnya. Aktiviti kesukarelawanan merupakan suatu skop yang luas, di mana ia melibatkan penyertaan aktif belia dan komuniti dalam pelbagai bidang kehidupan, bantuan dan khidmat sokongan dalam konteks pembangunan komuniti, pendidikan, kesihatan, sosio-ekonomi, pertanian, alam sekitar, bencana, kebajikan, perpaduan dan lain-lain.
Kesukarelawanan bukan sekadar suatu pengalaman pembelajaran, malah ia merupakan suatu proses meningkatkan kesedaran dan keprihatinan serta melahirkan rasa kebertanggungjawaban dalam kalangan belia tentang kepentingan penglibatan juga sumbangan mereka secara bersepadu dalam aktiviti kemasyarakatan untuk pembangunan bangsa dan negara.
Antara contoh program kesukarelawanan yang memberi impak kepada komuniti dan negara adalah Malaysia Vaccine Supoort Volunteers (MyVac) iaitu satu inisiatif yang menunjukkan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat yang mana pelbagai kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilibatkan bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mampu dilaksanakan dengan berkesan dalam usaha membendung serta menamatkan pandemik di Malaysia.
Sukarelawan MyVac membantu frontliners dalam urusan penyampaian vaksin kepada penerima dan menjadi pemudah cara urusan penyampaian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negeri dan daerah yang diterajui KBS dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Persekutuan Pengakap Malaysia, dan Persatuan Bulan Sabit Merah.
Apakah harapan dan mesej Datuk kepada seluruh belia di luar sana?
Harapan saya, para belia perlu sentiasa perbaiki diri, ikuti program peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling) dan program silang kemahiran (cross-skilling) untuk memastikan pengetahuan dan kemahiran yang ada sentiasa relevan.
Tingkatkan tahap profesionalisme melalui penghayatan dan pemahaman dasar-dasar negara. Ambil peluang yang ada, libatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan bagi meningkatkan potensi diri.
Saya berharap para belia Malaysia akan terus bangkit dan berjaya untuk mengemudi masa depan ke arah yang lebih berdaya maju hasil dari ruang yang disediakan menerusi pelbagai bentuk Pakej Prihatin Belia.