Bos FGV perlu letak jawatan - Utusan Malaysia

Bos FGV perlu letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA suku keempat tahun lepas, dunia korporat digegarkan dengan berita cadangan pengambilalihan FGV Holdings Bhd. (FGV) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Sesuatu yang bermula dengan ura-ura pembatalan perjanjian pajakan tanah FGV dan kemudiannya berakhir dengan satu keputusan yang saya rasakan lebih tepat dibuat oleh Felda iaitu menjadi pemegang saham majoriti FGV dengan mengambil alih pegangan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

Dengan kedudukan sebagai pemegang saham majoriti, Felda kemudiannya membuat tawaran awam mandatori untuk membeli semua baki saham yang belum dimilikinya dengan tujuan menyahsenaraikan FGV.

Setakat 18 Februari lalu, pegangan saham terkini Felda dalam FGV berjumlah 75.25 peratus. Ini menempatkan Felda pada kedudukan tidak jauh daripada sasaran 90 peratus pegangan.

Kedudukan ini bakal membolehkan Felda melaksanakan pemerolehan wajib dan mendapat milikan penuh ke atas FGV.

Sebagai generasi peneroka, berita ini amat menggembirakan saya yang yakin ia juga menjadi khabar gembira kepada semua warga peneroka kerana akhirnya FGV dapat membawa manfaat kepada mereka dan generasi baharunya.

Sebelum ini, kita dapat melihat ahli lembaga pengarah FGV pernah meletakkan aset tanah Felda dalam keadaan berisiko apabila mempertimbang tawaran pihak swasta untuk menjadi pemegang saham terbesar FGV.

Ia jelas menunjukkan mereka tidak menjiwai perjuangan Felda yang sentiasa menjaga kebajikan para peneroka dan memastikan aset tanah Felda seluas 350,000 hektar tidak beralih tangan kepada pihak lain.

Memandangkan tindak-tanduk ahli lembaga pengarah FGV tidak selari dengan aspirasi Felda, pada pendapat saya, adalah wajar kesemua mereka meletakkan jawatan secara bermaruah dan digantikan oleh wakil Felda.

Felda juga perlu lebih bertegas supaya perjalanan FGV dalam melangkah ke hadapan akan lebih lancar dan membawa kepada manifestasi kejayaan yang lebih mampan.

ASHRAF ARIF
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya