Bersyukur kita dilindungi vaksin - Utusan Malaysia

Bersyukur kita dilindungi vaksin

PERdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi rakyat pertama disuntik vaksin Pfizer-BioNTech bagi memberi gambaran sebenar dan menyeluruh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH terlakar pada 24 Februari lalu apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Covid-19. Negara turut menyaksikan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan fasa pertamanya bermula pada tarikh berkenaan sehingga April ini. Pelaksanaan program imunisasi bertujuan membendung penularan pandemik dan memelihara kesejahteraan kehidupan rakyat. Impak buruk yang dibawa pandemik kepada dunia umumnya dan negara ini khususnya sejak lebih setahun lalu dapat disaksikan dengan ketara. Oleh yang demikian, program imunisasi sewajarnya diberikan sokongan kerana matlamat luhur yang disasarkan. Usaha ini malah bertepatan dengan kaedah fiqh yang masyhur diperkatakan kini, tindakan pemerintah tertakluk pada maslahah atau kebaikan bagi rakyat.

Kaedah ini berasal daripada kenyataan Imam Syafie yang menyebut, kedudukan pemerintah dengan rakyat sama seperti kedudukan penjaga dengan anak yatim. Kata-kata ini pula merupakan inspirasi daripada ungkapan Khalifah Umar r.a yang menegaskan, kedudukan beliau seumpama penjaga harta anak yatim dalam mentadbir harta Allah. Syeikh Muhammad al-Burnu dalam kitab Al-Wajiz fi al-Usul al-Fiqh mengatakan, kaedah fiqh ini bermaksud, pelaksanaan sesuatu dasar, peraturan atau kewajipan oleh pemerintah atas rakyat, sama ada mereka mahu atau enggan mematuhinya tertakluk pada hasil dan manfaat. Hal berkenaan pula sama ada melibatkan perkara agama mahupun juga dunia.

Langkah yang diambil kerajaan bagi membendung penularan dan mencegah jangkitan pandemik melalui program imunisasi adalah berasaskan pengesahan dua badan berautoriti utama, iaitu perubatan dan keagamaan.

Sudah pasti, pakar bidang kesihatan dan perubatan seperti Kementerian Kesihatan dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dirujuk dalam penentuan pandangan hukum berkaitan vaksin Covid-19. Jika diteliti sehingga 2015, terdapat sekitar tujuh keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan berhubung vaksin. Daripada jumlah itu, hanya satu keputusan yang tidak membenarkan penggunaan vaksin, iaitu Biothrax dan Rotateq kerana sumbernya ialah haram. Terkini pada 3 Disember lalu, resolusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) mengambil ketetapan, hukum penggunaan vaksin Covid-19 ialah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.

CACAR

Menarik jika diimbau sejarah, Kerajaan Uthmaniyyah turut memberikan sumbangan besar dalam penggunaan imunisasi bagi mengawal penularan penyakit cacar. Kaedah tersebut ialah variolasi atau lebih khusus, inokulasi bagi memberikan imunisasi terhadap pesakit. Vaksinisasi pula merupakan antara cabang inokulasi yang tercatat sebagai kaedah terawal bagi menghalang penyebaran penyakit cacar sebelum vaksin ditemui. Penggunaan kaedah variolasi oleh Kerajaan Uthmaniyyah diketahui dan disaksikan oleh Lady Mary Wortley Montague, isteri Duta British ke Istanbul ketika itu. Lady Mary juga dikatakan sebagai individu yang bertanggungjawab memperkenalkan kaedah inokulasi di England. Lady Mary yang memiliki pengalaman kehilangan saudara lelaki disebabkan penyakit tersebut dan beliau sendiri terselamat namun wajahnya berparut, merakamkan amalan variolasi di Turki dalam koleksi surat kepada sahabatnya di England. Surat itu kemudian diterbitkan dengan judul Turkish Embbasy Letters.

Sebelum kembali ke England, beliau meminta doktor Kedutaan British, Charles Maitland untuk melaksanakan kaedah inokulasi terhadap anak lelakinya. Pada 1721, ketika penyakit cacar menyerang England, beliau sekali lagi meminta Maitland melaksanakan kaedah sama terhadap anak perempuannya. Maitland kemudian menghasilkan penulisan bagi menjelaskan amalan inokulasi dan menenangkan pengkritik atau penentang keras amalan tersebut. Presiden Kolej Perubatan Diraja selanjutnya memberikan pengesahan untuk pelaksanaan inokulasi, bermula dengan kanak-kanak dalam keluarga diraja Britain serta kelas atasan, disusuli seluruh penduduk negara berkenaan. Terdapat catatan terperinci berhubung sejarah dunia ini dan sesetengah pihak menggambarkan pelaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran kemudiannya oleh Turki bermula 1923 sehingga kini. Jelas melalui catatan sejarah ini, kaedah pencegahan penyakit atau imunisasi menjadi tumpuan dan keprihatinan pemerintah Empayar Uthmaniyyah.

Sebagaimana dihadapi negara-negara lain pada setiap zaman dan ketika, Malaysia juga tidak terkecuali. Pelaksanaan program imunisasi dan vaksinasi negara turut menerima penentangan. Meskipun kumpulan berkenaan hanyalah minoriti, namun berita dan teori konspirasi yang disebarkan menimbulkan keresahan dalam masyarakat. Hujah pihak berautoriti agama bersandarkan dalil serta kaedah agama dan fakta tepat lagi meyakinkan berasaskan penyelidikan daripada pihak berautoriti perubatan tidak juga dapat diterima berbanding teori yang sukar dipastikan kebenarannya. Pendekatan terbaik yang dapat dilaksanakan pemerintah ialah beristiqamah dalam pendirian dan terus bertegas bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, langkah positif kerajaan selayaknya diberikan sokongan padu. Segala persoalan sudah terjawab dan setiap keraguan terungkai melalui pelbagai wadah. Selain itu, sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan, skim perlindungan yang diwujudkan akan memberikan pampasan sekiranya penerima vaksin menerima kesan sampingan serius. Bersyukurlah dengan peluang yang diberikan untuk melindungi diri daripada jangkitan dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Bandingkanlah situasi dengan saudara seagama kita di Gaza. Suntikan vaksin untuk penduduknya tidak selancar di negara ini kerana terpaksa menghadapi sekatan Israel pada awalnya dan tidak mustahil akan berulang kembali. Berterima kasih kepada kerajaan sebagai tanda bersyukur kepada Allah. Bersyukur kepada Allah membuka ruang untuk digandakan nikmat-Nya buat rakyat dan negara tercinta ini.

PENULIS ialah Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×