2,000 rakyat kita ‘menderita’ di penjara asing - Utusan Malaysia

2,000 rakyat kita ‘menderita’ di penjara asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

PANDANGAN setiap individu terhadap kehidupan di penjara adalah berbeza. Namun, pernahkah kita terbayang survivor banduan di negara asing terutama dari segi kebajikan?

Ini termasuk berhubung soal makan, minum, tidur, komunikasi dan kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa sekatan. Apa yang dipertontonkan melalui rancangan televisyen dan filem belum tentu mencerminkan keadaan sebenar penjara kerana setiap negara memiliki kedaulatan undang-undangnya tersendiri yang kadang kala menyekat proses pemulihan seseorang banduan.

Ini mengingatkan kita kepada kisah Sham Ahmad atau Ringgo dan Marina Jamaluddin yang masing-masing dijatuhkan hukuman di penjara El-Rodeo II, Venezuela dan Nepal yang meluahkan rasa kecewa dan terseksa disebabkan layanan yang teruk dan pengabaian hak asasi manusia.

Atas dasar kemanusiaan, Pengarah Bahagian Antarabangsa dan Pemindahan Banduan Jabatan Penjara, Timbalan Komisioner HAFIDZ OTHMAN berkongsi pandangan dengan wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan MASZUREEN HADZMAN serta jurufoto FAUZI BAHARUDIN, baru-baru ini bahawa Akta Pemindahan Antarabangsa 2012 (ITOP) merupakan cara terbaik yang boleh digunapakai oleh penjara untuk banduan. Ia bukan sahaja bagi meneruskan hukuman di negara masing-masing tetapi pada masa sama tidak mengabaikan kebajikan mereka.

UTUSAN : Boleh terangkan secara ringkas mengenai peranan ITOP dan bagaimana ia berfungsi?
HAFIDZ: ITOP merupakan satu akta yang memperuntukkan pemindahan banduan ke dan dari Malaysia untuk dipindahkan ke negara asal bagi meneruskan baki hukuman.
Contohnya, banduan dari China yang dihukum penjara lima tahun atas sesuatu kesalahan dan telah dipenjarakan di negara ini selama tiga tahun, maka baki dua tahun lagi perlu diteruskan di negara asal mereka.

Jabatan Penjara bergerak selari dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan layanan terhadap tahanan dan optimis berusaha memastikan akta tersebut berjalan melalui rundingan dengan negara-negara tertentu bagi membolehkan proses penghantaraan pulang dan penerimaan banduan dapat dilaksanakan.

Apakah syarat bagi pemindahan banduan sama ada dari Malaysia atau negara luar untuk pulang menjalani hukuman di negara asal?
Bagi banduan yang berada di penjara luar negara, selagi dia rakyat Malaysia, maka dibenarkan memohon melalui Kementerian Dalam Negeri atau Wisma Putra.

Begitu juga banduan warga asing yang mahu meneruskan hukuman di negara asal juga boleh mengemukakan permohonan. Hampir semua jenayah boleh pindahkan tetapi ia tidak termaktub kepada mana-mana banduan yang dijatuhkan hukuman mati atau banduan akhir yang sedang menunggu ke tali gantung serta mereka yang direman dan masih dalam proses perbicaraan.

Terdapat sedikit halangan bagi proses pemindahan mereka yang menunggu hukuman mati kerana beberapa negara seperti di Eropah tiada polisi tersebut. Malah, banyak negara juga telah memansuhkan hukuman berkenaan. Jadi, bagaimana mahu memindahkan banduan sedangkan hukuman yang harus diterimanya tiada di negara asal mereka?

Selain itu terdapat negara yang berbeza dari segi kaedah pelaksanaan hukuman mati sedangkan di Malaysia secara tali gantung.

Benarkah dakwaan ITOP diwujudkan bagi tujuan mengurangkan kepadatan dan kesesakan di dalam penjara?
Pada asalnya cadangan pemindahan banduan disarankan oleh PBB pada 1 Julai 1985 dalam kongres layanan di penjara, bukannya gerakan dari sebuah negara ke negara lain. Ia bukan perkara asas untuk mengurangkan kepadatan atau kesesakan dalam penjara, ia lebih daripada itu sebenarnya.

Contohnya, PBB menggesa negara-negara mengambil langkah tertentu untuk mengerakkan daya usaha membabitkan bantuan asing dengan sedaya mungkin untuk menjalani hukuman di negara asal kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilihat dan diberi perhatian seperti budaya, bahasa, adat resam, agama dan kepercayaan.

Ia juga berkait rapat dengan maruah diri serta norma kehidupan setempat mereka selain melibatkan aspek layanan terhadap mereka. Bayangkan pesalah Bangladesh yang dipenjara di Malaysia sukar berkomunikasi dengan pegawai kerana perbezaan bahasa yang sekali gus menyukarkan proses pemulihan.

Pegawai di sini hanya mengetahui perkataan-perkataan asas dan menjadi kekangan bagi banduan untuk ke kelas-kelas kaunseling, agama dan bengkel. Apabila komunikasi terbatas, bagaimana mahu laksana program-program sedia ada dengan berkesan?

Perkara berkaitan agama dan kepercayaan juga agak sensitif. Contohnya, banduan dari Nepal atau China mempunyai amalan masing-masing yang mungkin tidak dapat dilakukan secara menyeluruh di penjara asing. Walaupun guru agama disediakan, sama ada memadai atau tidak dari segi kerohanian tetap menjadi persoalan.

Begitu juga soal pemakanan, kita menyedari banduan Malaysia yang ditahan di negara luar sangat terdedah kepada makanan-makanan syubhah. Ini kerana sumber protein seperti babi adalah paling murah di negara luar dihidangkan kepada banduan beragama Islam. Selain itu, amalan-amalan beragama juga dilihat tidak dapat dipraktikkan sebaiknya kerana kekangan-kekangan berasaskan ketiadaan amalan setempat.

Contohnya, bersahur dan berpuasa di bulan Ramadan. Kami juga sedar ada rakyat Malaysia yang ditahan di negara luar yang terkenal dengan keganasan seperti di Amerika Selatan yang sentiasa berada di dalam ketakutan kerana hampir setiap bulan berlaku tembak-menembak di dalam penjara, malah belum tentu mereka boleh keluar (dari penjara) dengan selamat.

Selain kebajikan, faktor keselamatan juga dilihat mengapa ITOP perlu dilaksanakan. Kita tidak mahu rakyat Malaysia hidup dalam ketakutan dan keganasan serta tiada program pemulihan berkesan.

Selain itu, ITOP membuka peluang kepada banduan untuk menjalani hukuman dalam persekitaran adat resam dan budaya sendiri seterusnya membantu proses pemulihan mereka.

Pada masa sama, dapat menjaga dan memelihara maruah diri dari segi agama dan budaya dan seterusnya membuka jalan bagi proses reintegrasi mereka ke dalam masyarakat dengan lebih berkesan.

Selain itu, ia lebih memudahkan keluarga melawat dan berjumpa. Satu kaedah pemulihan yang berkesan ialah sokongan keluarga ketika mereka di dalam tahanan selain menjimatkan kos bagi keluarga untuk melawat atau membuat panggilan jarak jauh.

Ketelitian undang-undang

Adakah ITOP disokong oleh semua negara?
Walaupun akta ini mula diperkenalkan pada 2012, namun perlu difahamkan bahawa ia memerlukan proses yang sangat teliti kerana melibatkan undang-undang dan kedaulatan sesebuah negara.

Ada negara yang masih belum mempunyai akta khusus seperti ITOP dan ada yang sedang berusaha untuk mewujudkannya. Apatah lagi negara-negara rantau Asia, perkara ini dilihat masih baharu dan memerlukan kefahaman serta kesedaran yang tinggi bagi menjalin kerjasama.

Tidak seperti negara- negara Eropah di mana mereka telah melaksanakan pemindahan banduan ini sejak puluhan tahun dahulu lagi dan ia dilihat bukan satu perkara luar biasa.

Bagaimanapun, kebelakangan ini banyak negara seperti China, Iran, Vietnam dan Hong Kong ‘melamar’ untuk menjalinkan hubungan dua hala berhubung kepenjaraan dalam urusan pindah masuk dan keluar banduan. Namun apabila melibatkan negara-negara lain, kita perlu memastikan sistem keadilan jenayah dan undang-undang dibuat dengan teliti dan ia merupakan satu proses yang panjang.

Dari segi hukuman, adakah negara asal banduan boleh menentukan sama ada untuk mengurang, menambah atau memberi pengampunan kepada banduan?
Tidak. Hukuman ditentukan oleh negara di mana banduan itu dijatuhkan hukuman. Negara penerima hanya menerima banduan untuk membolehkan mereka menghabiskan baki hukuman di negara asal.

Kerana itu, sehingga hari ini ITOP masih belum dilaksanakan kerana perlu mempunyai trity iaitu perjanjian dua negara dan ia akan mengikat kedua-dua negara itu. Itu yang menjadi halangan kerana perlu melalui pelbagai rundingan dan memakan masa yang panjang kerana tidak semua usul, cadangan serta mekanisme diterima oleh negara asal atau negara yang banduan dijatuhkan hukuman.

Oleh kerana akta ini melibatkan perundangan, maka perlu diterajui oleh Jabatan Peguam Negara di samping Wisma Putra dan Jabatan Penjara.

Boleh tuan kongsikan berapa ramai rakyat Malaysia yang menjadi banduan di negara luar?
Secara tepat saya tidak pasti namun berdasarkan makluman yang diterima dari Wisma Putra, kira-kira 2,000 banduan Malaysia berada di 40 buah negara termasuk sedekat Singapura dan sejauh Venezuela. Daripada jumlah itu, sebanyak 120 di Indonesia, Thailand (380), Korea Selatan (400), China (364), Singapura (719). Di Eropah, Perancis (2), Romania (10), United Kingdom (20) dan Australia (84).

Kebanyakan mereka disabit dengan kesalahan dadah, keldai dadah, scam, masalah imigresen seperti pendatang asing tanpa izin dan jenayah.

Bagaimana pula banduan asing di negara ini?
Sebanyak 12,098 banduan dari 84 negara seluruh dunia sedang menjalani hukuman penjara di negara ini sehingga 21 Januari lalu. Jumlah tersebut agak sedikit berbanding sebelum penularan pandemik Covid-19 yang boleh mencecah sehingga 20,000 hingga 25,000 banduan.

Ini kerana pintu sempadan ditutup, maka tiada keperluan untuk mereka memasuki Malaysia memandangkan banyak sektor seperti perindustrian, pertanian masih tidak beroperasi.

Hampir memasuki tahun kesembilan cadangan ITOP dikemukakan. Bila jangkaan dilaksana?
Pada bulan depan, kita jangkakan satu trity ditandatangani antara Malaysia dan Ukraine berhubung perkara ini. Perbincangan sudah dibuat sejak tiga tahun lalu, namun memakan masa kerana melibatkan perundangan sama ada mereka mahu meneruskan hukuman atau sebaliknya.

Adakah ini bermakna Ukraine akan menjadi negara pertama menerima dan menghantar banduan?
Nampaknya begitulah. Semasa proses perundangan berjalan tiga tahun lalu terdapat lima banduan di Malaysia dan dua banduan Malaysia di sana. Namun disebabkan proses rundingan yang panjang, maka banduan-banduan tersebut telah tamat proses hukuman di penjara dan kini sudah bebas.

Pun begitu, ia tidak menjadi masalah kerana akta tersebut sudah termeterai dan boleh diaplikasikan pada bila-bila masa.

Kita juga akan memulakan rundingan dengan Romania, Vietnam, China, Iran dan kali ketiga dengan Thailand pada tahun ini.

Polisi serta undang-undang berbeza antara satu sama lain menyebabkan ia mengambil masa agak panjang untuk menyelesaikan sesuatu isu berkaitan ITOP. Namun, kami penuh yakin titik persamaan tetap akan dicapai bagi membolehkan program ini dapat dijalankan dengan sempurna.

Adakah ITOP melibatkan kos pemindahan yang tinggi?
Dari segi mekanisme, kewangan bagi saya tiada masalah kerana ia boleh datang daripada duit banduan itu sendiri, ahli keluarga, kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi menghulurkan bantuan.

Malah proses pemindahan juga telah kita sediakan peraturan sebaiknya, ia tidak sulit. Jika terdapat sahaja permohonan, kita akan proses dan buat rundingan. Jika rundingan diterima dan berjalan lancar maka banduan akan dihantar pulang tetapi jika berlaku sebaliknya, mereka perlu kekal di penjara yang mereka sedang jalani hukuman.

Akhir sekali, harapan tuan terhadap akta ini?
Yang bersalah tetap bersalah menurut undang-undang, namun setiap daripada kita mesti ada perasaan ingin membantu mereka atas dasar kebajikan dan kemanusiaan.

Oleh itu, besar harapan saya agar semua pihak yang terlibat memahami aspirasi program ini kerana ia boleh menjadi mercu tanda kepada negara sebagai mekanisme untuk membawa pulang banduan ke negara tempat kelahirannya.

Pada masa sama, ia juga sebagai tanda kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat di luar negara walaupun mereka berstatus banduan.

Selain itu, imej negara juga berupaya untuk ditingkatkan kerana jelas kita mempunyai pelbagai hubungan bilateral dengan negara-negara luar lain yang mana sudah tentu hubungan diplomatik antarabangsa juga dapat diperkukuhkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×