fbpx

6 Mac 2021, 2:37 pm

  TERKINI

Video ganas baik untuk pelajar?

TERDAPAT kajian mendapati bermain permainan video yang ganas dan menakutkan membantu pelajar mengatasi rasa takut dalam hidup. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGAJARAN dan pembelajaran di rumah (PdPR) hari ini dilihat sebagai satu-satunya alternatif untuk melaksanakan sesi pendidikan dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin melebarkan jajahan takluknya.

Sebenarnya terdapat pelbagai cabaran dalam melaksanakan PdPR. Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian oleh Kementerian Pendidikan pada pertengahan 2020 mendapati kira-kira 280,000 pelajar tidak memiliki peranti sesuai.

Ini bermakna lebih 30 peratus pelajar belum bersedia untuk menjalani PdPR. Ini baru kajian terhadap peranti, belum lagi kebolehcapaian internet. Bagaimana pula dengan perisian dan kebolehgunaan aplikasi yang disediakan? Juga, bagaimana dengan tahap kesediaan guru?

Guru-guru sebenarnya sudah didedahkan dengan Google Classroom, iaitu satu sistem pengurusan pembelajaran (MLS) yang bertujuan memudahkan proses mereka bentuk, mengedar dan menaksir tugasan murid secara dalam talian. Tujuan utama Google Classroom adalah untuk menyelaraskan proses perkongsian fail antara guru dan pelajar.

Walaupun terdapat bermacam-macam pendedahan kepada guru, cabaran PdPR adalah banyak dan maha hebat. Guru bukan setakat perlu tahu mengendalikan peranti, malah harus bijak memilih bahan pengajaran dan menyesuaikannya dengan aplikasi yang digunakan.

Ada kandungan dan pendekatan yang sesuai diajar dengan berkesan secara fizikal tetapi tidak dalam talian. Oleh itu, guru lebih dituntut untuk bekerja dengan penuh kreativiti dalam menyediakan bahan PdPR serta memiliki ruang lingkup pemikiran menjangkaui batasan bilik darjah norma lama.

Mahu tidak mahu, guru perlu diberi input baharu, ‘diajar’ kemahiran baharu dan motivasi baharu. Malah, ibu bapa harus mengubah dimensi pemikiran untuk menerima hakikat pembelajaran anak-anak adalah tanggungjawab bersama antara ibu bapa dan guru.

Pengetahuan guru tentang PdPR juga perlu ditingkatkan. Misalnya, ada kajian mendapati bermain permainan video yang ganas dan menakutkan membantu pelajar mengatasi rasa takut dalam hidup.

Sejauh mana benarnya dapatan ini boleh dikaji oleh guru dan jika benar, boleh dikongsikan dengan pelajar dan boleh dimanfaatkan tetapi dalam batasan masa dan kawalan ibu bapa di rumah.

Ada juga kajian di United Kingdom mendapati berkebun mampu meningkatkan keyakinan diri pelajar dan kempen berkebun giat dijalankan untuk dimasukkan dalam silibus pembelajaran di negara itu.

Berkebun juga dikatakan meningkatkan fokus pelajar di samping meningkatkan tenaga untuk belajar malah meningkatkan kreativiti dalam mempelajari bahasa. Maklumat baharu seperti ini perlu ada dan diketahui guru supaya saranan boleh diberikan kepada pelajar dan ibu bapa sebagai sokongan kepada mereka untuk kekal bertenaga dan bersemangat bagi mengikuti PdPR dengan jayanya.

Jelaslah di sini, untuk memastikan PdPR berjaya seperti dihasratkan, ia menagih pemerkasaan banyak pihak. Bukan setakat teknologi perkakasannya perlu diperkasa, malah semua sistem sokongan yang berkaitan juga perlu dibugarkan.

Jika tidak, kita bimbang nanti PdPR hanya dapat mengajar pelajar tetapi tidak mendidik mereka.

MOHD. YATIM DOLIR & DR. SITI SURIANI OTHMAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

BERITA BERKAITAN