Dilema menteri UMNO - Utusan Malaysia

Dilema menteri UMNO

ISMAIL Sabri Yaakob (tiga dari kanan), Khairy Jamaluddin (kiri) dan Adham Baba (kanan) cukup perform mengendalikan isu pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN “Kabinet adalah kerajaan” dan “kerajaan adalah Kabinet” adalah benar.

Allahyarham Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Tanah Melayu semasa menulis untuk orang awam pada tahun 1971 berkata: “Kabinet adalah badan penggubal dasar tertinggi di negara ini, menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.”

Kabinet adalah majlis kerajaan tertinggi yang boleh mengubah atau mencorakkan kehidupan rakyat.

Jadi, kenapa mahu runtuhkan kerajaan yang telah UMNO sendiri bina? Kalau tidak selari, perbetulkan dalam forum yang tepat. Mengapa UMNO mahu bentuk jajaran baharu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, sedangkan matlamat asal pembentukan kerajaan tempoh hari sebab sepakat menolak mereka?

Dua pemimpin utama UMNO, presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ‘bossku’, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akur keperluan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berusia 22 bulan pada Februari 2020.

Pada 7 Mac selepas PH tumbang, Zahid ketika berucap di Kompleks UMNO Bagan Datuk menarik perhatian bahawa jumlah ahli Parlimen yang menyokong Perikatan Nasional (PN) melebihi jumlah asal selepas yakin dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“PN wajib menguasai majoriti di Parlimen, bukan dengan jumlah ahli Parlimen sedia ada sahaja, tetapi usaha mesti dilakukan untuk perkukuhkan PN dengan sokongan ahli-ahli Parlimen yang mahu menyertai kerajaan, ‘horse trading’ sedang rancak dijalankan oleh pihak lawan (PH),” katanya.

Begitu juga Najib yang sanggup menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerana niat hendak menyekat Anwar dan DAP. Yang tidak tandatangan hanyalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Hakikatnya tidak ada kelibat menteri UMNO dalam Kabinet hari ini kalau UMNO tidak setuju. Untuk itu, barulah kerajaan PH tumbang. Zahid dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bincang perkara ini. Selepas pemukiman (retreat) UMNO-Pas di Janda Baik pada Februari tahun lepas, muktamadkannya.

PERFORM

SHAMSUL ANUAR NASARAH
REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

Inilah dilema menteri-menteri UMNO yang berada dalam Kabinet Muhyiddin. Menteri-menteri UMNO ini bila diamanahkan dengan tanggungjawab, mereka perform.

Tidak pernah berlaku UMNO menjadi sebahagian kerajaan, tetapi UMNO tidak bersama kerajaan.

Bukankah jika menteri-menteri UMNO ini tidak deliver, imej parti juga akan terjejas? Ahli UMNO tidak boleh tuding jari mereka ‘bekerja’ untuk PN. Sebaliknya menunjukkan tahap profesional menteri UMNO dalam kerajaan.

Kelihatannya semua menteri UMNO sayangkan parti. Cuma pendekatan dan stail masing-masing berbeza. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan caranya, Khairy Jamaluddin dengan stailnya. Datuk Seri Dr. Adham Baba dengan karektornya manakala Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah bercakap perkara-perkara yang perlu diketahui rakyat. Menteri-menteri UMNO yang lain, ahli parti boleh nilaikan sendiri.

Seingat kita, pada awal semasa ahli Parlimen UMNO menaiki bas ke Istana Negara tahun lepas, tuntutannya adalah supaya Yang di-Pertuan Agong perkenan bubarkan Parlimen. Tetapi tidak diterima. Hanya selepas itu UMNO sepakat menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Persoalannya kenapa mahu runtuhkan semula hari ini? Ini soal kepentingan rakyat. Jika menteri-menteri menarik diri, ia seterusnya akan menjadikan UMNO parti tidak bertanggungjawab yang akan dinilai oleh rakyat 30 juta orang. Bukannya oleh 3.6 juta ahli parti semata-mata tetapi oleh kira-kira 15.3 juta pengundi (angka berdasarkan data daftar pemilih suku tahun keempat 2020).

Ini soal reputasi menteri-menteri UMNO yang tiga menterinya sahaja cukup perform mengendalikan isu pandemik Covid-19 – Ismail Sabri, Adham dan Khairy. Shamsul Nasarah dengan pengendalian isu-isu tenaga serta elektriknya manakala Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkisar isu-isu sukannya.

PECAH BELAH PARTI

Tanggapan atau persepsi negatif daripada sebilangan orang UMNO terhadap menteri-menteri parti itu secara sedar atau tidak berupa cubaan untuk memecahbelahkan parti.

Apabila seseorang menteri daripada parti tertentu menjadi anggota pentadbiran kerajaan, ia tidak bermakna semua perkara diputuskan oleh menteri berkenaan. Tetapi oleh Jemaah Menteri – seperti mana diungkapkan oleh Mohamed Suffian di awal tadi.

Itu tatacara pentadbiran kerajaan. Contohnya, perisytiharan Proklamasi Darurat, mungkin ada setuju dan tidak setuju. Tetapi apabila kerajaan sudah putuskan, semua kena ikut suara majoriti.

Lagipun UMNO juga perlu bersama kerajaan kerana apabila menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), UMNO masih merupakan kerajaan caretaker, yang memiliki banyak kemudahan untuk diperuntukkan semasa kempen pilihan raya. Jika begitu keadaannya bila kerajaan tidak menyambung darurat yang berakhir 1 Ogos ini dan PRU kian hampir, mengapa pula UMNO buat keputusan menarik diri sebaik sahaja Parlimen bubar?

Seperkara lagi, bila menteri-menteri UMNO tarik diri dan hilang jawatan sekarang menjelang PRU yang tidak diketahui bila tarikhnya, tindakan itu akan menjangkit kepada pengerusi-pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC).

Apa akan jadi pula kepada kerajaan negeri yang ditadbir UMNO iaitu Johor, Melaka, Perak dan Perlis. Lebih teruk lagi kesannya ke akar umbi seperti Ahli Majlis/Jawatankuasa Penduduk (JKP), penghulu, ketua kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK). Kesemua mesti letak jawatan. Akibatnya kepada semua – UMNO tidak lagi berada dalam kerajaan caretaker.

Sepatutnya terma yang digunakan begini: UMNO kekal sehingga kerajaan baharu dibentuk, bukannya hubungan UMNO dengan PN setakat Parlimen dibubar.

TIADA LAGI KETEMU

Dan difahamkan, bukan tidak ada pertemuan antara menteri-menteri UMNO dengan presiden. Ada. Tetapi hanya sempat dua kali pertemuan yang diadakan dalam dua sesi – satu untuk barisan menteri dan satu lagi melibatkan timbalan menteri. Selepas itu tarikh pertemuan lenyap.

UMNO harus buat keputusan bijaksana. Bukannya kerana kepentingan individu tetapi mengambil kira parti keseluruhannya.

Kembali bertanya kepada diri orang UMNO: “Adakah UMNO sekuat seperti mana semasa kerajaan 22 bulan tempoh hari? Ya, menang 7-0 dalam siri pilihan raya kecil bersama Pas, namun adakah itu penanda aras untuk masuk gelanggang hebat PRU-15?

Politik hari ini sungguh dinamik dengan sekejap sahaja rakyat boleh membuat keputusan suka atau tidak.

Jangan terbuai dengan ‘data’ tidak pasti. Polling boleh sahaja dipacak di portal berita tertentu. Dari satu polling ke satu polling, menjadi berbelas, berpuluh. Tapi adakah itu ukuran yang tepat.

Ya, tanpa satu pun kajian empirikal, turun padang kemuka soal selidik. Mana data analitik, mana Big Data nya?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya