Memupuk kualiti hidup bukan sekadar berdrama - Utusan Malaysia

Memupuk kualiti hidup bukan sekadar berdrama

AMAT mengejutkan kerana sebuah drama tempatan untuk tontonan umum memaparkan adegan percubaan membunuh diri secara terang-terangan ketika banyak pihak tertekan kerana Covid-19. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini saya berehat sambil menonton sebuah drama di kaca televisyen saluran swasta. Tiba-tiba terasa gusar apabila mendapati beberapa adegan yang membimbangkan. Ia amat mengejutkan kerana ini sebuah drama tempatan untuk tontonan umum iaitu besar, kecil, tua dan muda, tetapi tidak sedemikian. Alasan pertama adalah berkaitan dengan adegan percubaan membunuh diri yang ditunjukkan secara terang-terangan.

Dan menarik perhatian kerana usaha berikut digambarkan secara dekat. Seolah-olah untuk dicontohi oleh para penonton yang mempunyai hasrat sama. Secara umumnya ini boleh dianggap sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kerana ia boleh merangsang perasaan yang serupa bagi perseorangan tertentu apabila melihatnya.

Sekali gus ia berupaya mencetuskan pemikiran serta langkah yang sama dalam desakan suasana pandemik semasa. Umum mengetahui bahawa tekanan perasaan serta mental kian meningkat dewasa ini akibat wabak Covid-19. Apa lagi apabila ramai terpaksa mengalami pengurungan atau kuarantin mengikut peraturan-peraturan prosedur operasi standard (SOP) tertentu. Antara yang banyak terlibat ialah kaum muda dan remaja yang kurang arif tentang mengawal diri dan emosi.

Mereka mudah berputus asa dan mengalami kemurungan. Banyak laporan di seluruh dunia yang menunjukkan bahawa kecenderungan untuk membunuh diri turut meningkat dalam kalangan anak muda akibat ledakan wabak Covid-19. Tiada apa-apa yang dapat dilakukan sekadar menangani emosi yang bergelora dengan menjauhinya.

Oleh itu, adegan atau tindakan yang mengarah kepada perbuatan dan perlakuan membunuh diri amatlah membahayakan dan wajar dihindarkan sebaik mungkin. Namun apa yang dipaparkan semacam usaha menggalakkan perbuatan membunuh diri, secara langsung atau tidak. Walaupun drama itu kelihatan dirakam sebelum Covid-19 tercetus, tatkala para pelakonnya tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan, hal-hal ini terus menambahkan lagi kekeliruan akan betapa pentingnya menepati SOP.

ROKOK

Seolah-olah terdapat silang tujuan dengan apa yang dihasratkan kerajaan melalui pesanan serta risalah yang dikumandangkan oleh saluran televisyen sama untuk mematuhi SOP. Apatah lagi di kemuncaknya terdapat pula lakonan terang-terangan untuk membunuh diri.

Dengan kata lain, pihak yang terlibat sewajarnya lebih peka dan teliti akan apa yang dipersembahkan khususnya yang memberi impak atau kesan negatif terhadap para penonton terutama sekali mereka yang agak mudah terpengaruh. Namun ini bukan yang diperhatikan.

Malah ada adegan lain yang turut membimbangkan jua, yakni penggunaan tembakau ataupun lebih jelas menghisap rokok. Bahkan cerut juga. Sedangkan dalam banyak hal perfileman, penggunaan bahan-bahan tembakau di layar perak sudah pun diharamkan di peringkat antarabangsa. Ini diamalkan oleh banyak negara termasuk Malaysia.

Ia merupakan kerangka dasar untuk membasmi tabiat merokok serta ketagihan yang boleh mengancam kesihatan, kalau tidak pun nyawa. Dengan mengelakkan lakonan merokok jelas didapati berupaya menghindarkan tabiat merokok kepada mereka yang ingin mencuba. Sebab itulah ia diharamkan dalam lakonan drama mahupun wayang gambar di merata tempat. Hujah yang digunakan adalah sama dengan apa yang diperkatakan tentang adegan membunuh diri yang juga sewajarnya diharamkan.

Anehnya, drama yang dimaksudkan turut membenarkan asap rokok berkepul-kepul dalam adegannya, lagi sekali menunjukkan kurang pertanggungjawaban pihak terlibat. Juga pihak yang mengizinkan adegan songsang sedemikian untuk ditonton ramai termasuk kanak-kanak berusia bawah 18 tahun – had umur yang mana jualan serta penggunaan bahan-bahan tembakau menyalahi undang-undang negara.

Serentak itu, turut tidak mematuhi SOP sebagaimana yang diuar-uarkan. Walaupun penggambaran tersebut dilakukan sebelum wabak pandemik, langkah lebih berhemah sepatutnya dikenakan. Malangnya tidak.

Pendek kata, timbul persoalan: adakah persembahan drama demi drama dalam televisyen tidak terpengaruh dengan cara hidup norma baru yang sering dianjurkan dalam memupuk hidup sihat? Apalah maknanya jika hidup di alam nyata tidak dicermini oleh alam televisyen yang seakan-akan memaksa suatu ‘dunia khayalan’ yang berbeza.

GAGAL

Mungkinkah ini antara sebab musabab yang ramai masih mengambil enteng tentang kepatuhan SOP sehingga hari ini selepas setahun wabak Covid-19 merasuk? Dan berjuta-juta terjangkit akibat cara hidup lama, melainkan para pelakon drama televisyen amnya yang seakan-akan kebal dengan jangkitan Covid-19, hanya kerana bergantung kepada skrip drama yang kaku SOP?

Ringkasnya, norma baharu tidak membawa maksud mendalam terutamanya kepada kumpulan yang musykil, atau sengaja ingkar kerana mereka juga ingin hidup dalam dunia khayalan tersendiri. Maka apa salahnya jika ini hanyalah satu lagi adegan dalam drama hidup masing-masing. Sudah tentu tidak ada salahnya. Namun, malangnya ia bukan sekadar satu adegan sahaja.

Pada hakikatnya, hidup adalah lebih rumit daripada itu, apatah lagi diselubungi pula musuh yang tidak kelihatan. Akhirnya, di sinilah terletaknya peranan sebenar drama televisyen dalam menangani angkara virus durjana yang tidak henti-henti meragut nyawa tidak berdosa. Pendek kata, drama dan lakonan perlakuan juga norma baharu dalam memupuk budaya serta cara hidup lebih beretika sebagai tujuan utamanya. Tambahan pula apabila bersangkut dengan soal mati-hidup seseorang warganegara yang dipertanggungjawabkan kebajikannya.

Apatah lagi satu amanah Ilahi yang tidak boleh dipergadai dengan apa cara pun. Baik meragut nyawa sesiapa sahaja, termasuk diri sendiri. Ataupun melalui bahan-bahan racun yang membunuh, seperti tembakau, dadah dan selainnya. Begitu juga melibatkan pelbagai kuman serta virus berbisa yang sentiasa hadir dalam kehidupan seharian. Sekarang persembahan serta lakonan yang terus mengutamakan sebaliknya, nyata merupakan satu kegagalan besar.

Kerana memupuk kualiti hidup yang bermakna bukan sekadar sebuah adegan drama yang boleh dijual beli. Sebaliknya, ia satu amanah agung yang digenggam penuh etika dan iltizam. Oleh itu, dalam mengharungi tahun kedua wabak Covid-19 ini, kita harus lebih bijak berwaspada untuk melindungi diri agar dapat melindungi semua. Drama tidak syak lagi mempunyai peranan penting dalam hal ini jika diasaskan kepada amanah norma baharu.

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN