Melucah bukan kelakarlah... - Utusan Malaysia

Melucah bukan kelakarlah…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Boleh minta gambar?”
“Tengah buat apa tu? Pakai baju apa?”
“Suami ada di rumah ke? Line clear ke tak?”
“Ada gambar belanja?”
Ini antara ungkapan yang selalu orang perempuan dapat dalam mesej akaun laman sosial. Betul tak? Saya yang dah tua ini pun dapat! Agak-agaklah kan. Segelintir lelaki memang begitu. Saya tak cakap semua. Mereka ini suka bercakap hal-hal lucah. Seronok sangat. Walhal ada yang sudah beristeri pun. Tak perlulah sampai ke tahap itu. Jaga sajalah rumah tangga sendiri. Faham-faham saja maksud saya ini sudah.
Masalahnya orang kita ini, hal-hal melucah, dia fikir itu lawak dan kelakar. Konon tak buat salah apa-apa pun. Hendak seronok-seronok saja. Bergurau. Tak layan tak apa, kalau layan kira macam ‘bonus’lah.
Kelakarkah? Sudah tentu tidak! Itu amat menjengkelkan dan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah wanita. Ingat wanita ini objek seks semata-matakah? Cuba perkara itu dilakukan kepada adik perempuan, isteri atau emak sendiri. Apa perasaan? Marah? Kalau tak marah lebih baik terjun sungai. Habis cerita.
Bila ada pihak menceritakan pengalaman kena ganggu, ramai kata tak usah layan. Nanti berhentilah. Tapi tak dilayan, ada yang terus mencuba dan berbuat hal sama pada orang lain. Macam tak ada kerja lain. Agaknya, otak itu perlu disental dengan berus dawai.
Apabila kes anggota polis melakukan gangguan seksual kepada wanita dalam sekatan jalan raya baru-baru ini, heboh balik pertanyaan bila Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual akan dibentangkan? Dari tahun lepas lagi sudah ditanya. Tak kan ambil masa lama, hal-hal keselamatan seperti ini.
Baru-baru ini pula, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, deraf RUU itu, kini pada peringkat akhir bagi penelitian Jabatan Peguam Negara. Beliau memberi jaminan RUU itu nanti akan bersifat holistik dalam membendung isu berkaitan gangguan seksual yang tidak terhad terhadap gangguan di tempat kerja semata-mata.
Saya juga amat tertunggu-tunggu akta ini. Apatah lagi ia berkaitan kepentingan dan pembelaan terhadap wanita yang teraniaya. Ini kerana ketika ini tiada akta khusus untuk gangguan seksual di negara ini. Seksyen 509 Kanun Keseksaan masih tidak cukup untuk melindungi daripada gangguan seksual.
Mangsa jenayah juga perlu bertindak melalui beberapa saluran peruntukan undang-undang sedia ada yang tidak menyeluruh dan ada kelemahan tertentu yang membuatkan pelaku akhirnya bebas disebabkan definisi, pendakwaan tidak kuat, bukti tidak cukup dan sebagainya.
Di negara jiran kita, Singapura dan Filipina pun sudah ada akta gangguan seksual khusus. Jadi mengapa kita melambat-lambatkan pembentangan akta cukup penting ini? Adakah ia tidak cukup teruk seperti jenayah-jenayah lain? Perlu diingat gangguan seksual boleh membawa kepada jenayah lain pula iaitu pencabulan, rogol dan paling dahsyat pembunuhan.
Pelaku gangguan seksual pula datangnya daripada daripada pelbagai golongan. Ia tidak kena mengena dengan latar belakang pendidikan. Yang belajar tinggi pun melakukannya, begitu juga yang tidak berpendidikan tinggi.
Hakikatnya, kita amat memerlukan satu akta gangguan seksual yang lengkap. Sebab sekarang ini, bermacam-macam cara lelaki mahu melakukan gangguan seksual dengan alasan bergurau. Memang banyak gurauan yang tak kelakar sekarang ini, gangguan seksual salah satunyalah.
Dalam pada itu, ramai juga tak sedar menjadi mangsa gangguan seksual dan berdiam diri. Mangsa menjadi tertekan, tetapi tidak mengetahui mereka punya hak untuk bersuara.
Kata seorang kawan saya, pelaku gangguan seksual ini sakit. Satu hari tidak bercakap lucah, berlaku lucah dan perbuatan-perbuatan lain yang ada kaitan dengan kelucahan, tidak rasa hidupnya lengkap pada hari itu. Ia sudah macam satu ketagihan. Sebab itu dalam laman sosial, kadang-kadang kita dapat mesej lucah daripada orang yang tidak dikenali.
Bagi saya, apa pun ketagihan atau masalah anda, jangan menakutkan dan menyusahkan orang lain. Itu saja. – Ahad dah ke? Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.