Utamakan calon anak tempatan - Utusan Malaysia

Utamakan calon anak tempatan

Pemilihan calon tempatan dipercayai lebih mudah mendapat sokongan dari rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BAHANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin terasa dan ramai yang mahukan supaya Akta Anti Lompat Parti dan Akta Dana Politik segera diperkenalkan bagi memastikan kestabilan politik di negara ini.

Tidak dinafikan isu lompat parti menyebabkan suasana politik menjadi tidak menentu. Perkara ini mungkin tidak akan berlaku sekiranya wakil rakyat yang dipilih mempunyai sikap jujur, amanah dan setia bukan sahaja kepada parti bahkan kepada pengundi di sesuatu kawasan.

Ketahanan diri yang lemah, mudah dipengaruhi dengan pujuk rayu dan wang ringgit juga penyebab perkara ini berlaku sehingga menyebabkan rakyat atau pengundi mula merasa bosan apabila kepercayaan mereka di khianati.

Seperkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah pemilihan calon bagi sesuatu kawasan. Sejak PRU yang pertama hinggalah PRU-14 sistem pemilihan calon di negara ini sangat terbuka iaitu membenarkan sesiapa sahaja bertanding di mana-mana kawasan terutama kawasan Parlimen yang mereka suka atau di tentukan oleh sesebuah parti.

Sudah sampai masanya semua parti politik yang bertanding dalam PRU memberikan keutamaan kepada anak-anak tempatan untuk mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Parlimen. Ini lebih memberikan keselesaan kepada pengundi berbanding meletakkan calon dari luar kawasan.
Contohnya, dalam sesuatu kawasan, ramai anak tempatan yang berkebolehan, mempunyai pendidikan tinggi yang boleh menggalas tanggungjawab tetapi terpaksa diketepikan semata-mata untuk memberi laluan kepada calon luar.

Pimpinan parti politik biasanya akan melihat calon tempatan bila berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) tetapi mengenepikan mereka dalam PRU semata-mata mahu menjaga hati pihak-pihak tertentu.

Terdapat juga dalam kalangan mereka ini terpaksa mengalah atau bertanding ditempat lain semata-mata memenuhi kehendak parti. Akhirnya rakyat atau pengundi berhadapan dengan masalah selepas pilihan raya.

Wakil rakyat yang mereka pilih atas kehendak parti gagal melaksanakan tanggungjawab di kawasan mereka. Muncul seminggu atau sebulan sekali, sedangkan masalah rakyat tidak mengira masa. Masalah pembangunan kawasan juga terabai.

Pengundi juga harus bijak dalam menentukan wakil rakyat di kawasan mereka. Apa yang berlaku sebelum ini jangan berulang lagi, jangan sampai pisang berbuah dua kali.

MOHD NOH MOHAMED
Kg. Solok, Tangkak, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×