Birokrasi tidak mesra petani - Utusan Malaysia

Birokrasi tidak mesra petani

PETANI yang terlibat dalam ekonomi skala dengan kos dan pengeluaran yang lebih tinggi terkesan lebih teruk sepanjang pandemik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini petani menyuarakan beberapa masalah penyampaian benih. Antaranya kekurangan bekalan menyebabkan hasil terjejas, kualiti tidak memuaskan, kadar kesuburan kurang daripada 70 peratus, harga mencecah RM60 hingga RM80 satu beg atau lebih dua kali ganda daripada harga siling. Masalah lain, pembekal terbatas kepada kilang besar dan agensi kerajaan menyebabkan petani tidak berpeluang kerana tuntutan prosedur kualiti di luar kemampuan mereka.

Malangnya tiada data sahih untuk menentu sahkan sejauh mana kekurangan benih sebenarnya. Adakah lokasi, kuantiti inventori, pemegangnya, komposisi ikut usia benih? Nyata, walau ada teknologi komunikasi maklumat (ICT), pangkalan data mengenai benih padi kucar-kacir.

Jika data ada, dengan mudah kita boleh menyatakan di mana berlaku kekurangan atau lebihan, lantas penyelesaiannya. Kekurangan di satu lokasi boleh ditampung dari lokasi lain tetapi ini tidak berlaku sekarang.

Apapun, insiden kekurangan benih yang dilaporkan oleh petani walaupun berlaku di beberapa lokasi tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Ini kerana ia membongkar beberapa hakikat.
Pertama, kuasa pasaran iaitu imbangan permintaan dan penawaran adalah lebih kuat daripada kawalan harga. Iaitu, apabila berlaku kekurangan (permintaan melebihi bekalan), harga mencecah tinggi.

Berbeza dengan input lain, benih perlu ada pada masa, lokasi, kuantiti dan kualiti yang tepat pada harga berpatutan, varieti menepati ciri agroekologi setempat dan permintaan petani. Sebarang kecacatan, memusnahkan kelicinan pengeluaran. Mungkin hakikat ini tidak disedari oleh penggubal polisi sehingga wujud masalah penyampaian serius.

Kedua, pengurusan benih memerlukan ‘kesatuan dan kelicinan usaha’ yang cekap daripada pembekal, penjual dan kerajaan. Perbualan dengan beberapa petani mendedahkan, masalah akibat kelewatan kementerian (Jabatan Pertanian) dalam memperbaharui kuota kepada pembekal. Ini menyebabkan pembekal tidak dapat mengeluarkan benih kepada pengeluar dan petani menjadi terdesak hingga terpaksa membeli benih yang tidak sah pada paras yang tinggi. Ada petani melaporkan, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menjual benih berusia lebih enam bulan. Kelemahan birokrasi yang ‘tidak mesra petani’ menyebabkan kerugian besar.

Ketiga, bilangan pembekal adalah kecil terdiri daripada agensi kerajaan dan kilang besar yang menyebabkan sistem agihan tidak fleksibel. Bayangkan jika terdapat ramai pembekal maka faedahnya adalah masalah kekurangan diminimumkan, wujud persaingan lantas kecekapan penyampaian dan kualiti.

THAILAND
Hujah menyokong jumlah pembekal yang kecil kerana keperluan kualiti adalah tipis. Sebenarnya tiada perkaitan antara bilangan pembekal dan kualiti. Ini kerana kualiti adalah neutral kepada saiz.

Industri benih padi di Thailand membuktikannya. Pembekal utama benih padi mereka terdiri daripada community rice centres (sejumlah 2,500 pada 2017) bersama 67 koperasi mengeluarkan 125,500 tan benih. Mereka membeli benih asas daripada kerajaan dan mengeluarkan benih komersial. Nyata benih tidak memerlukan kilang besar atau agensi untuk menjanakan benih padi komersial. Selain petani, sektor swasta turut membekal 150,000 tan daripada 200 pengusaha dan kualiti dipantau oleh syarikat swasta itu sendiri.

Pada masa sama, Thailand mempertahankan sistem pembekalan benih informal iaitu benih padi yang dikeluarkan oleh petani untuk varieti padi tempatan bagi merekayasakan biodiversiti tempatan. Ini menjadikan industri padi lebih pelbagai dan dinamik.

Keempat, monopoli borongan hanya menyempitkan rantaian bekalan benih padi. Dalam rajah, rantaian bekalan ini nampak kemas tetapi di lapangan, ia tidak dapat menampung pelbagai kepentingan dan kesulitan petani. Sembilan pembekal, satu pemborong dan 145 PPK untuk memberi khidmat kepada 320,000 petani adalah struktur yang tidak seimbang dan adil. Laporan Audit Negara (2019) menyatakan, purata kelewatan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyampaikan baja adalah antara 14 hingga 222 hari menunjukkan masalah logistik untuk memenuhi keperluan petani yang ramai.

Seperti yang dihujahkan oleh Bank Dunia, pemusatan agihan baja kepada satu agensi memberi beberapa impak. Pertama. ia menyebabkan industri input tempatan tidak wujud lantas tiada pelaburan. Import ke atas baja berterusan selama lima dekad sehingga menyebabkan kos pengeluaran meningkat tahun demi tahun. Ini adalah kesan di luar jangkaan pemusatan. Kini struktur ini diulangi untuk benih, maka impak sama mungkin berlaku.

Nyata kita perlu mewujudkan pasaran benih yang lebih kompetitif di semua tahap, membuka peluang kepada petani dan koperasi dan meraikan pasaran benih formal dan informal. Mungkin kita perlu mempelajari dari Thailand yang menekankan kepada falsafah berikut. Pertama, tujuan sistem agihan benih adalah pelbagai iaitu sekuriti makanan, pembangunan ekonomi, keusahawanan dan pengurusan biodiversiti. Kedua, menghayati keperluan mempertahan dan memajukan kedua-dua sistem benih formal dan informal serentak.

Dan ketiga, melaksanakan pendekatan pluralistik ke atas pembangunan benih di tahap polisi melibatkan pelbagai pemain industri dan sektor swasta. Besar kemungkinan, penerapan falsafah akan mengubah pembangunan industri benih padi Malaysia ke arah pertumbuhan yang inklusif dan lestari.

PENULIS ialah Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Akademi Profesor Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×