BARU-BARU ini, kecoh isu Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, atau lebih dikenali sebagai Sajat lari menyembunyikan diri.
Ini ekoran tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis memburunya setelah waran tangkap dikeluarkan ekoran kegagalan usahawan kosmetik itu hadir ke Mahkamah Syariah bagi menghadapi pertuduhan berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Sebenarnya, isu lelaki mempunyai jiwa cenderung ke arah kewanitaan sehingga ke peringkat ekstrem sanggup melakukan pembedahan menukar jantina ialah isu lama yang sehingga kini masih berlaku.
Fenomena itu gagal dibasmikan kerana tanggungjawab menyelesaikan gejala tersebut diserahkan kepada para ustaz semata-mata manakala pihak lain seolah-olah bersikap lepas tangan.
Berjayakah para ustaz memberi nasihat kepada golongan itu yang seolah-olah sudah kebal apabila diceramah dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis? Cukup sedih apabila ada dalam kalangan mereka yang sanggup mengugut untuk keluar Islam kerana ‘panas’ dan tidak tahan diganggu. Golongan itu lebih cenderung berpegang kepada hujah logik akal.
Para ustaz memerlukan bantuan ahli sains untuk mencari puncanya bagi membolehkan kaedah lebih berkesan digunakan untuk menyelesaikan masalah itu. Difahamkan, penyelidik di Barat mengaitkan gejala itu dengan permasalahan jiwa yang ada kaitan dengan faktor bukan fizikal.
Hasil kajian ahli sains terbabit yang berdasarkan hujah logik akal menarik untuk diteliti kerana turut sependapat dengan para ustaz bahawa lelaki yang mempunyai jiwa kewanitaan perlu kembali menjadi seorang jantan jika tubuh memang seorang pemuda sempurna.
PELACUR
Dalam pada itu, masalah lelaki berjiwa wanita hanya soal kecil jika dibandingkan dengan satu fenomena lain yang berlaku secara senyap-senyap, ibarat api dalam sekam.
Kalau terlambat menanganinya mungkin nasi sudah menjadi bubur. Pihak paling sesuai untuk mengkajinya sudah tentu ahli sains, walaupun para ustaz tidak boleh lepas tangan kerana ia ada kaitan dengan perlakuan tidak bermoral yang ditegah Islam.
Permasalahan itu ada hubung kait dengan pendedahan muka depan Utusan Malaysia pada 7 September tahun lalu mengenai kebimbangan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Penyebaran fahaman songsang itu dibuat dalam media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube, WhatsApp dan Telegram. Ada dalam kalangan pengikut fahaman liberal itu mengamalkan budaya seks bebas termasuk tidak kisah teman wanita atau isteri masing-masing bertukar-tukar pasangan untuk melakukan hubungan intim.
Fenomena itu ada kaitan dengan satu kes yang kecoh beberapa tahun lalu mengenai perlakuan seorang lelaki Eropah yang melancong ke negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia untuk melakukan hubungan seks dengan pelacur di negara-negara berkenaan.
Aksi dia bersama-sama pelacur terbabit dirakam dan kemudian dijual menerusi internet untuk mendapat keuntungan. Perkara yang mahu dibangkitkan adalah komen warganet mengenai ciri-ciri persamaan yang terdapat pada pekerja seks yang melakukan hubungan intim dengan ramai lelaki.
Ciri-ciri kewanitaan didapati semakin hilang terutama pada wajah perempuan terbabit dan kadangkala dari sudut tertentu kelihatan ciri-ciri wajah lelaki semakin dominan. Perkara hampir sama pernah diperkatakan sebelum ini iaitu pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin, wajah mereka akan menjadi semakin seiras.
DNA
Beberapa warganet yang ‘berlagak’ seperti ahli sains berkongsi kajian Fred Hutchinson Cancer Research Center, Seattle, Amerika Syarikat (AS) pada 2012 mengenai penemuan kromosom Y daripada lelaki atau microchimerism dalam 60 peratus otak wanita yang salah satu punca dikatakan daripada sperma ketika melakukan hubungan seks.
Dalam kromosom terdapat molekul panjang asid deoksiribonukleik (DNA) dan di dalamnya pula wujud gen. Terdapat beribu-ribu gen di dalam satu molekul DNA. Gen yang menentukan rupa muka seseorang.
Sebab itu, terdapat satu kaedah unik oleh polis di negara-negara maju untuk mengesan penjenayah dengan hanya menggunakan DNA yang dijelaskan secara mendalam oleh ahli sains dari AS, Tony N. Frudakis dalam buku bertajuk Molecular Photofitting: Predicting Ancestry and Phenotype Using DNA.
Teknik digelar DNA phenotyping membolehkan polis membuat lakaran wajah suspek tidak dikenali berdasarkan sampel DNA yang diperoleh di tempat kejadian jenayah.
Adakah kewujudan chimera (percampuran gen) daripada terlalu ramai lelaki dalam tubuh wanita akan menyebabkan wajah bertukar menjadi mirip jantan? Sebab itukah Islam melarang wanita berkahwin dengan ramai lelaki secara serentak?
Persoalan dilontarkan para warganet adalah bersifat spekulatif yang memerlukan kajian lebih mendalam oleh ahli sains bagi menentukan kesahihannya. Kalau betul dakwaan itu, fahaman liberal akan membawa kesan amat dahsyat kerana boleh mengubah wajah dan mungkin bentuk fizikal wanita menjadi lelaki.
Diharapkan ahli sains yang arif tentang DNA dapat membuat kajian dan memberikan penjelasan agar kita menjadi seperti penonton program Tanyalah Ustaz di TV9 dan
TV3 yang terkenal dengan slogan Biar tahu, jangan keliru. Wallahuaklam.










