Bangga lakar sejarah - Utusan Malaysia

Bangga lakar sejarah

SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dianggap unik kerana berlangsung dalam keadaan negara bergelut dengan pandemik Covid-19. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebaik sahaja jam penggera berbunyi, saya bingkas bangun dengan perasaan berdebar-debar. Syukurlah, saya dapat tidur lena malam sebelumnya untuk menghadapi hari yang sangat penting dalam hidup, iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selesai bersiap, saya menikmati sarapan kegemaran yang disediakan kakak, Anisah. Dia cukup risau saya tidak berselera untuk makan. Sambil itu, ibu dan kakak-kakak lain tidak henti-henti memberikan pesanan serta kata-kata semangat.

Saya tiba awal di sekolah untuk diperiksa suhu badan. Saat melangkah masuk ke bilik peperiksaan adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan. Mungkin ini adalah keadaan yang normal bagi kebanyakan rakan-rakan sebaya, tetapi berlainan bagi saya yang selama ini belajar secara sendiri di rumah. Ini kali pertama saya menduduki peperiksaan penting. Bayangkan debaran hati saya ketika itu.

Hanya empat calon lain berkongsi bilik peperiksaan bersama saya.

Guru mengawal ketat pergerakan pelajar bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi. Waktu solat, kami membawa sejadah sendiri, sama seperti syarat SOP di surau dan masjid.

REHAT

Ketika rehat antara kertas peperiksaan, kami tidak dibenarkan ke kantin. Sebaliknya, guru mengambil pesanan dan membawa makanan ke bilik darjah.

Alhamdulillah, sepanjang tempoh peperiksaan tiada masalah timbul di pusat peperiksaan yang saya hadiri. Kawan-kawan juga begitu sporting dan faham apabila saya mengelak daripada bersalaman mahupun fist bump.

Bagi saya, SPM 2020 adalah unik memandangkan ia peperiksaan awan pertama berlangsung dalam keadaan negara bergelut dengan pandemik Covid-19.

Sebagai calon SPM 2020 atau dikenali sebagai Form 5 Promax, saya gembira kerana melakar sejarah di era pandemik Covid-19. Kami berjaya menduduki peperiksaan penting dalam keadaan sangat mencabar dan berbeza berbanding tahun-tahun terdahulu.

Semoga kami beroleh kejayaan. Saya berserah kepada Allah SWT. Namun, saya gembira kerana terpilih untuk memperoleh satu pengalaman amat istimewa dan berharga ini.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN