KEMELUT antara parti-parti politik yang mendukung kerajaan yang memerintah sekarang nampak seperti tidak ada kesudahan. Walaupun ada yang yakin hanya pilihan raya umum mampu menghentikan segala kekalutan ini, sebenarnya ia bukan satu jaminan.
Berdasarkan senario sekarang, jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat ini rasanya tidak akan ada satu parti pun yang mampu berdiri sendiri untuk membentuk kerajaan. Parti-parti yang bertanding perlu membentuk pakatan yang akhirnya sekali lagi akan menghasilkan kerajaan yang lemah yang mudah diperkotak-katikkan oleh pemain-pemain politik.
Situasi yang berlaku sekarang adalah contoh terbaik timbulnya kekalutan politik disebabkan tidak ada satu parti yang dominan selepas pilihan raya. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhasil apabila berlaku perpecahan dalam PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang turut menghancurkan Pakatan Harapan (PH). Tumbangnya kerajaan PH kerana Bersatu tidak lagi menyokong pakatan itu dan terdapat sekelompok wakil rakyat PKR yang menyeberang jambatan menyokong Bersatu.
Bersatu bergabung dengan UMNO dan Pas membentuk kerajaan PN yang kini baru berusia setahun lebih. Dalam tempoh sesingkat itu, sudah ada bait-bait perpecahan apabila timbul rasa tidak puas hati terutama berkaitan agihan jawatan dalam Kabinet hingga membawa kepada ugut mengugut dan ancam mengancam.
Percakaran antara UMNO-Pas dan UMNO-Bersatu tentunya bukan sesuatu yang elok untuk kerajaan PN. Malah UMNO mengugut hanya akan menyokong PN sehingga Ogos sahaja. Pas yang kini sudah tahu nikmatnya menduduki kerusi kerajaan Persekutuan sedia menalakkan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dan terus beristiqamah bersama Bersatu mempertahankan PN bersama-sama dengan wakil rakyat UMNO yang setia kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Itu belum mengambil kira tindakan wakil rakyat menyeberang ke parti lain atas pelbagai sebab yang sesetengahnya kelihatan tidak logik. Tetapi bagi para pemain politik itulah seninya dalam politik. Istilah tidak ada kawan dan lawan yang kekal dijaja untuk menjustifikasikan tindakan tersebut.
Dalam keadaan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang tidak tahu bila penghujungnya, dengan ramai rakyat hilang kerja disebabkan wabak itu, pengangguran meningkat dan ekonomi terpaksa bergantung kepada duit dari tabung, kemelut yang berlaku dalam politik negara ketika ini amat memualkan.
Rakyat letih dengan permainan pemimpin dan parti politik ini yang merasakan masa depan negara berada dalam tangan mereka. Pada masa ini politik dilihat mengatasi segala-galanya. Malah Covid-19 yang ganas yang telah meragut lebih 1,000 nyawa itu pun tenggelam dek kerana hebatnya politik Malaysia.
Mungkin kerana geram dengan situasi politik ketika ini, seorang bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang pernah berjasa kepada negara yang pernah terlibat menggubal dasar-dasar penting untuk rakyat bertanya tidak bolehkah negara kita ini ditadbir tanpa kehadiran para pemimpin politik yang memeningkan kepala ini?
Kenapa pertanyaan itu muncul dari mulut seorang bekas pentadbir yang lebih separuh daripada hayatnya dikorbankan untuk negara? Sudah tentu jawapannya ialah mereka sudah penat melihat drama demi drama dalam politik negara kita pada masa ini. Pandemik politik ini seperti tidak ada penawarnya.
Realitinya bolehkah sesebuah negara ditadbir tanpa kehadiran parti politik atau lebih spesifik lagi tanpa orang politik. Kalau dilihat kepada intipati sistem demokrasi, idea memilih dan mewujudkan pemimpin (ahli politik) adalah untuk memerintah. Tetapi seperti yang dibangkitkan oleh pesara PTD tadi, jika pemimpin itu hanya menjadikan rakyat dan sistem semakin serabut adakah kita benar-benar memerlukan ahli politik?
Pada Januari 2017, Ireland Utara tidak ada kepimpinan politik apabila Timbalan Perdana Menteri Pertamanya, Martin McGuinness meletakkan jawatan ekoran tidak berpuas hati dengan skandal tenaga. Ketiadaan kepemimpinan politik itu tidak pula menjejaskan negara itu, malah perkhidmatan awamnya tidak runtuh dan rakyat dapat menjalankan perniagaan harian mereka yang normal.
Situasi itu mungkin nampak janggal dan sesuatu di luar daripada kebiasaan, tetapi ia mencetuskan tanggapan apa gunanya ada parti dan orang politik jika tanpa mereka pun segala urusan berjalan lancar.
Jerman juga satu ketika pada hujung September 2017 tidak mempunyai kerajaan memerintah apabila pilihan raya persekutuannya yang tidak mendapat keputusan yang menyakinkan.
Pada 2010-11 Belgium menjadi antara negara mencatatkan tempoh masa tanpa kerajaan demokrasi moden agak panjang iaitu selama 589 hari ekoran perbalahan antara dua pemimpin politik Flemish dan Walloon. Sepanyol juga pernah berada dalam posisi yang sama apabila menghabiskan 10 bulan pertama pada 2016 tanpa kerajaan. Situasi itu hanya berakhir apabila parti sosialis di pihak pembangkang mengundi untuk membenarkan konservatif membentuk kerajaan minoriti. Di Eropah sahaja kita boleh temukan banyak contoh kedudukan negara tanpa parti politik dan kerajaan.
Makna kata, situasi negara tanpa parti dan pemimpin politik boleh berlaku dan pernah berlaku. Tetapi bukan itu yang kita harapkan akan berlaku di Malaysia, kerana di sebalik segala kelam-kabut, lompat-lompat, pancing-memancing dan ugut mengugut, satu benda yang baik ialah rakyat masih percaya kepada sistem demokrasi dan sistem pilihan raya di negara ini. Walaupun mereka marah, geram, bosan dan sakit hati dengan para pemain politik yang sering mempersendakan dan mempermainkan sokongan yang diberikan tetapi jika berlaku pilihan raya rakyat tidak pernah berbelah bahagi untuk turun mengundi. Cuma, suasana politik sekarang ini cukup mengecewakan.
Politik negara kelihatan seperti serba serbi tidak kena. Kerajaan tidak kuat, pakatan yang rapuh, pemimpin bebas lompat parti, ugut mengugut, gila kuasa dan lebih mengecewakan pemimpin yang berhadapan dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa masih mengangkat diri sebagai wira. Para pemimpin kita tentu cukup bijak untuk menyedari perkara ini.
Jika situasi seperti ini tidak berubah mungkinkah satu hari nanti rakyat tidak lagi akan keluar mengundi untuk memilih pemimpin yang akan menjadikan negara ini tanpa pemimpin politik? Tanpa parti dan orang politik adakah negara kita akan aman? – Mingguan Malaysia










