Semua benda pun nak gurau! - Utusan Malaysia

Semua benda pun nak gurau!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mula-mula mere­ka so­kong saya. Lama-lama mereka kutuk saya. Ada kawan sekolah saya memuat naik status di WhatsApp menyatakan saya ini sekarang macam minta ‘kaki’ di muka. Mereka tiba-tiba berubah fikiran. Mengatakan tindakan saya membesarkan perkara ‘rogol’ ini keterlaluan.”
Itu kata Nurain Husniza Saiful Nizam kepada saya kelmarin. Gadis berusia 17 tahun itu baru-baru ini mendakwa seorang guru lelaki telah mengalakkan pelajar ‘merogol’ dalam satu sesi pembelajaran di sekolahnya. Ekoran itu, dia sudah membuat laporan polis. Dan setelah berita ini heboh dalam media sosial, ramai juga yang ‘menghentam’ gadis ini kerana dikata tidak tahan dan tidak tahu ‘bergurau’ dan meminta isu itu tidak payah lah dipanjangkan lagi.
Ramai yang menuduhnya mahu publisiti murahan. Mahu glamor. Ambil duit. Macam biasa lah di negara ini yang menentang sesuatu keburukan atau jenayah akan dikutuk, yang melakukan kesalahan atau keburukan itu pula dijulang ramai. Tak kan tak sedar?
Yang paling sedih, kata Ain, bila gambarnya tersiar dalam media sosial bercakap mengenai perkara itu, ada netizen yang memberi komen yang lucah-lucah juga. Paling boleh diingat – Budak macam ini memang minta kena rogol.
Saya juga membaca komen ceritanya dalam laman Facebook. Ramai lelaki yang meninggalkan komen berbau lucah. Dalam bulan Ramadan ini pun, otak masih tidak boleh disucikan dengan hal-hal yang baik.
Persoalannnya, sudah kenapa dengan pemikiran segelintir orang lelaki ini? Apa perasaan mereka pula bila gurauan kasar sebegitu dilontarkan pada adik perempuan, kakak atau emak sendiri? Marah bukan? Kalau tak ada perasaan apa-apa, lebih baik terjun sungai.
Menganggap isu rogol dan bercakap hal-hal lucah adalah satu gurauan, ia satu penyakit. Ia juga seolah cuba menghalalkan cara.
Isu yang ditekankan di sini adalah ‘gurauan kasar itu. Bukan kita mahu kutuk atau menyalahkan golongan guru. Semua orang pun tahu jasa dan sumbangan guru. Guru adalah golongan yang dimuliakan. Agama kita pun mengajar kita begitu.
Tidak kiralah sesiapa pun yang mengeluarkan kata-kata – merogol gadis bawah umur tidak boleh, rogol lah yang bukan bawah umur, menganggap ini satu kenyataan yang biasa – ia sepatutnya tidak keluar daripada mulut sesiapa pun, bukan dari mulut guru, doktor, penghantar makanan, kerani atau sesiapa pun.
Ain memberitahu saya, selepas isu itu disuarakan olehnya, ramai gadis sebayanya mengadu kepadanya sering menjadi mangsa gangguan seksual. Tapi mereka memilih untuk diam.
Saya percaya lebih ramai mangsa yang mengambil pendekatan mendiamkan diri, rimas, takut dan marah. Tanpa mengetahui itu satu jenayah yang boleh dibawa ke muka pengadilan. Gangguan seksual boleh ditakrifkan sebagai apa-apa perbuatan berunsur seksual yang tidak disenangi mangsa.
Ya lah, ada lelaki yang kalau satu hari dia tidak bercakap lucah, atau memberi gangguan seksual kepada perempuan di sekelilingnya atau perempuan yang tidak dikenali dalam media sosial, dia rasa hidupnya tidak keruan dan tidak sempurna pada hari itu. Ada yang menyalahgunakan akaun laman sosial untuk tujuan ini. Menghantar komen lucah dan mesej pada mana-mana wanita yang dikenali atau tidak dikenali dengan menggunakan akaun sendiri atau palsu. Macam tiada kerja lain pula dia.
Ada juga melakukannya di tempat kerja. Menyentuh dan bercakap entah apa-apa itu, kononnya kalau dimarah cuma bergurau.
Dan mungkin juga lelaki ini berasakan mereka cukup nampak ‘bijak’ dan ‘dihormati’ wanita apa­bila bercakap hal-hal lucah dan bukan-bukan, sedang­kan mereka ini hanya meren­dahkan harga diri sendiri dan membuatkan golongan wanita marah dan meluat.
Ramai menganggap isu gurauan lucah ini remeh. Yalah, semua perkara pun boleh kita pandang remeh kecuali jika ia kena pada batang hidung sendiri. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.